Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh peranan sebagai pusat ilmu dan inovasi dengan penubuhan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN), sekali gus menjadikan UMS sebagai hab rujukan utama Borneo dalam bidang sains sukan.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata kerjasama penubuhan pusat itu adalah mercu tanda penting dalam pembangunan sukan di Sabah dan simbol kerjasama strategik universiti malaysia sabah dengan agensi nasional.

Katanya ia juga menjadikan UMS sebagai hab rujukan utama bidang kejurulatihan, fisiologi sukan, nutrisi, biomekanik, teknologi sukan dan pengesanan bakat.

“Selain itu, kerjasama penubuhan pusat ini akan menjadi platform penyelidikan dan pembangunan sains sukan serta memberi khidmat kepakaran kepada atlet, jurulatih dan pihak berkepentingan,”katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Satelit ISN di Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS, baru-baru ini.

Kasim turut menekankan bahawa langkah penubuhan ISN itu selaras dengan peranan UMS sebagai The Brain of Borneo yang sentiasa mendukung agenda pembangunan sukan berasaskan ilmu, inovasi dan teknologi.

Tambah beliau, kerjasama ini akan melahirkan lebih ramai pakar sains sukan tempatan sekali gus memperkukuh ekosistem sukan berprestasi tinggi di Sabah.

Sementara itu, Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata kewujudan pusat itu membuka ruang lebih luas kepada FPPS untuk memperkukuh pengajaran, pembelajaran, memperluas jaringan penyelidikan, serta memberi peluang pelajar melibatkan diri dalam projek berimpak tinggi dan penyelidikan pascasiswazah.

Majlis turut diserikan dengan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoA) antara UMS dan ISN yang mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan sukan berasaskan ilmu, teknologi dan inovasi.

MoA tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan khidmat kepada atlet, sesi ilmu dan amalan bagi meningkatkan prestasi sukan negara, menggalakkan kekuatan serta ketahanan tubuh serta menghasilkan inovasi berasaskan penyelidikan.

Hadir sama Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Amrina Chin, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan keterlihatan antarabangsa melalui pemeteraian Surat Niat (Letter of Intent, LOI) bersama Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Pancasila (UP) dalam satu majlis yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

Perjanjian persefahaman ini melibatkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS yang diwakili oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim, manakala pihak UP diwakili oleh Wakil Dekan II, Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Dr. Erwin Permana.

Seminar ilmiah khas bertajuk “Bridging SDGs and Islamic Ethics: Community Empowerment and Green Halal Consumerism in Southeast Asia” turut diadakan dengan menampilkan dua pembentang utama, iaitu Dr. Nurul Hilmiyah dari UP dan Profesor Madya Dr. Jakaria Dasan dari UMS.

Seminar itu menekankan kepentingan menggabungkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan nilai etika Islam dalam usaha pembangunan komuniti. Kedua-dua pembentang turut membincangkan strategi intervensi berstruktur yang mampu memperkasakan masyarakat melalui pendekatan pembangunan holistik.

Menurut Jakaria, pendekatan bersepadu yang mengintegrasikan pengetahuan pembangunan komuniti, nilai Islam, dan kerangka SDG bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar, malah memperkukuh amalan kepenggunaan halal yang lestari di Asia Tenggara.

“Seminar ini membuka perspektif baharu kepada para akademik tentang realiti pembangunan akar umbi dan kepentingan pendekatan holistik yang merangkumi dimensi ekonomi, sosial, budaya, alam sekitar serta etika Islam,” katanya.

Kejayaan penganjuran seminar ini turut memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Ia juga menjadi platform strategik untuk memperluas kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan, penyelidikan serta pembangunan komuniti berteraskan prinsip SDG.

Hadir sama ialah Profesor Madya Rosle Mohidin dan Dr. Mohamad Isa Abd Jalil dari UMS.

 

Seramai 61 pelajar tahun dua Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Kem Ukur 2025 yang berlangsung di Pusat Sejadi Hutan Lipur Kawang, Papar, Sabah, baru-baru ini.

Kem ini diketuai oleh pensyarah FKJ, Sr. Ts. Br. Dr. Asmawan Mohd Sarman dengan matlamat utamanya adalah untuk menghubungkan pembelajaran teori di bilik kuliah dengan amalan kerja lapangan sebenar.

Menurut Dr. Asmawan, kem tersebut dirancang bagi memberikan pemahaman yang jelas dan pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai teknik ukur tanah menggunakan peralatan moden seperti total station dan levelling.

Katanya ia juga menekankan aspek kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, komunikasi, kepimpinan dan kemahiran penyelesaian masalah dalam situasi mencabar.

“Kerja ukur merupakan asas kepada semua projek kejuruteraan awam. Kem ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal, malah membentuk daya tahan fizikal dan mental pelajar dalam situasi lapangan,” katanya.

Sepanjang kem, peserta terlibat dalam pelbagai tugasan seperti open and closed traverse, levelling, tacheometry dan pemetaan kontur.

“Aktiviti ini memerlukan ketelitian dalam pengumpulan data, pengiraan yang tepat serta kerjasama berpasukan.

