RABU, 28 FEBRUARI : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) bersama Kementerian Sains Teknologi  dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya, CyberSecurity Malaysia (CSM) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) untuk berkolaborasi mewujudkan Klinik Keselamatan Siber.

Majlis menandatangani MoA tersebut berlangsung di sebuah hotel di Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini yang menyaksikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatanganinya bagi pihak UMS sementara CSM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab dan disaksikan oleh Menteri  Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Klinik Keselamatan Siber yang kini dalam proses pembangunan di FKI merupakan satu inisiatif dari UMS untuk menyediakan satu perkhidmatan forensik digital yang mudah serta dipercayai.

Objektif utama diwujudkan Klinik Keselamatan Siber adalah untuk membantu mereka yang memerlukan pembaikpulihan maklumat aset atau data daripada pemacu keras yang telah rosak.

Antara perkhidmatan yang akan ditawarkan seperti pemulihan data, sanitasi data dan perkhidmatan konsultansi bukan sahaja kepada agensi kerajaan, malahan syarikat swasta dan orang awam.

Inisiatif ini yang dilaksanakan di bawah program Pembangunan Usahawan MyCyberSecurity Clinic (MyCSC) merupakan satu program perkembangan cawangan MyCSC yang telah dibangunkan oleh pihak CyberSecurity Malaysia.

Program ini bermatlamat untuk menyemarakkan pembangunan keusahawanan khusus dalam bidang keselamatan siber di seluruh Malaysia.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, Klinik Keselamatan Siber akan menyediakan platform bagi seluruh rakyat Sabah amnya dan warga UMS khasnya untuk mendapatkan bantuan dan khidmat dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan forensik digital dan perkhidmatan berkaitan ICT daripada sumber yang dipercayai dengan kos yang sangat kompetitif.

“Klinik ini juga merupakan klinik siber yang pertama seumpamanya di Borneo. Secara tidak langsung, ia juga memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan selain memberi pendedahan kepada
 bidang kerjaya yang berkaitan dengan forensik digital.

“Melalui klinik ini, ia juga menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam bidang berkaitan dengan keselamatan siber dengan memberikan pendedahan secara praktikal kepada para pelajar dan seterusnya menjadikan UMS sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang mempunyai program seumpama ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, inisiatif ini juga dilihat sebagai salah satu usaha universiti mempelbagaikan sumber penjanaan pendapatannya.

“Selari dengan hasrat UMS ke arah transformasi Universiti Industri 4.0, inisiatif ini juga akan memberi pendedahan kepada penyelidik tentang potensi penyelidikan berkaitan dengan keselamatan siber yang mana potensi kajian kes dan data-data penyelidikan boleh diperoleh dengan lebih mudah.

“Saya percaya, pelbagai bentuk kerjasama boleh dijalinkan pada masa hadapan bersama CSM untuk merealisasikan hasrat UMS ke arah Universiti Industri 4.0,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Hj. Amirudin Abdul Wahab berkata, Klinik Keselamatan Siber merupakan inisiatif CSM yang dibangunkan khusus sebagai ‘touch point’ kepada pengguna internet di Malaysia sama ada individu, agensi dan jabatan kerajaan, agensi swasta dan para usahawan kecil dan sederhana.

“Mereka juga boleh mendapatkan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber serta bantuan kecemasan siber seperti melaporkan insiden serta ancaman keselamatan siber dengan lebih mudah,” katanya yang turut berterima kasih dengan UMS yang sangat komited mewujudkan Klinik Keselamatan Siber di Sabah.

“Saya berharap agar kerjasama ini dapat melestarikan bidang keselamatan siber di Malaysia, khususnya di negeri Sabah,” katanya lagi.

Klinik Keselamatan Siber ini dijangka akan mula beroperasi pada 15 April 2018.

 

 

 

RABU, 28 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bakal mewujudkan Kampus Satelit PERHEBAT-UMS bagi memperkasa ilmu pengetahuan dan kemahiran anggota serta bekas tentera di Sabah.

Kampus Satelit PERHEBAT dan UMS diwujudkan khusus untuk anggota dan veteran tentera selepas mengadakan hubungan dua hala sejak 2016.

Bercakap ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kampus berkenaan,  Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, kerjasama pintar itu memberi manfaat kepada pesara dan bakal pesara tentera di Sabah kerana membolehkan mereka menimba ilmu serta kemahiran baharu, sekali gus memperkasa keupayaan diri dalam meningkatkan sosio ekonomi menerusi program latihan ditawarkan.

"Usaha ini juga adalah tanda penghargaan atas segala jasa mereka ketika menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan negeri," katanya.

