SELASA, 20 DISEMBER – Program Majlis Pengajian Akbar : Kitab Bidayatul Hidayah anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang yang turut serta pada majlis tersebut.

Berlangsung di Masjid UMS, program tersebut diadakan selama dua hari  bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, dan dikendalikan oleh pendakwah dari Banjarmasin Kalimantan, Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki”

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin, kehadiran peserta yang membanjiri Masjid UMS bagi program ini memberi petanda positif akan minat masyarakat sama ada warga UMS atau masyarakat luar untuk memberi sokongan terhadap majlis ilmu.

“Ini sesuatu yang baik melihat pelajar dan staf UMS serta masyarakat luar sama-sama mempelajari dan menghayati isi kandungan kitab Bidayahtul Hidayah “Permulaan Jalan Hidayah yang disampaikan oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi,” ujar beliau.

Bersempena dengan program tersebut, Pusat Islam juga mengadakan majlis kesyukuran dan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Malaysia Sabah..

Turut hadir Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Dekan Fakuti Perniagaan,  Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Dr. Raman Noordin.

Sumber: Pusat Islam UMS

KHAMIS, 15 DISEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara 2016 apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Industri Buku bagi kategori Buku Perhutanan Terbaik.

Anugerah itu dimenangi melalui buku bertajuk “Wood Species of Sabah: Illustrated Guide” yang ditulis oleh Dr. Liew Kang Chiang, Shirley M. Bakansing dan Azli Sulid dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Pemilihan dibuat oleh Panel Penilai Profesional Anugerah Buku Negara yang dipengerusikan mantan Ketua 1, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Tan Sri Profesor Dr. Abdul Latif Abu Bakar.

Anugerah Buku Negara dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjurannya terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abddul Rahman di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Rabu.  

Majlis Anugerah Buku itu diadakan  bersempena dengan Ekspo Buku 1Malaysia pada 14 - 18 Disember  2016 yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia.

 

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS

 

KHAMIS, 15 DISEMBER – Seramai 29 kakitangan akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menerima kenaikan pangkat diraikan dalam satu Majlis Meraikan dan Penyerahan Surat Tawaran di Galeri Majlis baru-baru ini.

Jumlah tersebut meliputi 16 orang yang dinaikkan pangkat kepada pensyarah kanan gred DS52, 12 orang dinaikkan kepada Profesor Madya gred DS54, dan seorang dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7).

Mereka masing-masing menerima surat tawaran kenaikan pangkat daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Terdahulu, Datuk Harun berkata, peluang kenaikan pangkat yang diperoleh tidak seharusnya disia-siakan, malah perlu diiringi dengan usaha dan kerja keras bagi membantu mencapai objektif, misi dan visi universiti.

“Dengan kenaikan pangkat ini, diharapkan anda semua akan terus menyumbang kepada universiti, sentiasa tingkatkan usaha memperbaiki diri demi kecemerlangan diri dan universiti, serta bantu rakan-rakan lain bagi peluang kenaikan pangkat yang akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru para kakitangan yang berhasrat untuk mengisi kekosongan dalam kenaikan pangkat akan datang agar menitik beratkan aspek kecemerlangan akademik, sumbangan kepada pembangunan universiti dan fakulti, serta mengamalkan nilai etika dan integriti yang tinggi sekali gus memberikan contoh yang baik kepada warga UMS yang lain.

 

 

RABU, 14 DISEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menyarankan agar semua dekan dan pengarah fakulti, pusat, institut dalam UMS memberikan komitmen sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi universiti dalam Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA).

Saranan tersebut disampaikan oleh beliau ketika merasmikan bengkel hala tuju Pusat, Unit Kajian dan Penyelidikan UMS di Galeri Majlis Bangunan Canselori, kelmarin.

Katanya, meskipun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar, warga UMS perlu mengamalkan budaya berjimat cermat dengan cara meningkatkan kecekapan sumber universiti sedia ada.

“Untuk merealisasikan matlamat tersebut, UMS dan warganya perlu lebih inovatif, proaktif serta kreatif dalam menjalankan tugas mereka bagi mencapai impak yang tinggi dan bukannya sekadar meneruskan rutin tugas harian,” ujar Datuk Harun.

Pada bengkel tersebut, seramai 50 peserta mengambil bahagian terdiri daripada dekan-dekan fakulti, pengarah institut, pengarah pusat serta ketua unit kajian dan penyelidikan.

Bengkel tersebut dianjurkan antara lain bertujuan membincangkan serta menyusun semula strategi dan hala tuju pusat kecemerlangan yang terdapat di UMS.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Shahril Yusof; Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Lee Ping Chin serta Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik, Profesor Dr. Marcus Jopony.

 

RABU, 14 DISEMBER - Seramai 300 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakukan aktiviti sukarelawan di bangunan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS pada Ahad.

Kesemua mereka terdiri daripada pelajar lelaki dan wanita yang mengikuti kursus-kursus di PPIB.

Aktiviti sukarelawan itu yang turut disertai oleh Dekan, Prof. Madya Dr Jualang @ Azlan Abdullah Gansau beserta kakitangan PPIB dirasmikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Dalam ucapannya Datuk Harun berkata, aktiviti seumpama itu amat bertepatan dalam usaha memupuk semangat kesukarelawan dan rasa kesepunyaan yang tinggi dalam kalangan mahasiswa.

"Saya percaya melalui program ini, pelajar UMS akan memperoleh pelbagai manfaat hasil daripada penglibatan mereka.

"Penglibatan kakitangan PPIB juga turut dapat menghidupkan budaya sukarelawan dan menjadi contoh kepada warga UMS yang lain," katanya.

Datuk Harun berkata, budaya seumpama itu sudah lama mekar di negara maju seperti Jepun dan Korea sambil mengongsikan satu pengalaman ketika melawat sebuah hospital universiti di Taiwan.

"Ketika masuk di hospital ini, ia umpama sebuah hotel dengan bunyi alunan piano yang begitu merdu dan mendamaikan jiwa.

"Saya bertanya kepada petugas yang menyambut kami tetang wanita yang sedang bermain piano dan mereka memaklumkan wanita itu bermain secara sukarela tanpa sebarang bayaran ," katanya yang menyifatkan budaya itu sangat terpuji dan perlu diteladani mahasiswa UMS

Pada program itu, siswa-siswi telah membantu mengecat bilik-bilik kuliah dan seterusnya bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran bangunan PPIB.