“Setiap pelajar turut diberi peluang mengendalikan peralatan, merekod bacaan dan menyemak hasil pengukuran.

“Selain aspek teknikal, kem ini juga mengajar pelajar tentang pengurusan masa, perancangan logistik dan membuat keputusan di bawah tekanan serta kemahiran penting untuk kerjaya masa hadapan,” katanya.

Hutan Lipur Kawang dipilih kerana persekitaran semula jadinya yang mencabar dengan variasi bentuk muka bumi, sekali gus menguji kebolehan pelajar menyesuaikan diri.

Pengarah Kem, Azrin Azahari berkata, selain meningkatkan kemahiran teknikal, kem ini turut merapatkan hubungan antara pelajar, menguji kemampuan menyesuaikan diri dengan berkesan.

“Kem ini bukan sahaja memperkukuh penguasaan ilmu kejuruteraan awam, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan ketahanan diri.

“FKJ berharap program seumpama ini akan terus dijalankan bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah dan daya tahan untuk cemerlang dalam profesion kejuruteraan,” katanya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan komitmennya untuk mewujudkan kampus yang selamat, harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk perundungan melalui pelancaran Program ‘Kampus Anti-Buli’.

Inisiatif tersebut diumumkan sempena Program Solidariti UMS untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebagai usaha memperkukuh tindakan pencegahan terhadap isu buli yang kian membimbangkan di institusi pendidikan.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program tersebut akan memberi fokus kepada pendidikan karakter, pengukuhan tindakan disiplin dan pemerkasaan budaya prihatin sesama warga kampus.

“Program ‘Kampus Anti-Buli’ merupakan tekad UMS untuk memastikan setiap pelajar dan staf merasakan kampus sebagai tempat yang selamat, dihormati dan bebas daripada ancaman buli, sama ada secara fizikal, psikologi mahupun siber.

“Marilah kita bersama menyalakan sinar harapan baru dimana kebebasan, keselamatan dan keharmonian mewarnai setiap langkah warga UMS,” katanya.

Program tersebut turut disokong dengan pelaksanaan kempen “UMS Sayang Semua’’ dan inisiatif “Speak Up, Save A Life’’ yang juga merupakan satu bentuk usaha UMS dalam memelihara keselamatan, maruah dan kesejahteraan setiap warganya.

“Bagi memperluas keberkesanan inisiatif, UMS juga melancarkan kempen digital #UMSBebasBuli yang digerakkan melalui media sosial sebagai wadah menyebarkan mesej positif, sokongan rakan sebaya dan penolakan budaya buli.

“Kempen ini menekankan bahawa suara kolektif warga kampus mampu mencetus perubahan budaya yang lebih selamat.

“Pelancaran program dan kempen ini diharap menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya kampus yang lebih positif, selain menjadi contoh kepada institusi lain dalam usaha membanteras perbuatan buli,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidkan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Raman Nordin dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program akademik dan pembangunan komuniti bersama Universitas Nasional (UNAS), Jakarta baru-baru ini. .

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Rahimie Abd Karim berkata, lawatan rasmi itu antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan komuniti.

“Selain itu, pertemuan ini membuka peluang kepada kedua-dua universiti untuk melaksanakan mobiliti pensyarah dan pelajar, penyelidikan bersama, serta program pembangunan profesionalisme.

“Di samping itu, ini juga selaras dengan usaha UMS untuk memperkasa agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pendidikan inklusif, lestari dan berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan rasmi dengan Dekan Fakulti Ekonomi dan Bisnis UNAS, Prof. Dr. Edi Sugiono, serta Wakil Rektor Bidang Akademik, Kemahasiswaan dan Alumni, Dr. Dra. Erna Ermawati Chotim.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPEP,  Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan yang turut bersama rombongan lawatan FPEP memaklumkan, beliau telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian bertajuk “From Intervention to Transformation: Lessons from 18 Community-Based SDG Projects” kepada 39 mahasiswa UNAS.

“Dalam perkongsian ini, antara yang diketengahkan adalah pendekatan penilaian impak menggunakan model Return on Value (ROV) berasaskan enam dimensi termasuk impak ekonomi dan penjajaran dengan SDG.

“Respons mahasiswa sangat memberangsangkan dengan penglibatan aktif dalam sesi soal jawab yang penuh refleksi kritikal,” katanya.

Selain sesi akademik, delegasi UMS juga katanya turut menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Antarabangsa di Komunitas Bir Pletok Cempedak Lestari, Jakarta Selatan.

“Delegasi FPEP diberi peluang berkongsi kepakaran dalam aspek pemasaran, pengurusan produk dan pembangunan kapasiti usahawan mikro, di samping berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat.

“Program CSR ini menjadi wadah penting dalam membina hubungan antara universiti dan masyarakat, sekali gus menyokong keusahawanan sosial tempatan,” ujar Jakaria.

Turut serta dalam delegasi FPEP UMS ialah Prof. Madya Rosle Mohidin dan Dr. Mohamad Isa Abd Jalil.