Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS membuka sebuah kedai buku baharu di sini pada Selasa, sebagai usaha memupuk budaya ilmu dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan warga universiti serta masyarakat.

Majlis peluncuran kedai buku yang terletak di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurutnya, kedai buku tersebut bukan sahaja menjadi lokasi urusan jual beli, sebaliknya berfungsi sebagai pusat ilmu yang menghimpunkan pelbagai khazanah pengetahuan termasuk karya warga universiti.

“Kedai buku ini dijangka berkembang sebagai hab pertukaran ilmiah dengan penganjuran program seperti peluncuran buku, pameran penerbitan dan wacana ilmu.

“Ia adalah langkah strategik untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan warga kampus dan masyarakat umum,” katanya.

Untuk rekod, kedai buku yang berkonsep moden itu menawarkan penerbitan akademik, jurnal ilmiah, buku bacaan umum, karya popular serta koleksi kanak-kanak.

Ia turut menampilkan Sudut Penulis Universiti sebagai ruang berkongsi dan memaparkan hasil karya pelajar serta kakitangan UMS.

Sementara itu, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Patricia Matanjun berkata, kewujudan kedai buku itu menyediakan akses mudah kepada bahan bacaan berkualiti dan berperanan sebagai jambatan ilmu bagi masyarakat.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Dekan PPIB, Profesor Datuk Dr. Ismail Ali.

 

Persidangan Antarabangsa Pendidikan Digital Pribumi (ICRIDEC) 2025 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform terbaik bagi membincangkan peranan teknologi digital dalam memperkasa komuniti luar bandar dan pribumi di era transformasi digital.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, persidangan yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Aminudin Baki (IAB) itu bertujuan membincangkan cabaran serta penyelesaian inovatif dalam memastikan revolusi digital mampu memangkin pemerkasaan ekonomi untuk komuniti luar bandar serta pribumi.

”Antara yang perlu diberi perhatian ialah konsep “Kedaulatan Digital” yang merujuk kepada hak komuniti pribumi untuk memiliki, mengawal, dan melindungi data digital mereka.

“Teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk memelihara warisan budaya, termasuk membangunkan tutor AI bagi mengajar bahasa yang diancam kepupusan serta mendokumentasikan sejarah lisan.

“Justeru itu, persidangan ini membuka peluang terhadap perbincangan peranan teknologi baharu seperti AI dalam memelihara bahasa ibunda dan sejarah lisan agar terus kekal untuk generasi yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan tersebut di Dewan Resital, UMS.

Tambahnya lagi, persidangan ini turut menekankan kepimpinan berwawasan yang digelar “Digital Weaver”, iaitu pemimpin yang mampu menggabungkan nilai warisan komuniti dengan teknologi moden.

“Persidangan ini adalah titik pertemuan kepakaran global dan kebijaksanaan tempatan, untuk itu semua peserta harus memanfaatkan peluang ini untuk mengadakan perbincangan dan pembentangan yang kemudiannya mampu memangkin kepada satu tindakan dasar baharu serta pelaksanaan program perintis di lapangan.

“UMS bukan sekadar penganjur, tetapi rakan strategik dan makmal hidup untuk menguji dan merealisasikan idea yang terhasil daripada persidangan ini,” katanya.

Ujar beliau, persidangan ICRIDEC itu diharap akan menghasilkan sesuatu yang akan diterjemahkan kepada dasar baharu, penerbitan berimpak tinggi dan program perintis yang memberi kesan nyata kepada komuniti.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 127 orang peserta terdiri daripada penyelidik, pendidik, pembuat dasar dan pemimpin komuniti, serta 167 orang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UMS yang turut menyertai sebagai sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Prof. Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh; Pengarah Institut Aminuddin Baki Sabah, Khaziyati Osman; Pengarah Program ICRIDEC (UMS), Dr. Connie Cassy Ompok; dan Pengarah Program ICRIDEC (IAB), Darusalam Bohel Nehemia Pantulusang.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) terus memperluas jaringan global melalui kolaborasi penyelidikan dan akademik apabila telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Research Institute for Humanity and Nature (RIHN), Kyoto, Jepun.

Kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani MoU antara kedua-dua pihak yang berlangsung di IBTP.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani MoU tersebut bagi pihak UMS, manakala RIHN diwakili oleh Ketua Projek ‘Fashloks – Sustainable Hunting Project’, Prof. Madya Dr. Hongo Shun.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya menyifatkan kerjasama tersebut adalah satu langkah strategik untuk terus memperkukuh peranan UMS sebagai “The Brain of Borneo”.

“Selain itu kolaborasi menerusi MoU ini akan menyaksikan kedua-dua institusi akan memperkukuh kerjasama penyelidikan bersama dalam bidang biodiversiti dan pemuliharaan, serta mempromosikan pertukaran akademik.

