Anak kelahiran Johor, Chin Jia Wen, 24, berasa teruja apabila dikurniakan Pingat Emas Naib Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-27 pada tahun ini.

Chin yang merupakan graduan daripada Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, berjaya mendapat purata nilai gred PNGK 3.92 dalam bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran antaranya masalah kewangan dan tekanan emosi sewaktu melanjutkan pengajian, namun baginya itu bukanlah sebuah penghalang untuk merangkul kejayaan.

“Saya menyewa di luar kawasan UMS dan perkara itu memaksa saya untuk belajar berjimat demi kelangsungan hidup.

“Dari segi mengawal tekanan emosi dan mental, biasanya saya akan berehat daripada melakukan sebarang kerja kerana bagi saya, kesihatan mental itu sangat penting.

Beliau sempat berkongsi nasihat kepada Mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian.

“Sebagai manusia yang bergelar Mahasiswa semestinya akan menghadapi pelbagai cabaran namun anda perlu jaga dan sayangi diri anda terlebih dahulu.

“Apa pun yang anda lakukan, sabar merupakan kunci kejayaan dalam kehidupan kita,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan hasratnya untuk meneruskan pengajian Sarjana jika ada masa yang sesuai.

 

(artikel disediakan oleh Suzainah Tan Thien Lu, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Berpengalaman selama 15 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan khas bahasa isyarat, Martina Suginsim menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana bagi Program Psikologi Kaunseling di Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-27.

Menurut Martina, yang berasal dari Kudat menyifatkan pencapaiannya itu sebagai detik yang bermakna selepas melalui tempoh pembelajaran sambil bekerja yang mencabar.

“Saya berasa amat sebak dan bersyukur setelah melalui perjalanan yang begitu panjang, saat ini bagaikan hadiah yang memujuk segala kepenatan dan air mata yang pernah tumpah,” katanya.

Sepanjang perkhidmatannya, Martina menyantuni murid-murid orang kurang upaya (OKU) pendengaran dengan penuh komitmen dan rasa bangga terhadap profesion tersebut.

Beliau berkata bahawa pengalaman itu membentuk kefahamannya terhadap Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan budaya Deaf yang mempunyai identiti linguistik tersendiri.

“Setiap gerak tangan dan ekspresi wajah mereka mempunyai makna yang mendalam. Ia bukan sekadar komunikasi, tetapi bahasa yang indah dan penuh nilai kemanusiaan,” jelasnya.

Pengalaman bersama komuniti ini turut memperkaya perspektif beliau tentang cara individu mengekspresikan diri serta berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Mengimbau kembali perjalanan 15 tahun itu, Martina berkata detik paling menyentuh hatinya ialah ketika beliau menyedari bahawa walaupun perjalanan akademiknya mengambil masa yang panjang tetapu beliau tetap bergerak ke hadapan.

“Setiap kali saya hampir berputus asa, ada seseorang yang hadir menghulurkan semangat. Itu sangat bermakna bagi saya,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi bahawa beberapa murid dan individu dalam komuniti OKU pendengaran memberi inspirasi besar kepadanya, terutamanya melihat mereka menjalani kehidupan dengan ketabahan walaupun dalam dunia tanpa suara.

Menurut Martina, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah pengorbanan masa untuk diri sendiri dan keluarga, selain tuntutan kerja yang memerlukan tenaga dan fokus yang tinggi.

“Ada hari-hari saya pulang dalam keadaan amat letih, tetapi tetap memaksa diri untuk belajar. Itu perjuangan yang hanya saya dan Tuhan sahaja yang tahu,” katanya.

Martina turut berharap agar komuniti OKU pendengaran diberikan ruang emosi yang lebih selamat dan akses sokongan psikologi yang lebih baik serta penerimaan masyarakat yang lebih inklusif terhadap cabaran mereka.

“Mereka berhak untuk dilihat, didengar dan dihargai. Sedikit empati daripada masyarakat boleh memberi perubahan besar kepada kehidupan mereka,” katanya.

Bagi Martina, kejayaan yang dikecapinya hari ini bukan sekadar memperoleh segulung ijazah sarjana, tetapi bukti ketabahan dalam mengharungi pelbagai cabaran.

“Ia menegaskan bahawa impian tidak pernah terlambat untuk dicapai, dan setiap kejatuhan memberi peluang untuk bangkit semula,” katanya.

 

(artikel disediakan oleh Nur Asdah Jeferedin, Pusat Pendidikan Fleksibel UMS)

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi ilmu berwibawa di Borneo apabila mengumumkan penawaran tiga program akademik baharu bermula ambilan tahun hadapan.

Tiga program baharu yang diluluskan ialah Sarjana Muda Pengurusan Logistik dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Dietetik dengan Kepujian, dan Sarjana Muda Sains Perubatan dan Kesihatan dengan Kepujian.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, kelulusan ini menandakan keyakinan berterusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), terhadap keupayaan UMS dalam menyediakan pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa negara.