Beliau yang juga Pro Canselor UMS berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha tersebut kerana ia memberi peluang kepada pesara dan bakal pesara tentera meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi disokong oleh kepakaran UMS.

Pada majlis itu, Tan Sri Musa turut menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) dan memorandum persefahaman (MoU) antara PERHEBAT dan UMS; Sedcovest@Sedco, Persatuan Penjaja Sabah, APKU Akademi dan ANS Sdn Bhd.

Hadir sama Pengerusi PERHEBAT Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

 

ISNIN, 26 FEBRUARI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengadakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu masyarakat setempat yang kurang bernasib baik.

Kelmarin, UMS menyerahkan sebuah lagi Rumah Komuniti CSR kepada sebuah keluarga kurang berkemampuan di Kampung Pelakat, Sapok Sipitang.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, Projek Rumah Komuniti CSR itu yang dibina dengan kos sebanyak RM20,000 diberikan secara percuma kepada penerima yang berdaftar dengan program E-Kasih, Mohammad Johanes @ Rosli.

“Pemilihan ini juga dibuat melalui Pejabat Daerah Sipitang,” jelasnya sambil memaklumkan pembinaan rumah tersebut adalah berkonsepkan sistem bangunan berindustri (IBS) dengan saiz berukuran 600 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur, satu tandas, dapur kecil dan ruang tamu.

Majlis perasmian dan penyampaian Rumah Komuniti CSR UMS itu disempurnakan Ketua Pemuda Umno Sipitang, Yamani Hafez Musa.

Yamani yang juga Ketua Pemuda Umno Sabah dan Penasihat Persatuan Siswazah Sabah di Semenanjung Malaysia turut menyampaikan bantuan alatan sekolah kepada 100 pelajar sekolah rendah dan baucar buku kepada 30 mahasiswa UMS yang berasal dari Sipitang.

Untuk rekod, UMS melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sebelum ini juga telah menyerahkan dua Rumah Komuniti CSR masing-masing di Kota Belud dan Tawau, manakala sebuah lagi akan disampaikan di Sandakan dalam tempoh terdekat.

JUMAAT, 23 FEBRUARI – Lawatan muhibbah delegasi Universiti Pertanian Bogor (UPB), Indonesia ke Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu mengeratkan lagi hubungan kerjasama yang sedia terjalin sejak tahun 2008.

Delegasi UPB yang diketuai Dr. Siti Suharti bersama-sama ahli akademik lain antaranya Prof Dr. Komang, Prof Dr. Pancar, Prof Dr. Dewi, Prof Dr. Ir Yuli dan Ir. Dwi Margi disambut mesra oleh Dekan FPL, Prof Madya Dr. Saafie Salleh.

Rombongan lawatan yang turut diiringi oleh pensyarah kanan UMS, Dr. Jupikely James Silip dan Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Sabah, Ir. Samto Sula dibawa meninjau fasiliti pengajaran kampus FPL melalui pemandangan di Roof Top Garden, Tingkat Tiga Bangunan Pentadbiran Kampus FPL.    

Dalam pada itu, Dr. Saafie menjelaskan UPB merupakan rakan kerjasama FPL sejak sedekad lalu, dengan kedua-dua institusi saling bertukar-tukar ilmu pertanian melalui Persidangan Jaringan Penyelidikan pada tahun 2014 dan beberapa aktiviti penyelidikan bersama.

“FPL dan UPB juga komited untuk terus meningkatkan kerjasama khususnya dalam bidang pertanian bagi manfaat anak bangsa khususnya di rantau nusantara,” ujar beliau.

JUMAAT, 23 FEBRUARI: Program Townhall Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada kakitangan pelbagai lapisan di universiti itu.

Terbaru, UMS mengadakan program tersebut di Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Kampus UMS Sandakan yang dihoskan Penolong Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPL, program sehari itu menyaksikan kupasan Pelan Strategik UMS 2018-2020 bersama Naib Canselor UMS, Prof D. Kamarudin D. Mudin.

Dalam masa yang sama Naib Canselor UMS berkongsi pandangan daripada pihak pengurusan universiti di samping memberi peluang kepada semua kakitangan pelbagai skim dan gred jawatan di FPL mengemukakan cadangan ke arah merealisasikan visi dan misi universiti.

Program itu disertai Dekan FPL UMS Sandakan, Prof Madya Dr. Saafie Salleh bersama seramai 121 kakitangan kakitangan akademik dan pentadbiran di fakulti berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar, No’man Datuk Hj. Ahmad; Bendahari, Zallifah Shadan; dan Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Awang Amit.

Untuk rekod, Program Townhall UMS sebelum ini telah dilangsungkan di UMS Kota Kinabalu dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

 

Sumber: Roslan Gimba FPL