“Di samping itu, MoU ini juga bukan sahaja menjadi lambang kerjasama rasmi antara kedua-dua institusi tetapi juga mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan ilmu, penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Tambah beliau, IBTP UMS telah menjalinkan hubungan erat dengan beberapa universiti terkemuka Jepun termasuk Kyoto University, Kagoshima University, Rakuno Gakuen University dan Hokkaido University, serta bakal disertai University of the Ryukyus.

“MoU ini dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih mendalam dalam bidang pemuliharaan biodiversiti, kelestarian alam sekitar serta pembangunan penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat serantau dan global.

“Justeru, diharap kerjasama ini dapat melahirkan penerbitan berimpak tinggi, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa serta program mobiliti staf bagi memperkukuh pertukaran ilmu dan kepakaran,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim; dan Timbalan Ketua Projek Fashloks – Sustainable Hunting Project, Prof. Madya Dr. Nahoko Tokuyama.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Karnival Sukan Staf UMS (KARSUMS) 2025 sebagai platform memperkukuh silaturahim warga kerja di samping memupuk kepentingan menjaga kesihatan mental dan fizikal melalui aktiviti sukan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penganjurannya bukan sekadar acara tahunan semata-mata, sebaliknya memainkan peranan penting mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam kalangan staf universiti.

“Karnival sukan ini mempunyai tiga objektif utama iaitu mengukuhkan silaturahim antara warga kerja UMS di Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan.

“Yang kedua, menggalakkan gaya hidup sihat yang menjaga kesejahteraan fizikal dan mental di samping memberi ruang untuk warga kerja merehatkan diri daripada tekanan kesibukan kerja dan tugasa harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KARSUMS 2025 di Stadium UMS, di sini.

Menurut Dr Kasim, keseronokan menyertai sukan akan membantu menghindarkan tekanan kerja serta memberi kesegaran minda dan semangat baharu apabila kembali ke meja kerja.

Menurutnya, satu pembaharuan turut dilaksanakan pada tahun ini apabila KARSUMS diadakan pada hari bekerja bagi membolehkan lebih ramai kakitangan menyertai acara serta memberi sokongan kepada kontinjen masing-masing.

Dalam pada itu, Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, serta Pusat Sukan UMS atas usaha menganjurkan karnival berkenaan yang menghimpunkan pelbagai acara dan penglibatan warga kerja daripada semua kampus universiti.

“Saya berharap, KARSUMS 2025 berlangsung dengan lancar, harmoni dan tanpa insiden yang tidak diingini, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat seluruh warga UMS yang terlibat,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah membanggakan apabila seramai 15 orang saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 2% Saintis Terbaik Dunia 2025, satu pengiktirafan berprestij antarabangsa yang diterbitkan oleh Stanford University dengan kerjasama Elsevier.

Pencapaian tersebut merangkumi 14 saintis yang diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala 6 orang lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.

Menariknya, beberapa nama cemerlang muncul dalam kedua-dua kategori sekali gus menjadikan keseluruhan yang menerima pengiktirafan ini seramai 15 orang.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti keupayaan universiti dari Borneo untuk berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan saintis UMS mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menunjukkan ilmu dan inovasi dari Borneo dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran global,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pada pelbagai peringkat.

Jelasnya, di peringkat tempatan, universiti akan terus bekerjasama dengan komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta Malaysia.

“Di peringkat serantau Borneo, UMS berhasrat memperkukuh jaringan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan.

“Manakala di pentas global, fokus utama adalah membina kolaborasi dengan universiti dan organisasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi.

“Kejayaan ini hanyalah permulaan. Dengan kepakaran pelbagai bidang, UMS akan terus menjadi jambatan ilmu antara Sabah, Borneo dan dunia,” tambah Datuk Dr. Kasim.

Beliau turut mengumumkan nama-nama saintis yang telah mengharumkan universiti itu di peringkat antarabangsa.

“Antara nama yang tersenarai dalam kategori Single Year Citation Impact ialah Prof. Dr. Hanudin Amin, Dr. Teo Siow Hwa, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, dan Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart.

“Turut diiktiraf ialah Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Dr. Noora Barzkar, Prof. Madya Ts. Dr. Rovina Kobun, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, Prof. Dr. Md Lutfor Rahman, Prof. Madya Dr. Shigeharu Sato, Prof. Ts. Dr. Uda Hashim, Prof. Dr. Rayner Alfred, serta Dr. Nurul Elyani Mohamad.

“Sementara itu, dalam kategori Career-Long Citation Impact, antara yang tersenarai termasuk Prof. Ts. Dr. Zainul Amiruddin Zakaria, Prof. Madya Dr. Christophe Patrice Andie Wiart, Prof. Dr. Jason Teo Tze Wi, Prof. Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, dan Prof. Dr. Md Lutfor Rahman.

“Pengiktirafan 15 saintis UMS itu ini sekali gus memperkukuh reputasi universiti sebagai pusat ilmu yang digelar “Brain of Borneo”, selaras dengan misi untuk mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau ini ke persada dunia,” kata Dr Kasim lagi.