Penganjuran program Journey of Hope: A Walk for Homeless (WALK4HOPE) oleh sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menjadi medium bukan sahaja untuk memperkasa semangat kesukarelawan, tetapi turut menyemai sikap prihatin khususnya terhadap golongan gelandangan.

Pengarah program tersebut, Josua Jastin berkata, program yang dikendalikan oleh Kelab Member Prihatin di bawah Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) antara lain bertujuan untuk mengembangkan sikap prihatin terhadap komuniti dan golongan gelandangan dalam kalangan siswa, sekali gus menjadikan mereka lebih bersedia untuk memainkan peranan sebagai warga yang bertanggungjawab.

“Selain itu, usaha ini juga adalah bagi menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.

“Di samping itu, program ini juga menyokong kesejahteraan siswa-siswi dengan mempromosikan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, yang dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental.” katanya.

Josua memaklumkan, program tersebut yang berlangsung di Padang Kawan UMS melibatkan penyertaan 10 orang wakil daripada Desa Bina Diri berserta 6 orang penghuni, serta 88 orang warga UMS sebagai peserta walkathon.

“Harapan saya agar program yang dianjurkan ini dapat memupuk semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua KKTF, Dr. Abdul Hair Beddu Asis ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, usaha tersebut bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran, tetapi juga berupaya mengeratkan lagi hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat dalam aktiviti berbentuk kesihatan.

“Saya dimaklumkan untuk program ini peserta walkathon perlu berjalan kaki dari padang kawad dan melalui beberapa checkpoint sehingga kembali semula ke padang kawad kira-kira sejauh 5 km”.

“Dengan adanya program ini dapatlah menjamin jalinan hubungan sosial di antara warga luar UMS, warga UMS dan residen Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) secara tidak langsung, yang pada akhirnya dapat membina sebuah institusi yang berkesan dan menyeluruh kepada semua tahap,” ujar beliau.

Hadir sama pada acara tersebut Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Desa Bina Diri, Kamsilawati Kamlun; Penguasa Institusi Desa Bina Diri, Arabiah Hj. Harun; dan Timbalan Penguasa Institusi Desa Bina Diri, Khanafiah Sablee.

 

Suasana sambutan Pesona Raya Mutiara UMS 2025 meriah dengan kehadiran lebih 5 ribu pengunjung yang terdiri daripada warga kakitangan dan pelajar UMS, rakan-rakan strategik UMS, serta tetamu jemputan luar.

Sebanyak 29 gerai daripada pelbagai JAFPIB UMS terlibat dalam menyediakan pelbagai juadah seperti pelbagai jenis nasi dan lauk-pauk, biskut kuih raya, mi dan sup, ketupat, kelupis, kuih tradisional, pencuci mulut, desert, buah-buahan, sate, barbeque dan kambing panggang serta minuman panas dan sejuk.

Lebih meriah, majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama isteri, selain turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan isteri, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Terdahulu, Kasim dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran majlis tersebut berupaya memekar dan memugar semangat kerja berpasukan dan meningkatkan darjah kegembiraan dalam kalangan warga universiti.

“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana ia berkait dengan kepelbagaian keupayaan, kepakaran, kemahiran, pengetahuan, komitmen serta peningkatan prestasi demi menghasilkan kejayaan dan memartabatkan reputasi universiti.

“Nilai kerja seperti ini seharusnya dikekalkan oleh seluruh warga universiti dari pihak pengurusan, pentadbir, pelaksana serta pelajar keseluruhannya yang akan memberikan manfaat berganda,” ujar beliau.

Selain penyediaan juadah, turut diadakan pertandingan nyanyian lagu raya, pertandingan gerai terbaik, dan cabutan bertuah untuk pengunjung yang hadir.

Pada majlis tersebut, gerai dari Jabatan Bendahari bersama Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf dinobat sebagai pemenang bagi pertandingan gerai terbaik, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM500.

 

 

Dalam usaha memperluas jaringan antarabangsa dan memperkasa bidang penyiaran, radio kampus Universiti Malaysia Sabah (UMSfm) melaksanakan misi lawatan strategik ke Korea Selatan melibatkan universiti dan stesen penyiaran kebangsaan di negara tersebut.

Lawatan selama empat hari itu menyaksikan delegasi UMSfm mengadakan sesi lawatan dan perbincangan bersama KBS World Radio, Arirang Radio dan Yonsei Universiti bertujuan meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang penyiaran digital, pembangunan media kampus, serta pertukaran budaya dan akademik.

Menurut Pengurus stesen UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif dalam memperkasa radio UMSfm dan UMS di peringkat antarabangsa.

“Misi ini membuka peluang besar untuk UMSfm mempelajari trend penyiaran terkini dalam menghasilkan kandungan, kolaborasi antarabangsa dalam bidang penyiaran, penyelidikan bersama, serta inovasi media digital.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuklah pertukaran program siaran pelajar, kolaborasi penyelidikan bersama dalam bidang komunikasi media, serta pelaksanaan program latihan industri merentas sempadan,” ujarnya.

Selain itu juga, delegasi UMSfm turut diberikan pendedahan kepada teknologi penyiaran terkini di Korea, termasuk penggunaan platform penyiaran digital pelbagai bahasa dan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan stesen radio.

Misi lawatan ini dijangka membuka jalan kepada pelbagai program susulan yang akan memperkukuh lagi kedudukan UMSfm sebagai peneraju inovasi penyiaran kampus di di Malaysia.

