Usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan ilmu sains dalam kalangan masyarakat luar bandar perlu diberi perhatian lebih mendalam, kata Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Perubatan Keluarga di FPSK UMS memaklumkan, pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sahaja mampu membina keyakinan pelajar, malah berpotensi melahirkan lebih ramai pakar tempatan bagi membangunkan negeri Sabah pada masa hadapan.

“Komitmen itu dizahirkan menerusi kejayaan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad II Keningau yang merangkul Anugerah Emas dalam pertandingan STEMQuest Ignite Zon Keningau anjuran UMS baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, sekolah tersebut meraih anugerah menerusi dua pelajar Tingkatan 4, Tiara Valendra Rustum dan Arissa Delisha Alfian, yang menghasilkan inovasi Smart Solar Fan, dengan bimbingan guru STEM sekolah Ronald Deck Yami dan Jude James.

Sokongan turut diperkukuh oleh mentor daripada Persatuan Alumni SMK Gunsanad II Keningau (Alumni G2), Salbiah Jeffary @ Jeffry, yang membantu dalam aspek idea serta teknikal.

Dalam pada itu, Pensyarah Perubatan Pelatih Jabatan Perubatan Keluarga UMS merangkap Pengerusi Alumni G2, Dr. Muhd Shafeiq Muhammad Asri berkata, kejayaan itu membuktikan penglibatan akademik universiti bersama sekolah dan masyarakat mampu mencetuskan impak besar dalam memperkasa STEM di luar bandar.

“Kemenangan ini bukan sahaja menjadi pencapaian membanggakan, tetapi juga pembakar semangat kepada murid-murid luar bandar agar berani mencabar diri dan bergiat aktif dalam bidang STEM.

“Usaha ini juga selaras dengan Pelan Strategik UMS (2023-2027) yang menekankan penganjuran projek berimpak tinggi kepada sosioekonomi masyarakat,” ujarnya yang juga penyelia kepada peserta pasukan SMK Gunsanad II.

 

 

Perenang lasak negara, Mohd Ikhmil Fawedz Mohd Hanif, 51, mencatat sejarah apabila berjaya menamatkan renangan sejauh empat kilometer di laut terbuka dengan tangan serta kaki bergari, sempena Program Road to World Record di sini, pada Sabtu.

Beliau memulakan cabaran dari jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuju ke Pulau Sepanggar sebelum menamatkan renangan di Pantai Odec UMS.

Menurut Mohd Ikhmil, perjalanan renangan itu berlangsung lancar dengan pemantauan rapi pasukan pengiring yang mengiringinya sepanjang laluan.

“Saya rasa selamat sepanjang renangan ini, dan itu amat penting bagi seorang perenang profesional, lebih-lebih lagi untuk jarak sejauh ini,” katanya ketika ditemui selepas acara.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, cabaran berkenaan menjadi simbol kekuatan, perpaduan dan keberanian, selain sebagai dorongan kepada generasi muda agar berani menghadapi halangan hidup.

“Renangan dengan tangan dan kaki bergari ini adalah simbolik bahawa walaupun berdepan gelora kehidupan, kita mesti terus melangkah ke hadapan dan jangan biarkan sesaat kegagalan menjadi penyesalan seumur hidup,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pencapaian yang diraih tidak datang secara mudah, sebaliknya menuntut tempoh latihan konsisten selama lebih sedekad, selain berdepan pelbagai kekalahan dan kesukaran.

"Namun yang lebih utama adalah kesanggupan kita memperuntukkan masa dan usaha. Dengan ketekunan, perkara luar biasa boleh dicapai,” katanya.

Bagaimanapun, cabaran tetap hadir apabila beliau mengalami kekejangan otot serta keletihan akibat arus kuat dan rasa lapar ketika berada di kawasan laut dalam, namun tetap meneruskan renangan hingga ke garisan penamat.

Beliau berjaya menamatkan renangan pada jam 1.54 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada masyarakat setempat yang hadir.

