KHAMIS, 24 NOVEMBER - Kira-kira 130 pelajar Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri ceramah berkaitan pengurusan integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Program bertemakan ‘Jurutera Berintegriti Modal Insan Berkualiti’ yang dianjurkan oleh pelajar tahun dua program Kejuruteraan Awam itu berlangsung di Dewan Kuliah Pusat ke-2 UMS.

Menurut Pengarah Program, Haikall, penganjuran ceramah tersebut bertujuan menerapkan nilai integriti dan amanah dalam diri pelajar demi melahirkan mahasiswa yang bebas dari sebarang bentuk gelaja rasuah.

“Tidak ramai dalam kalangan mahasiswa yang mengetahui intipati sebenar integriti itu sendiri. Justeru kami terpanggil untuk mengadakan program ini supaya para mahasiswa mendapat pendedahan yang nyata tentang kepentingan integriti yang mampu membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berintelektual tinggi, malah mempunyai penghayatan yang jitu dalam usaha membentuk bakal pemimpin yang telus dalam melaksanakan tugas mereka” katanya.

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Penolong Kanan Penguasa, Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Cawangan Kota Kinabalu, Mohd Zaini Hassan.

Sementara itu, pensyarah program Kejuruteraan Awam, Asmawan Mohd Sarman, penganjuran program tersebut merupakan platform asas penerapan budaya integriti kepada siswa siswi kejuruteraan.

“Ia selaras dengan falsafah universiti untuk membina masyarakat terpelajar yang progresif, berdisiplin, bersepadu dan seimbang dari segi intelek, emosi, jasmani dan rohani untuk berbakti mencapai kesejahteraan masyarakat dan negara,” ujarnya.

RABU, 23 NOVEMBER - Tiada penglibatan pegawai utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau mana-mana kakitangan UMS dalam Perhimpunan Bersih 5.0 yang berlangsung di beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu baru-baru ini.

Bahagian Perhubungan Korporat UMS dalam satu kenyataan menjelaskan, kehadiran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr. Ismail Ali ke salah satu lokasi Perhimpunan Bersih 5.0 adalah sebagai memantau penglibatan dan pergerakan pelajar UMS dalam sebarang aktiviti perhimpunan tersebut, dan bukan sebagai tanda sokongan terhadap agenda Bersih 5.0.

Kenyataan ini adalah susulan daripada satu posting di laman Facebook yang menyatakan tentang kehadiran salah seorang TNC UMS dalam Perhimpunan Bersih 5.0 di Sabah.

Laman Web Rasmi UMS dan Facebook rasmi UMS juga telah memuat naik semula Pekeliling Khas Naib Canselor Berhubung Larangan Penglibatan Kakitangan dan Pelajar UMS dalam Perhimpunan Haram sehari sebelum berlangsungnya Perhimpunan Bersih 5.0 sebagai peringatan semula kepada warga UMS agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa dan dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menggugat keselamatan negara.

Justeru, universiti akan mengambil tindakan tatatertib ke atas mana-mana pelajar yang terlibat dalam perhimpunan haram sekiranya cukup bukti berdasarkan Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, Perlembagaan Universiti Malaysia Sabah dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

RABU, 23 NOVEMBER 2016 – Seramai 79 pelajar dari kursus kokurikulum Pengurusan Organisasi Pelajar  seksyen 4 dan 7, telah menjalankan Program ‘UMS Spread The Love, Sejenak bersama, Selama Terasa’ yang diadakan di Rumah Putera Harapan, Ranau.

Program ‘UMS SPREAD THE LOVE’ tersebut merupakan usaha ahli kumpulan Kursus Kokurikulum Organisasi Pelajar Seksyen 4 dan 7 untuk memupuk sifat prihatin dan kasih sayang antara pelajar dan masyarakat khususnya penghuni Rumah Putera Harapan.

Beberapa aktiviti telah dijalankan semasa berada di Rumah Putera Harapan, antaranya aktiviti gotong royong di sekitar Rumah Putera Harapan, masjid dan sekolah rendah yang berdekatan, aktiviti senamrobik, sukaneka, program motivasi dan perkongsian ilmu.

Selain itu juga, terdapat aktiviti memasak serta penyerahan sumbangan daripada pihak UMS kepada pihak Rumah Putera Harapan.

Rumah Putera Harapan merupakan sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim dan kanak-kanak terbiar di negeri Sabah khususnya di daerah Ranau.

Rumah Putera Harapan telah diasaskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan telah dibuka pada 12 Julai 2008.

Menurut pensyarah kursus Pengurusan Organisasi Pelajar, Mohd Hilmey Saili, diharap penganjuran program seumpamanya dapat memberi kesedaran kepada pelajar agar sentiasa bersyukur, peka, prihatin dan saling bantu–membantu antara satu sama lain.

Turut mengiringi rombongan pelajar ke program tersebut, seorang lagi pensyarah kursus, Muhammad Jumrat Minsun.

ISNIN, 21 NOVEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menandatangani dokumen perjanjian bersama Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (ACISB) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, UMS pagi tadi.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah yang mewakili UMS, dan Presiden ACISB, Adrian Roslan.

Perjanjian tersebut adalah bagi memeterai penjualan formulasi makanan ikan laut  serta jalinan kerjasama pengkomersilan di antara kedua-dua pihak.

Melalui perjanjian tersebut, UMS akan menjual formulasi makanan ikan laut, iaitu Garoupa-1 dan Garoupa-2 dengan jumlah RM30,000 bagi kedua-dua formulasi tersebut.

UMS juga akan melaksanakan proses pemindahan teknologi dalam tempoh 6 bulan, selain penyelidik UMS akan dilantik sebagai perunding teknikal (biologi) dalam proses skala naik formulasi, dan produk makanan ikan tersebut akan dipasarkan melalui rangkaian pengedaran di Malaysia dan negara-negara jiran.

Dalam pada itu, Datuk Harun berkata kerjasama ini adalah selari dengan strategi jangka panjang UMS dalam menjana pendapatan universiti.

“IPMB sememangnya mempunyai banyak prospek bagi ruang kerjasama, khususnya penyelidikan akuakultur dan marin.

“Saya percaya perjanjian pada hari ini akan memacu lebih banyak penyelidikan dan perjanjian kerjasama yang bakal dimeterai UMS bersama agensi-agensi luar pada masa akan datang,” ujar beliau.

Hadir sama pada sesi menandatangani dokumen perjanjian tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan ACISB, Hisamudin Abd Wahid, dan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Prof. Dr. Rossita Shapawi.

ISNIN, 21 NOVEMBER - Ekspo Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-15 akan diadakan bermula 23 November sehingga 28 November ini.

Bertempat di Padang Kawad UMS, ekspo ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan siswa-siswi UMS melibatkan diri dalam dunia perniagaan serta menyahut cabaran untuk  menjadi usahawan muda, selain sebagai platform kepada para pelajar kursus APK di bawah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) mencipta idea yang kreatif dan baharu hasil daripada inspirasi persekitaran.

Bertemakan “Realizing Future Entrepreneur”, ekspo ini mempunyai lebih 110 gerai yang menjual barangan hasil aspirasi dan inovasi para siswa-siswi UMS, termasuklah makanan, minuman, permainan, pakaian serta perkhidmatan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada para pengunjung seperti cabaran permainan “Treasure Hunt” dengan hadiah lumayan serta cabutan bertuah untuk pengunjung yang membeli lebih daripada RM15.

Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk hadir dan mmeriahkan lagi ekspo yang akan berlangsung bermula 8 pagi sehingga 9 malam.