JUMAAT, 7 APRIL – Seramai 31 pelajar antarabangsa bakal menyambung pengajian mereka di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui sesi pendaftaran Program Persediaan Intensif Inggeris (IEPP) yang berlangsung kelmarin.

Daripada jumlah tersebut, 29 pelajar adalah dari China, manakala dua lagi pelajar masing-masing dari Korea Selatan dan Timor-Leste.

Kesemua pelajar yang baru tiba di negeri ini diraikan dalam satu Majlis Sambutan Pelajar Baharu Program IEPP Kohort Ke-30 di Galeri Majlis, UMS.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan pada majlis tersebut berkata, UMS menerima kehadiran pelajar antarabangsa ini dengan tangan terbuka, dan menganggap mereka adalah sebahagian daripada keluarga di sebuah institusi yang mementingkan kecemerlangan akademik dan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Suasana pembelajaran di dalam kampus ini bakal memberikan rangsangan positif kepada para pelajar dengan persekitaran yang menggalakkan keharmonian budaya serta cintakan ilmu dan alam semula jadi.

“Di UMS, kami mempunyai populasi pelajar dengan latar belakang dan budaya yang pelbagai, selain sejumlah besar pelajar antarabangsa dari Jepun, China, Indonesia, Korea Selatan dan lain-lain,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS, Vina Zahriani Yusof.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif UMS Investment Holdings Sdn. Bhd., Ramlan Awang Ali berkata, program ini diperkenalkan sejak tahun 2003 sebagai persediaan kepada pelajar antarabangsa yang tidak mempunyai asas bahasa Inggeris untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di UMS setelah lulus peperiksaan dalam IEPP.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit dan Pengarah Pusat Luar UMS, Prof. Dr. Hajah Arsiah Hj Bahron.

JUMAAT, 7 APRIL - Seramai 90 peserta menghadiri Persidangan Serantau mengenai Kelestarian Kampus kali ke-4 2017 (4RCCS2017) yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan EcoCampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Persidangan tersebut merupakan kerjasama antara UMS, Adamson University Filipina dan National Institute of Technology Fukushima College, Jepun yang diadakan di Hotel Lab Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS.

Menurut Timbalan Naib Canselor UMS (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof, penganjuran RCCS bertujuan membincangkan serta merancang inisiatif untuk mempertingkatkan lagi aktiviti yang bercorak hijau yang melibatkan aktiviti ko-kurikulum kepada para pelajar.

“Kita berharap melalui penganjuran RCCS  ini, isu-isu global dapat dibincangkan dan seterusnya dapat diatasi bersama seperti isu pemanasan global yang sering diperkatakan hari ini,” ujarnya kepada media selepas mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah merasmikan persidangan tersebut.

Beliau turut menyarankan agar subjek wajib kokurikulum berkenaan kelestarian alam sekitar diperkenalkan kepada para pelajar.

“Saya percaya dengan memperkenalkan subjek tersebut, kita dapat mendidik pelajar kita dan sekali gus berkongsi kepada masyarakat mengenai kepentingan melestarikan kehijauan alam sekitar,” katanya.

Profesor Dr. Shahril turut menambah bahawa UMS kini telah memperluaskan capaian internet di seluruh kampus sebagai usaha mengubah cara penyampaian pembelajaran dan tidak terikat kepada pengajian kuliah di dalam kelas semata-mata.

“Kementerian kini menyarankan agar setiap institusi memperkenalkan pendidikan yang lebih fleksibel seperti e-pembelajaran, e-peperiksaan dan perbincangan berkumpulan di luar bilik kuliah. Ini juga merupakan salah satu usaha kita untuk menjimatkan penggunaan sumber,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari itu turut disertai oleh peserta dari negara Thailand dan beberapa universiti awam di Malaysia.

Turut hadir, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Profesor Madya Dr. How Siew Eng; Pengerusi 4RCCS2017, Dr. Awangku Hassanal Bahar Pangiran Bagul; Presiden Adamson Universiti Filipina, Fr. Marcelo V. Manimtim C.M dan Presiden National Insitute of Technologi Fukushima College Jepun, Takayuki Nakamura.

Foto: Masrul Rukkung

RABU, 5 APRIL – Kontinjen Twin Tower sedia menggalas cabaran untuk mengungguli Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia Sabah (UMS)  Ke-16 yang akan berlangsung pada 7 dan 8 April ini.

