KHAMIS, 2 MAC - Pihak Berkuasa Tatatertib Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin mengadakan Prosiding Tatatertib Pelajar terhadap pelajar tahun 3 Program Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Mukmin Nantang, serta pelajar tahun akhir Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Nur Aqilah Mohd Zainuzi.

 

Menurut Ketua Bahagian Perundangan dan Integriti, Jabatan Pendaftar, Awang Suhaizam Bungso, prosiding tatatertib yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga UMS, menyaksikan pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua pelajar tersebut kerana melanggar peraturan 3(a)(ii) Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

 

"Mereka didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 5.0 di Taman Ujana Rimba Tropika, Kota Kinabalu pada 19 November 2016, sekali gus melanggar Pekeliling Khas Naib Canselor Bil.1/2015 bernombor rujukan UMS/NC1.1/100-1/7/1 yang bertajuk “Larangan Penglibatan Pelajar UMS Dalam Perhimpunan Haram”, katanya dalam satu kenyataan selepas prosiding.

 

Jelas beliau, perhimpunan Bersih 5.0 diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada 17 November 2016, kerana ia gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

 

"Walau bagaimanapun, Mukmin dan Nur Aqilah membuat pengakuan tidak bersalah selepas fakta kesalahan berkenaan dibacakan," kata Awang Suhaizam.

 

Prosiding kemudiannya ditangguhkan dan menetapkan proses perbicaraan pada tarikh 8 Mac 2017.

KHAMIS, 2 MAC - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan bengkel dengan tema “Meningkatkan Peranan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah” (GP3NS) baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPEP, bengkel tersebut dikendalikan Program Teras Fakulti bersama Persatuan GP3NS. 

Menurut kenyataan itu lagi, bengkel itu telah mengupas beberapa isu yang menjadi cabaran utama kepada persatuan tersebut sekali gus membawa kepada persetujuan untuk menganjurkan satu perkongsian pintar di antara FPEP dan GP3NS dalam masa terdekat.

Bengkel setengah hari turut dijayakan Yang Dipertua GP3NS, Datuk Hj Noortaip Suhaili;  Timbalan Yang Dipertua, Roslani Abdullah, Anggota Majlis Tertinggi persatuan dan pensyarah FPEP.

GP3NS menyambut baik dan melahirkan kegembiraan atas minat FPEP untuk membantu persatuan itu melaksana khidmat bakti kepada usahawan mikro di negeri Sabah.

Sementara itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, satu jawatankuasa khas diketuai Pensyarah, Jakaria Dasan akan ditubuhkan bagi merealisasikan kerjasama tersebut.

 

Sumber: Jakaria Dasan, FPEP

RABU, 1 MAC - Para graduan perlu memahami personaliti dan minat diri untuk memahami bidang kerjaya yang diceburi.

Kaunselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurul Fatiha Firdaus Roslan berkata, ada pekerjaan yang sesuai dengan personaliti individu tertentu tetapi tidak sesuai dengan individu lain.

“Kesesuaian ini penting bagi memastikan aspek  kepuasan kerja, kebolehan dan pencapaian.

“Apabila personaliti seseorang itu juga selaras dengan persekitaran pekerjaannya, maka hasilnya adalah kepuasan dan keberkesanan dalam kerjayanya,” ujarnya dalam satu kenyataan berhubung kobolehpasaran graduan universiti melalui personaliti diri.

Fatiha berkata, apabila wujud kepuasan maka seseorang individu itu akan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan jujur.

“Banyak teori telah dikaji dan pelbagai kaedah telah dijalankan berkaitan personaliti. Bahkan pelbagai jenis ujian personaliti di atas talian juga boleh dicapai dan dijalani serta-merta untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan personaliti tadi,” tambahnya.

Menurut Fatiha, teori Holland (1973) juga menyatakan setiap individu membuat pilihan pekerjaan berasaskan ciri personalitinya yang bersesuaian dengan sesuatu pekerjaan dalam alam persekitarannya.

“Dalam teori ini, hampir semua individu boleh dikategorikan dalam salah satu daripada enam jenis personaliti iaitu realistik, investigatif, artistik, sosial, berdaya usaha dan konvensional,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Fatiha turut memaklumkan, pengaplikasian teori Holland juga mampu mengenalpasti lebih daripada satu bidang kerjaya yang sesuai dalam kalangan graduan.

