Graduan OKU Penglihatan Bukti Kecekalan, Tamat Ijazah Dalam Bidang Fizik Industri

 

Kecekalan seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Jonathan Evan Bobby, mencuri perhatian pada Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Fizik Industri dengan Kepujian meskipun berdepan kekangan visual sejak kecil.

Jonathan, yang hanya bergantung pada satu mata untuk melihat, mengakui bahawa kehidupannya penuh cabaran, terutama dalam bidang Fizik Industri yang memerlukan ketelitian visual dalam eksperimen makmal dan analisis teknikal.

Namun, kekangan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjaya.

“Walaupun saya hanya boleh melihat dengan satu mata dan dunia yang saya nampak hanya separuh daripada apa yang orang lain lihat, saya tetap boleh menyertai pelbagai program dan menyumbang sesuatu.

Kekurangan ini tidak menghalang saya,” katanya.

Beliau turut menerima pengurangan yuran dan bantuan kewangan yang disediakan setiap semester, membolehkannya menampung keperluan pengajian serta rawatan kesihatan.

Namun bagi Jonathan, kekuatan sebenar datang daripada sokongan insan-insan terdekat.

“Keluarga saya menyokong dari segi kewangan, dan pasangan saya melengkapi dari segi emosi. Mereka berdualah yang membuat saya terus kuat,” ujarnya.

Sebagai seorang yang bergelar OKU penglihatan, Jonathan turut mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi suatu bidang yang lazimnya menuntut ketajaman visual.

Fotografi menjadi ruang kreatif yang membolehkan beliau melihat dunia dari perspektif yang unik, sekaligus membuktikan bahawa kekurangan tidak membataskan kemampuan seseorang.

Selain kecemerlangan akademik, Jonathan juga aktif menyertai program outreach dalam dan luar kampus. Penglibatan ini bukan sahaja menambah keyakinan diri, tetapi memberi peluang kepadanya menyumbang kepada masyarakat dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta kepimpinan.

Jonathan turut berkongsi pegangan hidup yang menjadi sumber kekuatannya selama ini.

“Selagi Tuhan memberi saya nafas setiap hari, saya akan terus berusaha dan menggunakan peluang yang diberikan,” ujarnya.

Kejayaan Jonathan menjadi inspirasi kepada warga UMS, khususnya pelajar OKU fizikal yang sering berdepan cabaran tambahan dalam dunia akademik, menjadikan kisahnya sebagai bukti bahawa dengan sokongan sistematik, ketabahan diri dan keyakinan yang teguh, tiada halangan yang mustahil untuk ditempuh.

Kisah graduan seperti Jonathan, menjadikan Konvokesyen UMS ke-27 menjadi lebih bermakna apabila menonjolkan semangat inklusiviti, keberanian dan tekad untuk bangkit walau berdepan kekangan, dan diharap dapat menjadi suntikan motivasi kepada pelajar lain agar terus berusaha walau apa pun halangan yang ditempuhi.