Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memperkenalkan program pengajian baharu iaitu Program Sarjana Muda Sains Senibina dan Program Sarjana Muda Ukur Bahan mulai tahun 2026.

Perkara tersebut dinyatakan selepas satu kunjungan hormat delegasi FKJ UMS yang diketuai Profesor Ar. Nurakmal Goh ke Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah baru-baru ini.

Pengenalan kedua-dua program itu bakal membuka peluang kepada pelajar tempatan yang selama ini terpaksa menyambung pengajian senibina dan ukur bahan di luar negeri untuk terus menimba ilmu di Sabah.

Justeru itu, kunjungan hormat ini adalah satu langkah awal universiti untuk menjalin kerjasama strategik dengan PAM bersempena dengan pengenalan program pengajian baharu tersebut.

“Di samping itu, ini juga bagi mengukuhkan hubungan dengan pengamal industri serta memberi ruang kerjasama melalui seminar, forum, panel penasihat dan projek tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PAM Sabah, Ar. Daniel Koh berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif UMS dan menganggapnya sebagai pencapaian penting bagi pembangunan pendidikan Alam Bina di Sabah.

“PAM Sabah berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan UMS demi melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang ini.

“Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk penerbitan, forum serta aktiviti komuniti,” katanya.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut bekas Pengerusi PAM Sabah, Ar. Mok Juang Yu dan Ar. Sim Sie Hong.

 

Simposium Penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS-ReS 3) 2025 yang berlangsung di Nexus Resort & Spa Karambunai baru-baru ini mampu menjadi wadah untuk memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi di universiti.

UMS-ReS 3 yang menghimpunkan lebih 100 peserta dari pelbagai fakulti, akademik, pusat dan institusi di UMS itu merupakan platform tahunan bagi memantau kemajuan projek penyelidikan yang dibiayai melalui dana dalaman UMS, selain turut menggalakkan kerjasama rentas disiplin serta menyokong usaha universiti memperkukuh ekosistem penyelidikan dalaman.

Bertemakan “Penyelidikan dan Inovasi: Membina Masyarakat Berilmu dan Inovatif”, simposium kali ini turut menampilkan pelaksanaan Program Khidmat Masyarakat sebagai manifestasi kepada pengisian temanya.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dalam ucapan perasmiannya berkata, penyelidikan bukan sahaja berperanan menambah pengetahuan, malah membentuk masyarakat yang progresif, inovatif dan berdaya saing.

“Penganjuran UMS-ReS 3 mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa budaya penyelidikan.

“Platform ini akan menjadi pemangkin kepada penerbitan berkualiti, projek berimpak tinggi, serta pencapaian akademik yang membanggakan,” katanya.

Seramai 104 peserta telah mengambil bahagian dalam sesi pembentangan yang dibahagikan kepada empat kluster utama iaitu Sains Hayat, Bioteknologi dan Kesihatan; Sains Fizikal, Kejuruteraan dan Teknologi; Sains Sosial, Budaya dan Pendidikan; serta Sains Alam Sekitar dan Biologi.

Hasil pembentangan terpilih akan diterbitkan dalam jurnal berindeks MyCite sebagai usaha mengangkat martabat penyelidikan UMS di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain itu, beberapa dapatan penyelidikan akan dikongsikan kepada masyarakat melalui Program Khidmat Masyarakat di Lahad Datu pada bulan Oktober ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Profesor Dr. Asmady Idris; dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof. Dr. Jumat Sulaiman.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu Surat Niat (LoI) dengan Club Med Borneo (Golden Sands Beach Development Sdn. Bhd.), sebuah pusat peranginan bertaraf lima bintang yang sedang dibangunkan di Kuala Penyu, Sabah.

Kerjasama itu menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh jaringan strategik antara UMS dengan industri bertaraf antarabangsa, seiring dengan aspirasi universiti untuk memperluas pengiktirafan global dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan bakat.

Menerusi LoI tersebut, beberapa ruang kerjasama akan diterokai, termasuk penyediaan peluang latihan amali serta pengalaman industri sebenar kepada pelajar UMS.

Turut diberi fokus adalah perkongsian pengetahuan melalui penganjuran seminar, persidangan, bengkel serta aktiviti akademik dan penyelidikan bersama.

Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, kerjasama tersebut merupakan platform strategik yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar UMS dalam bidang hospitaliti antarabangsa.

“Kolaborasi ini bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dunia sebenar, malah memperkukuh hubungan UMS dengan industri pelancongan global.

“Ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran global,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama itu dijangka mampu membuka lembaran baharu dalam pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi dalam sektor pelancongan serta hospitaliti khususnya di Sabah.

