SELASA, 20 OGOS - Penganjuran Program Selangkah Ke Menara Gading (SEMEGA) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan satu inisiatif bagi membantu pelajar-pelajar sekolah menengah untuk meneruskan pengajian di menara gading apabila tamat sekolah kelak.
Program yang berlangsung selama tiga hari di kampus UMS itu menghimpunkan seramai 181 pelajar tingkatan lima dan enam sekolah menengah dari 12 buah daerah di seluruh negeri Sabah.
Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof memuji usaha MPP UMS dalam menganjurkan program yang memberi manfaat khususnya kepada pelajar sekolah luar bandar.
“Saya percaya melalui program ini para peserta dapat pendedahan awal berkaitan suasana kehidupan serta budaya pembelajaran dalam kampus universiti.
“Pendedahan awal ini penting agar apabila mereka berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading kelak, mereka tahu apa jangkaan yang perlu dicapai di universiti dan tidak mengalami kejutan budaya sehingga mempengaruhi pencapaian akademik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program tersebut di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.
Tambah Vina, penganjuran program tersebut juga mampu memotivasikan para peserta untuk memasang cita-cita melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi serta membantu untuk mendisiplinkan mereka agar terus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan berusaha untuk mencapai pencapaian yang baik bagi melayakkan mereka diterima masuk ke universiti.
“Diharapkan para peserta dapat menimba ilmu khususnya berkaitan dengan budaya pembelajaran yang baik, selain memanfaatkan peluang ini untuk mengenali program-program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UMS bagi membolehkan mereka membuat permohonan kelak,” ujar beliau.
Terdahulu, Pengarah Program SEMEGA 2019, Lee Khai Ting berkata objektif penganjuran SEMEGA 2019 adalah bagi menarik para pelajar untuk meneruskan pengajian selepas sekolah menengah dan memilih UMS sebagai pilihan utama untuk menyambung pelajaran.
“Program ini akan menjadi medium berterusan oleh MPP bagi terus menyumbangkan bakti dalam menyalurkan maklumat serta menyuntik semangat para peserta agar terus bersemangat mencapai impian untuk menyambung pengajian di universiti,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal pelajar UMS, Alna Tugon dan Presiden MPP, Muhd Jivean Johan Wira.



SELASA, 20 OGOS - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin komited untuk meningkatkan lagi kualiti universiti itu termasuk dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, fasiliti dan infrastruktur serta kebolehpasaran pelajarnya bagi memastikan UMS berada dalam kedudukan sebagai antara universiti terbaik dunia.
ISNIN,19 OGOS - Kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pemain industri bukan sahaja mengukuhkan penyelidikan tetapi juga merangsang sosio ekonomi dan menjana pertumbuhan kepada masyarakat di Sabah.
JUMAAT, 16 OGOS - Universiti Malaysia Sabah UMS menerima kehadiran 56 pelajar Wuyi University China bagi menjalani Kursus Kecerdikan Buatan (Algoritma Genetic) di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS.
JUMAAT, 16 OGOS - Fokus yang tinggi dan tetap percaya pada matlamat yang ingin dituju perlu ada dalam diri untuk terus maju ke hadapan.