JUMAAT, 17 FEBRUARI - UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. (UiNVEST) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) hari ini menandatangani Memorandum pesefahaman (MoU) bagi tujuan mengenalpasti produk, perkhidmatan serta kajian-kajian UMS yang boleh dikomersialkan dan dimajukan secara bersama untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Menurut Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, melalui perjanjian persefahaman tersebut, beberapa kajian dan penyelidikan yang berpotensi telah dikenalpasti untuk dinilai dan diteroka.

“Beberapa bidang seperti pertanian yang merangkumi akuakultur, penternakan, bidang pelancongan, keusahawanan, bidang perundingan dan pengkomersialan akan diteroka oleh UiNVEST dan SEDCO,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Hj. Hashim Hj. Paijan di Kota Kinabalu.

Tambah Datuk Raymond, kedudukan Sabah yang sering kali menjadi tarikan pelancong turut membuka ruang kajian berkaitan pembangunan hartanah, perkhidmatan konsultasi, produksi inovasi serta pendidikan dan latihan yang boleh dimajukan bersama oleh kedua-dua pihak.

“Dengan termeterainya perjanjian persefahaman ini UiNVEST dan SEDCO berupaya membawa satu perubahan untuk negeri Sabah dalam memacu pembangunan ekonomi negeri serta membantu kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan dalam bidang tertentu, memupuk dan melahirkan usahawan tempatan Sabah yang berdaya saing dan berdaya maju selari dengan aspirasi kerajaan negeri,” katanya.

Pada majlis MoU itu, UiNVEST diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ramlan Awang Ali dengan disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan, Datuk Awang Buhtamam Awang Mahmun.

Manakala, SEDCO diwakili Pengurus Besar Kumpulan, Tuan Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir dengan disaksikan Timbalan Pengerusi, Datuk John Teo Mau Sing.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor D. Kamarudin D. Mudin, Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS serta pegawai-pegawai eksekutif UiNVEST dan SEDCO.

Foto: Musaab Umair

KHAMIS, 16 FEBRUARI – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjalin satu perkongsian bersama salah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah, iaitu Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (GP3NS).

Perkara ini dinyatakan oleh Dekan FPEP, Prof Madya Dr Raman Noordin dalam satu bengkel anjuran FPEP bersama NGO tersebut di UMS baru-baru ini.

Menurut beliau, hasil dapatan daripada bengkel bersama NGO terbabit membawa kepada persetujuan terhadap keperluan untuk jalinan kerjasama dan perkongsian antara kedua-dua pihak.

“Beberapa isu yang menjadi cabaran utama kepada GP3NS telah dikupas melalui bengkel ini, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa yang akan diketuai oleh pensyarah FPEP, Jakaria Dasan bagi tujuan ini,” katanya

Beliau menambah, bengkel yang bertemakan “Meningkatkan Peranan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah” ini telah dirancang lebih awal bersama GP3NS, dan mendapat sambutan baik daripada ahli-ahlinya.

“Ahli-ahli GP3NS menyambut baik penganjuran bengkel ini, yang pada mereka adalah sesuatu yang positif melihat kecenderungan FPEP UMS dalam membantu persatuan melaksana khidmat bakti kepada usahawan mikro di negeri Sabah,” ujar Dr. Raman.

Bengkel yang dianjurkan selama setengah hari itu dihadiri oleh pensyarah-pensyarah FPEP dan ahli-ahli GP3NS, antaranya Yang DiPertua GP3NS, Datuk Hj Noortaip Suhaili dan Timbalan Yang DiPertua GP3NS, Tuan Roslani Abdullah.

 

RABU, 15 FEBRUARI  - Program ‘Transformasi Diri’ bersama Pakar Motivasi, Prof. Dr. Muhaya Mohamad mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 300 peserta di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Majlis anjuran Biro Pendidikan dan Pelajaran Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) itu berjaya memukau para peserta yang terdiri daripada warga UMS dan masyarakat sekitar yang tertarik dengan gaya penyampaian mesej yang disampaikan penceramah.

Dalam ceramahnya, Prof. Muhaya berkata, untuk menjadi insan cemerlang seseorang itu hendaklah sentiasa ingin berubah menjadi lebih baik dan boleh menerima teguran orang lain.

“Kita harus berfikiran positif, suka memberi  dan menerima nasihat orang lain, kerana manusia yang cemerlang adalah mereka yang sering memperbaiki diri sendiri sebelum menegur kesalahan orang lain.

  “Sama ada pelajar ataupun pekerja, setiap ilmu melalui pembelajaran dan pekerjaan itu tidak akan berjaya dan tiada keberkatannya apabila hati tidak bersih, malah usaha yang dibuat juga akan menemui kegagalan,” katanya pada majlis itu yang dianjurkan dengan kerjasama Exco Hal Ehwal Wanita dan Perkhidmatan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa  (JAKMAS) Kolej Kediaman E UMS.