Ketua kontinjennya, Darwis Awang berkata, seramai 110 orang atlet kontinjen tersebut akan memberikan saingan terbaik dalam sepuluh daripada sebelas acara yang dipertandingkan.

“Setiap atlet yang bertanding harus mempamerkan aksi terbaik dan mengekalkan semangat juang yang tinggi untuk memburu kemenangan, sekali gus membantu pasukan untuk muncul juara pada edisi kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen Twin Tower di Cafe D’Sireh, UMS.

Kejohanan Sukan Staf UMS pada kali ini menyaksikan lapan pasukan bersaing bagi sebelas acara yang dipertandingkan, antaranya bola jaring wanita, bola sepak 9 sebelah (lelaki senior), bola sepak 7 sebelah (lelaki veteran), bola tampar lelaki, bola tampar wanita, catur berpasukan (terbuka), futsal (wanita), olahraga, ping pong, sepak takraw dan badminton.

 

SELASA, 4 MAC - Kira-kira 150 staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri program Sehari Bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) anjuran Jabatan Bendahari dan Jabatan Pendaftar UMS.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta ruang kepada kakitangan UMS untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan cukai dan e-filling.

Ketika merasmikan program tersebut, Pendaftar UMS No'man Hj. Ahmad berkata adalah menjadi tanggung jawab semua kakitangan UMS untuk membayar cukai seperti yang dikehendaki.

“Saya menyeru kakitangan UMS untuk membayar cukai agar kita dapat menjalankan tanggung jawab kita sekali gus dapat membantu masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut menyarankan Jabatan Bendahari dan Jabatan Pendaftar untuk menyemak dan meneliti semula kelayakan serta tangga gaji para kakitangan UMS agar mereka dapat menyelesaikan pembayaran cukai dengan mudah.

“UMS sebagai majikan harus membantu para kakitangan untuk menyemak kelayakan potongan cukai berjadual (PCB) ini,” ujarnya.

Program yang diadakan di Megalab Perpustakaan UMS itu turut menyediakan kaunter khidmat pelanggan daripada agensi-agensi seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pusat Zakat Sabah, LHDN, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar dan Kaunter Seksyen Perkhidmatan Kakitangan Jabatan Bendahari.

Taklimat e-filling dan Potongan Cukai Berjadual (PCB) disampaikan oleh Pegawai Khidmat Pelanggan LHDN Kota Kinabalu, Puan Christine Sundang Abdullah.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Puan Dayang Rukiah Awang Amit dan pegawai-pegawai kanan UMS.

Foto: Suzeanywati Gasinin

ISNIN, 3 APRIL – Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) berjaya menganjurkan bengkel Mualaf/Saudara Baru Siri 1/2017 bertempat di Masjid UMS baru-baru ini.

Menurut Penyelaras Program, Ainah Ramlan Angusa, bengkel sehari itu bertujuan memberikan pendedahan tentang budaya hidup penganut agama Islam serta mengeratkan silaturahim antara saudara baru dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan mualaf.

“Harapan saya pada masa akan datang program seumpama ini akan dibuat lagi bagi memberikan pengisian rohani yang mantap kepada saudara baru sama ada daripada warga UMS sendiri dan juga masyarakat luar,” katanya.

Bengkel tersebut melibatkan tiga penceramah yang terdiri daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Issraq Hj. Ramli yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Akhlak Seorang Muslim'; Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dengan tajuk ceramah ‘Indahnya Akidah Islam’ dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md Razali Saibin dengan ceramah ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.

Antara peserta bengkel yang hadir ialah pasangan suami isteri Rinduh Lian, 66 tahun dan Gontuk Sidup, 63 tahun dari Kampung Maringking, Tenghilan yang baru 7 bulan menjadi saudara baru.

“Saya sangat gembira kerana dapat menghadiri bengkel ini bersama suami saya. Kami dapat bersama-sama menimba ilmu dan belajar perkara-perkara yang patut dilakukan oleh seorang Muslim,” kata Rinduh ketika ditemui media.  

Bengkel itu disertai 50 saudara baru dari Hidayah Centre, Teratak Fitrah, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Sabah, warga UMS dan masyarakat sekitar UMS.

Bengkel berakhir dengan penyampaian sijil kepada semua peserta oleh Md. Razali Saibin.