SELASA, 25 APRIL – Sejumlah 27 kenderaan pacuan empat roda melibatkan lebih 100 peserta dalam kalangan warga UMS serta kakitangan agensi kerajaan dan swasta memulakan perjalanan bagi konvoi Rentas Borneo ke-4: Ekspedisi Permata Rimba Magandai kelmarin.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, Ekspedisi Rentas Borneo yang merupakan acara tahunan UMS telah memasuki siri penganjuran kali keempat pada tahun ini.

“Matlamat Rentas Borneo untuk mendekati masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman dengan akses jalan yang sangat terhad adalah satu usaha murni dan pihak pengurusan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Justeru, warga universiti, sama ada ahli akademik, pentadbiran atau pelajar haruslah serba boleh dan dapat berfungsi di mana-mana sahaja dan tidak menghabiskan masa hanya di bilik kuliah atau pejabat semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sempena majlis pelepasan konvoi tersebut yang disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid di Anjung Siswa, UMS.

Tambah Datuk Harun, beliau menaruh keyakinan tinggi bahawa setiap program anjuran UMS akan membawa impak kepada masyarakat setempat, serta warganya sentiasa mempunyai tekad yang tinggi dalam usaha menabur bakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Datuk Hajah Jainab ketika berucap pada majlis tersebut berkata, semangat yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam program ini membuktikan kepekaan mereka terhadap keperluan masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya juga difahamkan rombongan Rentas Borneo akan mengadakan banyak aktiviti bersama masyarakat Kg. Magandai,  Kota Marudu.

“Menyedari hakikat bahawa program ini memberi impak yang besar terhadap masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman, saya mengharapkan program seumpama ini terus diadakan dan pihak kementerian akan turut sama membantu,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Datuk Hajah Jainab turut menyampaikan sumbangan RM3,000 sebagai bantuan keperluan Konvoi Rentas Borneo yang akan berkampung di Sekolah Kebangsaan Magandai sehingga 28 April ini.

 

 

JUMAAT, 21 APRIL - Exco Sukan dan Rekreasi, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman E baru-baru ini berjaya menganjurkan Sukan antara Jakmas (SUKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan jayanya. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kolej itu,  SUKMAS merupakan aktiviti sukan yang melibat felo, Jakmas dan sekretariat Jakmas.  Ia antara lain bertujuan mewujudkan persaingan yang sihat antara felo Jakmas kolej kediaman seluruh kampus.

Di samping itu, kenyataan tersebut memaklumkan, ia juga bagi merapatkan hubungan silaturahim antara felo, Jakmas dan Sekretariat Jakmas antara kolej-kolej kediaman.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak empat jenis sukan iaitu boling, futsal, bola tampar dan bola jaring telah dipertandingkan pada acara yang menyaksikan penglibatan 125 orang dari Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad, Kolej Kediaman E, Kolej Kediaman Sri Angkasa dan Non-resident.

Kolej Kediaman E muncul sebagai juara keseluruhan setelah mengungguli sukan boling dan bola jaring.

Bagi acara futsal dan bola tampar, ia masing-masing dimenangi oleh Kolej Kediaman Tun Mustapha dan Kolej Kediaman Sri Angkasa.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj Awang Ahmad.

Yang turut hadir, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili dan barisan felo kolej-kolej kediaman.

 

Sumber: Kolej Kediaman E

 

JUMAAT, 21 APRIL - Hampir 200 kakitangan Akademik menjayakan Jerayawara University  Transformation Programme (UniTP) Orange Book  yang diadakan di Auditorium Pascasiswazah, hari ini.

Kesemua mereka terdiri daripada para pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah.

Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA) UMS, program tersebut telah dikendalikan Ahli Penulis UniTP Orange Book yang juga pensyarah Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  Prof. Dr. Rose Alinda Alias.

Turut menjadi penceramah ialah Timbalan Pengarah, Pusat Latihan Kepimpinan, Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang juga merupakan Ahli Penulis UniTP Orange Book, Prof. Madya Dr. Mohd. Rusdan Mohd. Jailani.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin, merakamkan setinggi penghargaan kepada KPT kerana memilih UMS sebagai lokasi penganjuran program yang disifatkannya amat penting dan bermanfaat.

“Kita sangat bertuah kerana, kita telah menjadi lokasi yang kedua untuk jerayawara ini.

“Melalui program ini kita akan diperkenalkan kepada kepentingan membina kecemerlangan bakat dan rangka kerja bagi empat laluan kerjaya akademik, proses pelaksanaan dan faktor-faktor penting dalam membangunkan serta mengekalkan kecemerlangan kepimpinan dalam laluan kerjaya yang berbeza (DCP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Hadir sama,  Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Pengarah PPSA, Prof. Dr. Marcus Jopony.

 

  

JUMAAT, 21 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan P.S Yap, Isma & Associates menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mengukuhkan lagi kerjasama, koordinasi dan perkongsian maklumat khususnya dalam bidang akademik dan latihan industri berasaskan kampus.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah, manakala Rakan Kongsi Kanan, Dato’ Yap Pian Seen pula mewakili firma akauntan yang bertauliah di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA) itu.

Majlis menandatangani memorandum berkenaan disaksikan Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Penasihat Perniagaan P.S. Yap, Isma & Associates, Haji Md Kasim Haji Harun.

Datuk Harun ketika ditemui media kemudiannya memaklumkan, MoA itu merangkumi beberapa bidang kerjasama meliputi aspek akademik serta latihan industri pelajar dan pensyarah perakaunan.

“Kerjasama ini dilihat amat penting dan boleh meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa sekali gus menepati sasaran MIA yang mensyaratkan pensyarah perakaunan mempunyai pengalaman industri sekurang-kurangnya 12 bulan.

“Kita juga akan bekerjasama dalam menganjurkan latihan, seminar, bengkel atau persidangan serta aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan,” tambah beliau.

Untuk rekod, UMS dan P.S. Yap, Isma & Associates telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 19 Mei 2015, dan mula beroperasi pada tarikh yang sama di kampus UMS dengan pembukaan pejabat yang dinamakan “Business Solutions @ UMS” di Aras 1, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Hadir sama Dekan FPEP,  Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

KHAMIS, 20 APRIL - Program Dekat Di Hati Kami (DETIK) anjuran Kelab Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi bimbingan kepada pelajar sekolah dalam membentuk ciri-ciri kepemimpinan pelajar.

Menurut pengarah program tersebut, Nur Anis Shazween, program yang diadakan selama tiga hari di SMK Taun Gusi 2, Kota Belud ini telah dianjurkan buat kali ketiga oleh kelab tersebut.

“Program pada kali ini disertai seramai 131 orang pelajar sekolah yang terdiri daripada mereka yang memegang pelbagai jawatan seperti barisan majlis perwakilan pelajar sekolah dan asrama, pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, ketua kelas dan pembimbing rakan sebaya.

“Melalui perlaksanaan program seperti ini juga, siswa-siswi UMS mampu merapatkan jurang antara masyarakat luar selain membuka minda dan mengasah pembangunan insaniah baik kepada pelajar UMS yang terlibat sebagai fasilitator mahupun para pelajar sekolah yang terlibat selaku peserta,” katanya.

Nur Anis menambah, program berbentuk kepemimpinan ini dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti latihan dalam kumpulan berobjektifkan untuk membentuk ciri-ciri pemimpin dalam kalangan para peserta.

“Diharapkan program ini bakal dijadikan program tahunan kelab agar nilai kepemimpinan daripada siswa-siswi dapat dikongsi bersama pelajar sekolah yang terlibat,” ujar beliau.