Program Road to World Record itu turut menjadi langkah awal Mohd Ikhmil untuk melakar nama dalam Malaysia Book of Records, sebelum mencuba memecahkan rekod dunia pada Ogos 2026 di Johor.

“Kami masih meneliti lokasi penganjuran, kemungkinan besar di Desaru atau Forest City, bergantung kepada perkenan Kebawah Duli Tuanku,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor melalui ucapan yang dibacakan Pendaftar Luqman Ridha Anwar mengucapkan tahniah kepada Mohd Ikhmil dan pasukannya atas kejayaan bersejarah itu.

Beliau berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam marin.

Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim Prof Datuk Dr Ismail Ali, Naib Presiden Borneo Sales Andy Chai Chee Teck, Ketua Pegawai Eksekutif Beau Villas IBS Sdn Bhd Michael He Long, selain pegawai dan ketua jabatan UMS.

 

Lawatan akademik enam pensyarah Program TESL Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke University of Foreign Language Studies - University of Da Nang (UFLS-UD), Vietnam baru-baru ini membuka peluang baharu dalam aspek penyelidikan dan pengantarabangsaan.

Selain pengajaran dan perkongsian amalan terbaik, pertemuan bersama pihak UFLS-UD turut menghasilkan perbincangan awal mengenai dua geran padanan penyelidikan bersama, potensi penerbitan kolaboratif antarabangsa, serta usaha memperkukuh jaringan akademik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Lawatan tersebut juga memberi impak positif terhadap agenda program pascasiswazah UMS apabila berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga calon berpotensi untuk program pengajian siswazah di bawah seliaan pensyarah FPPS.

Sepanjang lawatan, pensyarah UMS telah dijemput menyampaikan kuliah jemputan bertajuk ‘Innovation and Best Practices in EL Teaching and Learning: Bridging Research and Classroom Practice’ yang melibatkan dua fakulti daripada Faculty of English dan Faculty of Foreign Language Teacher Education.

Ketua delegasi UMS, Dr. Wirawati Ngui berkata penglibatan aktif para pensyarah dalam program di UFLS ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik dalam bidang pengajaran bahasa.

“Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman antarabangsa pensyarah dan pelajar, malah turut membuka ruang untuk jaringan penyelidikan serta pembangunan akademik antara UMS dan UFLS-UD,” katanya.

Delegasi UMS turut mengambil bahagian dalam sesi pengajaran berkumpulan bersama 35 pelajar Business English serta menjadi tetamu jemputan semasa sesi Kuliah Jemputan oleh Jonathan Kennedy dari University of Wellington, New Zealand dan Majlis Ulang Tahun ke-40 UFLS-UD yang berlangsung di Da Nang Marriot Resort and Spa.

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS, Profesor Madya Dr. Wardatul Akmam Din yang turut serta dalam delegasi berkenaan berkata kerjasama strategik dengan UFLS-UD adalah selaras dengan usaha UMS memperkukuh jaringan penyelidikan dan akademik di peringkat antarabangsa.

“Kerjasama ini memberikan nilai tambah yang signifikan bukan sahaja dalam konteks penyelidikan dan penerbitan, tetapi juga dalam memperluas skop mobiliti akademik serta mempertingkat kualiti penyeliaan pelajar antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelaras Mobiliti TESL FPPS, Dr. Ting Pick Dew, berkata lawatan tersebut membuka ruang baharu untuk memperkukuh program pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua institusi.

“Usaha ini bukan sahaja menyediakan peluang kepada pelajar UMS untuk mendapatkan pengalaman antarabangsa, malah turut menarik minat pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di UMS,” jelasnya.

Inisiatif yang dilaksanakan ini mengukuhkan lagi komitmen UMS dalam memacu agenda pengantarabangsaan, penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan serantau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menganjurkan International Borneo One Health Summer Camp 2025 kali ketiga yang menghimpunkan 32 peserta dari enam negara.

Negara yang mengambil bahagian ialah Malaysia, Indonesia, Brunei, Bangladesh, Vietnam dan Filipina.