Justeru beliau menyeru, semua pelajar dan pekerja segera melakukan transformasi diri bagi mencapai matlamat untuk berjaya dalam kehidupan sambil mengongsikan empat petua untuk menjadi seorang yang berjaya.

“Yang pertama, kita hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah; kedua, hendaklah menjaga hubungan baik dengan semua orang; ketiga, hendaklah melupakan masa silam, segera meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang lain; dan  keempat hendaklah optimis dan sentiasa bersangka baik,”  jelas Prof. Muhaya.  

Ceramah itu turut dihadiri seramai 25 pelajar dari Sekolah Rendah Islam Kota Kinabalu (SRIKK), Alam Mesra.

Salah seorang pelajar SRIKK, Syukran Aiman Syukry  berkata, dia amat teruja dan bersyukur kerana dapat menimba ilmu dan mengikuti secara langsung ceramah pakar motivasi Prof. Muhaya.

“Saya sebenarnya tidak sangka dapat bersama-sama di dewan yang indah ini untuk mendengar sendiri motivasi daripada penceramah yang diminati ramai,” ujarnya yang turut hadir ditemani ibu bapa dan dua adik beradik.

Hadir sama pada ceramah itu, Timbalan Yang Dipertua KESUMBA, Roha Asmara; Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Ketua Pustakawan UMS, Dg. Rukiah Ag. Amit.

RABU, 15 FEBRUARI - Seramai 181 kakitangan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menjayakan aktiviti ‘Team Building’ di lobi Kompleks Perhutanan fakulti itu baru-baru ini.

Aktiviti selama sehari itu dimulakan dengan slot senamrobik diikuti oleh aktiviti mencari harta karun dan pelbagai aktiviti lain.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Madya Dr. Ismail Ali mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Dalam ucapannya Dr Ismail berkata, penganjuran ‘team building’ mampu memupuk hubungan yang lebih kukuh sesama kakitangan tanpa mengira gred dan skim jawatan yang disandang.

“Saya ingin mengucapkan tahniah  kepada fakulti dan semua kakitangan yang hadir menjayakan aktiviti ini.

“Saya percaya, ini sekali gus dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan meningkatkan motivasi dalam diri peserta yang akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam sesebuah pasukan mahupun organisasi,” katanya.

Terdahulu Pemangku Dekan, Prof Madya Dr. Abdullah Bade berkata, aktiviti ‘team building’ itu diharap dapat memberi banyak manfaat kepada para kakitangan.

“Semoga aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa dan diteruskan lagi penganjurannya pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan fasilitator yang terlibat dalam memastikan aktiviti berkenaan berjalan dengan lancar.

Kemuncak aktiviti adalah penyampaian hadiah bagi Kumpulan Terbaik ‘Team Building’ FSSA 2017, menyaksikan Pasukan Merah Jambu yang diketuai Dr. Maria L.T Lardizabal muncul sebagai pemenang.

Turut disampaikan hadiah sampingan lain seperti Pasukan Terbaik Mengikut Tema, pemenang setiap aktiviti yang diadakan selain acara cabutan tiket bertuah.

 

 

Sumber : Kenny Uwai

 

JUMAAT, 10 FEBRUARI - Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1438H/2017H peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bakal berlangsung pada 17 – 19 Februari ini, Jabatan Pendaftar menganjurkan program perkongsian ilmu bertempat di Galeri Majlis, UMS pagi tadi.

Ceramah bertajuk ‘Kepimpinan dan Pengurusan Cara Rasulullah SAW‘ disampaikan Pensyarah Kanan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Dr. Sarip Adul.

Menurut beliau, Rasulullah SAW adalah tauladan kepimpinan yang terbaik yang perlu dicontohi.

“Seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi itu hendaklah sentiasa menjadi pendengar yang terbaik, dapat menerima pandangan majoriti, berfikiran kreatif, pemimpin yang boleh turun padang dan menjadi perunding motivasi kepada orang bawahannya.

“Pemimpin yang sentiasa mendahulukan rakyatnya dan menjauhi kepentingan peribadi akan berjaya membawa kejayaan dan kecemerlangan kepada organisasi yang dipimpinnya,” ujar Dr. Sarip.

Terdahulu, Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad menerusi ucapan aluannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir dan menyeru agar mengambil iktibar terhadap ceramah itu untuk diaplikasi dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.

Ceramah yang disertai lebih 150 kakitangan UMS itu turut dihadiri Bendahari UMS, Zallifah Shadan, Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Md. Razali Saibin.