“Kelulusan tiga program baharu ini, beserta penubuhan Fakulti Undang-Undang, membuktikan keyakinan kerajaan khususnya KPT terhadap keupayaan UMS sebagai institusi yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja profesional di Sabah dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sidang kedua Majlis Konvokesyen UMS Ke-27.

Dengan pelancaran tiga program tersebut, UMS kini berada pada landasan kukuh untuk terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kesemua program akan mula ditawarkan kepada pelajar baharu pada sesi pengambilan 2026.

Sementara itu, Kasim turut menekankan pencapaian cemerlang UMS di peringkat global melalui pengiktirafan subjek dan penyelidik universiti.

“Dua subjek utama UMS tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2025, Kejuruteraan Petroleum dalam kelompok 101-150 terbaik dunia dan Pertanian serta Perhutanan dalam kelompok 251-300 terbaik dunia.

“Lima belas penyelidik UMS turut diiktiraf dalam World’s Top 2% Scientists 2025 berdasarkan impak sitasi tahunan dan sepanjang kerjaya mereka.

“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keunggulan akademik dan penyelidikan UMS, malah memperkukuh peranan universiti sebagai ‘The Brain of Borneo’ yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sidang kedua yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS menyaksikan seramai 712 graduan yang terdiri daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP).

 

(artikel disediakan oleh Norafiqa Samil, Graduan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Keberanian meninggalkan zon selesa dan merantau jauh dari kampung halaman, Negeri Sembilan akhirnya membuahkan hasil buat Soo Jit Yee, 24, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27.

Graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan 3.97 dalam jurusan Bioteknologi.

Pada awalnya, beliau mengakui bahawa agak sukar untuk mempercayai berita gembira tersebut.

“Disebabkan saya hanya tahu berita ini melalui satu panggilan telefon dari UMS, saya seperti tidak percaya pada awalnya, risau jika ia satu penipuan.

“Tapi bila dimasukkan ke dalam kumpulan “WhatsApp”, barulah saya sedar memang benar yang saya dapat anugerah ini,” katanya sambil tersenyum.

Keputusan untuk berjauhan dari negeri kelahirannya untuk melanjutkan pelajaran bukanlah suatu perkara yang mudah.

Sejak mula melangkah ke alam kampus, beliau tidak mempunyai sebarang kenalan dan seringkali berhadapan dengan cabaran fasiliti dan pengangkutan.

“Saya datang memang keseorangan sahaja, jadi memang tiada kawan langsung dan perlu cari kawan baharu, tapi lama-kelamaan, semuanya berjalan dengan lancar juga,” tambahnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa sokongan dari rakan terdekat menjadi dorongan utama sepanjang tempoh pengajiannya.

“Apa yang mendorong saya dari kosong sehingga sekarang ialah kawan-kawan yang sentiasa ada dengan saya.”

Bagi beliau, disiplin menjadi keutamaan dalam usaha untuk mengimbangi tugasan akademik, tesis dan komitmen lain.

Beliau bercadang untuk memasuki alam pekerjaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan hasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya di luar negara.

Kecekalan menempuh cabaran, keberanian keluar dari zon selesa dan sikap rendah hati dalam menuntut ilmu menjadikan kisah Soo Jit Yee bukti bahawa usaha dan disiplin membuahkan kejayaan.

 

(artikel disediakan oleh Rachel Annatasha Hilarius, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Izzat Aiman Mohd Yusof, 25, berjaya meraih Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-27 setelah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95. dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam Dengan Kepujian.

Beliau mengakui cabaran utama sepanjang bergelar pelajar UMS termasuk kos makan minum dan penerbangan, tetapi dorongan dan sokongan keluarga banyak membantu.

“Kalau ada apa-apa masalah, saya akan rujuk atau luahkan dengan keluarga, termasuk soal kewangan,” ujarnya.

Izzat yang berasal dari Selangor turut menjelaskan bahawa prinsipnya mudah dan konsisten.

“Di mana pun saya berada, saya fokus untuk cuba yang terbaik saja.

“Selalu bertanya dan rujuk orang,” katanya lagi.

Kata Izzat, beliau tidak pernah terfikir untuk mencapai anugerah tersebut kerana tidak mempunyai latar belakang kepimpinan, dan apabila bercerita mengenai sumber inspirasi, Izzat menyebut abangnya sebagai panduan utama manakala ibunya juga memberikan banyak sokongan sejak awal pengajiannya.

“Saya bersyukur dengan doa dan pengorbanan ibu yang banyak membantu sepanjang pengajian saya,” tambahnya.

Izzat juga berkongsi nasihat yang disampaikan rakannya, berdasarkan tamsilan ulama.

“Kehidupan ini ibarat bayi dalam perut ibu, diberikan tangan, kaki, mata, mulut dan sebagainya tetapi belum tahu apa kegunaannya.

“Dan bila lahir barulah kita faham fungsi sebenar semua itu, sama seperti usaha kita hari ini yang mungkin belum nampak hasil tetapi akan menampakkan hikmahnya pada masa akan datang,” katanya.

 

(artikel disediakan oleh Nadhirah Humaira Binti Muhammad Nahji, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)