Program anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS itu berlangsung dari 31 Ogos hingga 7 September sebagai usaha melahirkan pemimpin muda dalam bidang kesihatan planet.

Sebelum itu, sesi pembelajaran dalam talian diadakan pada 23 dan 24 Ogos bagi memberi pendedahan awal kepada para peserta.

Sepanjang program, peserta menjalani aktiviti lapangan melibatkan lawatan ke Rainforest Discovery Centre, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Borneo Sun Bear Conservation Centre.

Pengarah program, Dr. Zulkhairul Naim Sidek berkata, kemahiran kepimpinan dalam bidang kesihatan planet amat penting dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran.

“Program ini memberikan peluang kepada peserta untuk merasai sendiri keadaan di lapangan, sekali gus memberi impak besar kepada pemahaman mereka terhadap isu kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakil Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim.

Dalam ucapannya, beliau berkata tema program bertepatan dengan keperluan global semasa dan selaras dengan komitmen UMS terhadap kelestarian alam serta kesihatan sejagat.

Peserta dari Indonesia, Luthfi Ahmad Muchlashi menyifatkan penyertaan itu memberi pengalaman bermakna kerana dapat membina jaringan antarabangsa dan meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan serta alam sekitar rantau ini.

Program berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memperkukuh kefahaman serta kerjasama serantau dalam menangani isu kesihatan, persekitaran dan kesejahteraan komuniti.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi serta membudayakan penabungan dalam kalangan warga kampus.

Majlis yang berlangsung di Hotel Lab, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu menyaksikan pemeteraian dokumen oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid yang disaksikan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalil.

Jelas Kasim kerjasama tersebut bukan sahaja tertumpu kepada aspek pembiayaan pendidikan, tetapi turut merangkumi pembangunan graduan, perkongsian data, promosi maklumat, pembudayaan penabungan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“MoU ini menjadi titik tolak positif bagi hubungan strategik antara UMS dan PTPTN. Saya berharap kerjasama ini akan membawa manfaat bukan sahaja kepada pelajar dan kakitangan UMS, tetapi juga memberi impak kepada komuniti pendidikan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, menurut Dasuki, UMS merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ke-20 yang menjalin kerjasama strategik bersama PTPTN.

“Sehingga 31 Julai 2025, seramai 83,440 pelajar UMS telah menerima pembiayaan pendidikan dengan nilai pinjaman keseluruhan hampir RM1.67 bilion.

“MoU ini menjadi satu landasan penting dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi serta menyantuni komuniti pelajar, selaras dengan peranan PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara,” tambahnya

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran graduan agar lebih bersedia menghadapi keperluan industri semasa.

Di samping itu, kerjasama ini turut memperkukuh hebahan maklumat serta promosi pendidikan yang lebih berkesan dan dapat memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti kampus secara menyeluruh.

Pembudayaan Simpan SSPN juga menjadi salah satu agenda penting, dengan pelbagai program dan inisiatif untuk menggalakkan tabungan pendidikan dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Penyelidikan dan pembangunan idea baharu turut menjadi fokus utama bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai tanggungjawab pembayaran semula pinjaman serta kepentingan pengurusan kewangan.

Antara inisiatif yang disokong termasuk myWaqafPTPTN, hasil kerjasama PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi memperluas sumber dana pembiayaan untuk membantu mahasiswa memerlukan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM14,395.21 kepada pelajar Fakulti Pertanian Lestari UMS, Mohammad Nizamuddin Fransisco Antalan, di bawah Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan PTPTN.

“Saya sangat bersyukur kerana ini adalah peluang yang tidak saya jangka akan peroleh, dan ia bukan sesuatu yang mudah. Semestinya saya berasa amat gembira dengan bantuan yang diberikan oleh PTPTN ini.

“Kemampuan setiap pelajar adalah berbeza. Saya berharap dengan adanya jalinan strategik ini, lebih ramai anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Dengan termeterainya MoU itu, UMS dan PTPTN bertekad untuk meneruskan lebih banyak inisiatif bersama demi melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah celik kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

Halaman 1 dari 845