Club Med Borneo yang dibangunkan di kawasan seluas 41 ekar di Kampung Tanjung Aru, Kuala Penyu, dijangka siap pada tahun 2026.

Pusat peranginan berkenaan akan menampilkan lebih 400 bilik, restoran, gourmet lounge, bar, pentas hiburan serta pelbagai kemudahan rekreasi lain.

Projek berprestij itu bukan sahaja dijangka menjadi tarikan utama pelancongan di Sabah, malah turut membuka peluang luas kepada pelajar UMS untuk terlibat secara langsung dalam operasi hospitaliti bertaraf dunia.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai “Brain of Borneo” terus membuktikan peranannya sebagai peneraju inovasi serantau dengan memperkenalkan teknologi hijau terkini iaitu fitoperlombongan (phytomining), satu kaedah perlombongan mesra alam menggunakan tumbuhan hiperpenumpukan logam.

Kajian itu diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah dan Ts. Dr. Nur Zaida Zahari dari Fakulti Sains dan Teknologi UMS, bersama Dr. Zakuan Azizi Shamsul Harumain dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan turut mendapat kerjasama Taman-Taman Sabah.

Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada dua spesies tumbuhan tempatan unik – Phyllanthus rufuschaneyi yang menyerap nikel dalam jumlah tinggi, dan Rinorea bengalensis yang mengumpul kobalt.

Menurut Mohd Khalizan, Fitoperlombongan mampu menggantikan kaedah perlombongan tradisional yang merosakkan habitat, selain mengurangkan pencemaran kerana tidak menggunakan bahan kimia berbahaya, serta menjana logam berharga seperti nikel dan kobalt yang sangat diperlukan dalam industri bateri elektrik.

“Menurut data kajian, permintaan global terhadap nikel dijangka meningkat hampir 40% menjelang 2030, dengan pasaran Malaysia diunjurkan bernilai lebih USD 50 bilion menjelang 2033.

“Kobalt pula kekal sebagai komponen utama bateri litium-ion dengan harga pasaran mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap tan.

“Teknologi ini mampu membuka peluang pekerjaan hijau, meningkatkan nilai tanah terbiar, serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti luar bandar, khususnya di Kg. Monggis, Ranau,” jelas beliau.

Walaupun berpotensi besar, kejayaan komersialisasi teknologi tersebut katanya  memerlukan penubuhan kawasan ujian komersial berskala besar, selain latihan kemahiran kepada petani tempatan.

“Usaha ini juga memerlukan pembangunan infrastruktur pemprosesan logam daripada tumbuhan, dan penyelarasan dasar dan perundangan untuk menjamin operasi mapan dan telus,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menegaskan bahawa fitoperlombongan adalah bukti komitmen universiti dalam menerajui inovasi saintifik untuk manfaat masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.

“Dengan sokongan kerajaan, industri, dan komuniti, Sabah berpotensi menjadi peneraju ekonomi hijau di rantau ini.

“Malah, kejayaan ini turut membuka ruang kolaborasi antarabangsa dalam bidang bioteknologi, sains bahan, serta pembangunan ekonomi hijau,” ujar beliau.

 

Seramai 329 pelajar aliran sains Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau menyertai Program Laluan Kerjaya Profesional STEM: Geologi yang berlangsung di sini sebagai usaha memupuk minat generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program yang dijayakan bersama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS), SGS Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah, Institut Geologi Malaysia (IGM) dan Society of Petroleum Engineers (SPE) itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai prospek kerjaya dalam bidang STEM, dengan tumpuan khas kepada bidang Geologi.

Dekan FST UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee menjelaskan, fakulti tersebut akan meneruskan komitmen terhadap usaha menyediakan pendidikan berkualiti tinggi sejajar keperluan industri serta perkembangan semasa bidang geosains.

“Kehadiran ahli akademik berpengalaman dan jaringan strategik antara universiti, industri serta agensi kerajaan mampu melonjakkan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

“FST UMS juga komited untuk terus memberi bimbingan dan sokongan kepada pelajar sekolah melalui aktiviti pendedahan awal, penyelidikan serta latihan industri,” katanya dalam ucapan sempena perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JMG Sabah, Jenneth @ Liliana Cyril.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pensyarah Kanan FST, Dr. Mohd Al Farid Abraham.

Beliau turut berharap agar program tersebut mampu menjadi platform penting dalam membina kesedaran awal kerjaya serta menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM.

“Harapan juga agar menerusi program ini dapat melahirkan generasi profesional yang inovatif, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, khususnya dalam bidang Geologi dan Geosains.,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus SGS Sabah, Khairee M. Saad; Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri; Pengerusi SPE, Amir Sani Bak; dan wakil IGM Sabah Chapter, Dr. Ahmad Khairut Termizi