Turut bersama delegasi tersebut, Pegawai Penerbit Rancangan UMSfm, Feria Lee; Penerbit Rancangan UMSfm, Norhazimah Radik dan Khairil Fitri Abdul Karim.

 

Pertandingan Debat Piala Orator 2025 (DEBORA’25) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi peringkat sekolah menengah baru-baru ini telah menobatkan pasukan SMK Desa Kencana (A) sebagai johan selepas menewaskan SMK Tansau.

Dengan usul pusingan akhir, ‘Dewan Ini Percaya Pendidikan Integriti Harus Bermula di Institusi Kekeluarga Bukan di Institusi Pendidikan’ pasukan SMK Desa Kencana (A) mencatat kemenangan juri 4-1 dan margin kemenangan 2.25.

SMK Desa Kencana berjaya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 bersama piala pusingan, manakala SMK Tansau menerima wang tunai sebanyak RM700.

Sementara itu, salah seorang pendebat SMK Tansau, Adi Sarhan Ramlee telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik pada DEBORA ’25.

Pada perasmian penutupan DEBORA’25, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata slogan penganjuran tahun ini iaitu ‘DEBORA: Medan Intelektual, Legasi Inspirasi’ membuktikan bahawa program tersebut merupakan satu medan untuk melahirkan generasi yang celik berilmu tinggi dan kritis pemikiran.

“Saya dimaklumkan edisi tahun ini mempunyai sedikit kelainan iaitu hanya dipertandingkan kepada kategori Sekolah Menengah sahaja dan setinggi tahniah kerana ia telah berjaya mendapat penyertaan dari seluruh negeri Sabah.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan selamat datang kepada para peserta serta guru-guru pengiring setiap Sekolah Menengah yang sanggup hadir ke Universiti Malaysia Sabah demi mengikuti Debat Piala Orator 2025,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, Dr. Rizal Zamani Idris.

Tambah beliau, program tersebut diharapkan agar dapat mengekalkan momentum dalam melahirkan bakat seni orator generasi muda serta diteruskan pada masa akan datang.

“Kepada semua peserta, jadikanlah pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk terus maju dalam seni orator serta menjadi inspirasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan,” katanya.

Lima lagi buah sekolah yang turut menyertai DEBORA ’25 ialah SMK Putatan, SMK Pitas, SMK Tun Ahmadshah Kota Kinabalu, SMK Kota Marudu dan SMK Mat Salleh Ranau.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat secara aktif dalam Program Jerayawara Komuniti Siap Siaga Bencana YTM-UPNM-NADMA yang telah diadakan di daerah Kudat, baru-baru ini.

Program Jerawaya tersebut merupakan anjuran Yayasan TM bersama Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah Kudat, MET Malaysia Sabah, dan NDRC, UMS.

Program ini telah dirasmikan oleh Ainol Shaharina Sahar, yang merupakan Pengarah Yayasan TM.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus jerayawara tersebut merupakan susulan daripada Bengkel Kajian Semula Pelan Tindak Balas Kecemasan Tsunami (TERP) untuk daerah Kudat yang telah diadakan pada bulan November 2024 yang lalu, yang mana NDRC UMS turut aktif sebagai pakar rujuk dalam bengkel semakan semula pelan tindakan TERP tersebut.

“Program ini dapat memperkukuh kesiapsiagaan dan respon komuniti terutamanya, apabila menghadapi bencana tsunami dan termasuklah gempa bumi di daerah Kudat, di samping dapat meningkatkan penyelarasan kordinasi serta kerjasama pengurusan bencana rentas sektoral antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi awam Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan.

“Pengisian aktiviti dalam Jerayawara ini termasuklah Taklimat Mengenai Peranan Agensi NADMA dan Komuniti dalam Mengendalikan Bencana, Pengenalan Kepada Bencana Tsunami, Simulasi Tindak Balas Kecemasan Untuk Gempa Bumi, TERP Kudat dan Kesiapsiagaan Bencana (Evakuasi), Penyediaan Grab Bag, Latihan Penyelamatan Nyawa Asas (CPR) dan Latihan First Aid untuk murid-murid sekolah oleh institusi, agensi dan badan berkaitan seperti UPNM, NADMA, MET Malaysia, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kudat dan NDRC UMS,” katanya.

Dalam Program yang berlangsung selama empat hari itu, NDRC UMS telah memberikan khidmat latihan dan simulasi tindak balas gempa bumi kepada komuniti di Sikuati, komuniti sekitar Pekan Kudat, murid-murid dan guru sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Peter dan di SJK (C) Lok Yuk Batu 1 dan SK Lok Yuk, Kudat.

Tambah Carolyn, aktiviti-aktiviti dalam program tersebut dapat memberikan peluang kepada komuniti untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta respon yang betul ketika menghadapi bencana selain dapat meningkatkan kecekapan dan kesedaran dalam menangani situasi kecemasan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam usaha menjadikan komuniti lebih berdaya tahan terhadap ancaman bencana alam, khususnya di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berisiko tinggi akan mengalami gempa bumi dan tsunami seperti Kudat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Komuniti dan Pembangunan Negara, Yayasan TM, Datin Noorul Syifa Mohd Isa; Pengarah Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) UPNM, Kdr Ts. Dr. Haliza Mohd Zahari; Ketua Projek dan Pegawai Penyelidik Kanan HADR-UPNM, Mohd Muhaimin Ridwan Wong serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.