“Menurut teori ini, setiap individu akan mencari alam persekitaran yang sesuai dengannya untuk membolehkan mereka menggunakan kemahiran, keupayaan serta meluahkan nilai dan sikap yang tersendiri,” katanya.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

 

SELASA, 28 FEBRUARI – Program Hari Sukan Hubungan Antarabangsa (HASUKHA) 2017 anjuran pelajar Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah di Kompleks Sukan UMS, pada Ahad.

Menurut pengarah program, Muhammad Fairus Mohd Radzi, sebanyak tiga acara sukan yang dipertandingkan merangkumi sukan bola tampar, bola jaring dan futsal.

“Kesemua acara tersebut disertai wakil pelajar daripada tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 Hubungan Antarabangsa,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Menurut beliau, HASUKHA diadakan bertujuan untuk menghapuskan jurang perbezaan umur dalam kalangan pelajar Hubungan Antarabangsa UMS, sekali gus berharap agar program itu dapat mewujudkan ikatan persaudaraan yang lebih erat dalam kalangan pelajar.

“Para peserta juga dapat membudayakan gaya hidup sihat melalui penglibatan dalam acara sukan yang dipertandingkan,” tambah Fairus.

Bagi acara futsal yang hanya dibuka kepada pelajar lelaki, johan disandang pasukan Legasi IR, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi pasukan Phoenix IR FT dan Joga Bonito IR.

Acara bola jaring yang dikhaskan untuk pelajar wanita pula menyaksikan Ayam Net Squad muncul sebagai juara, disusuli Hegemon Netballers sebagai naib juara dan IR Secret Models di tempat ketiga.

Dalam pada itu, bola tampar kategori lelaki memperlihatkan acara tersebut didominasi pasukan The Revenge sebagai juara sekali gus mengetepikan pesaing hebat daripada pasukan Micasa di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi Ayam Volleyball Squad.

Bagi kategori wanita pula, johan dimenangi pasukan Ayam Offside, manakala pasukan Drake dan Gladiator masing-masing berada pada kedudukan naib johan dan tempat ketiga.

Piala pusingan johan keseluruhan untuk HASUKHA 2017 menjadi milik pelajar tahun 2, Hubungan Antarabangsa UMS.

Hadiah berupa hamper kepada setiap pemenang disampaikan Pensyarah Kanan FKSW, Wan Shawaluddin Wan Hassan.

Mendapat penyertaan seramai 130 pelajar, program tersebut dianjurkan hasil kerjasama pelajar tahun 1 dan tahun 2 Hubungan Antarabangsa.

Hadir sama, Tutor Hubungan Antarabangsa FKSW, Carlervin Sukim.

ISNIN, 27 FEBRUARI - Exco Akademik, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Program Sekolah Angkat Siri V yang berakhir di kolej itu kelmarin.

Bertemakan “Sedetik Bersama Melakar Memori”, program itu merupakan pengisian terhadap kunjungan balas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek ke Kampus UMS, selain memberi pengalaman suasana kehidupan kampus kepada pelajar sekolah berkenaan.

Dalam masa yang sama, program selama tiga hari itu adalah sebagai usaha pendedahan kepada mahasiswa dalam mengadakan jalinan kemasyarakatan.

Program itu juga turut diisi dengan acara-acara yang membolehkan para pelajar sekolah tahu hala tuju selepas zaman persekolahan kelak.

Persiapan program yang mengambil masa selama hampir dua bulan itu melibatkan seorang felo penyelaras dan seramai 62 ahli jawatankuasa pelaksana, serta 17 wakil daripada kelab-kelab Kolej Kediaman E, iaitu Kelab Lantera Tari, Kelab Akustik dan Kelab Gema Pawana.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah lawatan di sekitar UMS, iaitu Muzium, Perpustakaan, dan Akuarium dan Muzium Marin.

Turut menjadi pengisian program itu ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang bermatlamat mempertingkatkan kemahiran berfikir dan mewujudkan semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan peserta.

Majlis penutupan telah disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad.

Turut terlibat menjayakan program itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Tandek, Ustaz Amran Mohd Zam-zam, felo-felo Kolej Kediaman E, ahli JAKMAS, ahli Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), dan ahli Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK).

 

Sumber: JAKMAS Kolej Kediaman E