SELASA, 18 OKTOBER – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) menganjurkan Program Ziarah Fillah di Surau Al Hidayah Kampung Giling Laut Tuaran baru-baru ini.

Menurut Pengarah PIUMS, Dr. Mohd. Suhaimi Taat, program itu antara lain bertujuan menyampaikan ilmu dan amalan agama kepada masyarakat sekali gus memperbaiki pelaksanaan ibadah solat yang menepati hukum dan sunnah.

“Selain diisi dengan Kursus Tahsin Solat dan Pengurusan Jenazah, program tersebut dapat mengeratkan lagi jalinan silaturhim antara pihak UMS dengan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Dr. Suhaimi turut menyuarakan  harapan agar lebih ramai yang akan datang solat berjemaah di surau  berkenaan dan sentiasa mengimarahkan majlis-majlis ilmu pada masa akan datang.

“Pusat Islam UMS sentiasa bersedia berkongsi ilmu kepada masyarakat di kampung ini pada bila-bila masa sesuai yang diperlukan,” tambahnya.

Hadir sama, Pengerusi Surau Al Hidayah, Muslin Jaim.

Berlangsung selama sehari, hampir 90 penduduk Kampung Giling Laut  bersama staf UMS telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

   Sumber: Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah

SELASA, 18 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mencapai peningkatan yang membanggakan apabila berjaya memperolehi empat bintang dalam penarafan Malaysia Research Assessment (MyRA®) 2015. 

Keputusan rasmi penarafan MyRA® telah diumumkan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim.

Pengumuman itu dibuat dalam satu surat rasmi bertarikh 13 Oktober 2016 yang dialamatkan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

Prof. Datuk Dr. Mohd Harun dalam satu kenyataan kemudiannya melahirkan rasa bangga dengan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu peningkatan yang memberangsangkan hasil kerjasama seluruh warga UMS.

“Sejak 2013, penarafan MyRA® UMS telah meningkat kepada pencapaian tiga bintang, dan terkini pada tahun 2015, kita merasa gembira apabila pencapaian universiti terus meningkat dengan meraih pengiktirafan empat bintang.

“Ini merupakan hasil kerjasama seluruh warga UMS yang sentiasa memberikan komitmen padu dan menyokong perancangan pihak pengurusan UMS dalam membawa universiti ini terus maju ke hadapan,” katanya.

Penilaian MyRA® adalah berdasarkan lapan kriteria utama iaitu Kuantiti dan Kualiti Penyelidik, Kuantiti dan Kualiti Penyelidikan, Kuantiti Pascasiswazah, Kualiti Pascasiswazah, Inovasi, Perkhidmatan Profesional dan Hadiah, Jaringan dan Jangkauan, serta Fasiliti Sokongan.

ISNIN, 17 OKTOBER - Seramai 35 orang pelajar Kolej Vokasional Beaufort telah mengadakan lawatan dan bengkel tari di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Bengkel tari itu dilaksanakan oleh artis-artis budaya daripada Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Hal Ehwal Pelajar bertempat di Dewan Taekwando UMS.

Antara tarian yang dipelajari ialah tarian tradisi Sabah termasuk Sazau, Mengiluk, tarian Melayu Zapin dan tarian tradisi Sarawak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bahagian itu, lawatan tersebut antara lain bertujuan berkongsi ilmu tari kepada para pelajar kolej berkenaan disamping mengembangkan bakat tarian mereka.

Seramai tiga artis budaya UMS iaitu Ahmad Raffiandie, Norain Abd Razak dan Resty Cindy, berpeluang berkongsi ilmu tari kepada para peserta program.

Sumber : Norhana Nordin, HEPA

ISNIN, 17 OKTOBER - Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) telah mengambil inisiatif membuka Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat bagi memudahkan kakitangan membeli dan mendapatkan makanan seperti sarapan pagi dan makan tengah hari tanpa perlu keluar jauh dari kampus.

Pengerusi Kesumba KAL, Hayati Salleh Baihaki berkata, Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat yang terletak di Aras 11, Bangunan Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu juga bagi menyokong aspirasi UMS mewujudkan persekitaran sihat dan kondusif untuk kakitangan.

Katanya, sejak beroperasi pada 2 Februari 2016, Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat juga dapat mengurangkan masa terbuang kakitangan untuk keluar mencari makan setiap kali waktu rehat seterusnya dapat meningkatkan produktiviti kerja kakitangan dan mengurangkan kes keluar pejabat pada waktu bekerja.

“Harga yang ditawarkan di Kafe Lounge Kesumba Biz & Beat juga adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan kerana selain daripada kakitangan, pelajar UMSKAL juga berkunjung ke kafe tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Perasmian Kafe Kesumba Biz & Beat, UMSKAL di Kafe Kesumba Aras 11, Menara UMSKAL pada 15 Oktober 2016.

Majlis perasmian kafe tersebut disempurnakan oleh Yang DiPertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim.

Turut hadir Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah merangkap Penasihat Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, merangkap Penasihat KESUMBA KAL, Prof. Madya Dr. Murnizam Halik dan Pemangku Bendahari Universiti Malaysia Sabah, Zallifah Shadan.

JUMAAT, 14 OKTOBER  - Proses Penamaan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjalan lancar hari ini.

Di kampus induk Kota Kinabalu, proses penamaan calon telah berlangsung di Anjung Siswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bermula jam 9.00 hingga 11.00 pagi.

Ia menyaksikan seramai 16 calon bakal bertanding bagi Kerusi Umum yang dipertandingkan pada (PMPP) UMS ­19 Oktober ini.

Sementara itu, Kerusi Fakulti pula memperlihatkan calon-calon bagi Pusat Pengajian Pascasiswazah dan empat fakulti mencatatkan kemenangan tanpa bertanding.

Fakulti tersebut ialah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Sumber Alam serta Fakulti Komputeran dan Informatik.

Pengumuman nama calon-calon yang bertanding disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni , Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Beliau turut berpesan agar calon-calon yang bertanding berkempen secara berhemah dan matang.

Dr. Ismail juga menyeru para pelajar UMS untuk menunaikan tanggungjawab bagi membuang undi pada tarikh ketetapan tersebut.