JUMAAT, 14 OKTOBER – Pendekatan Gamifikasi yang menerapkan budaya kreativiti dan inovasi dalam pengajaran mampu menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) menjadi lebih menarik dan interaktif, sekali gus meningkatkan kualiti terhadap kaedah P&P tersebut.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata pendekatan dalam P&P haruslah melangkah seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, justeru kaedah gamifikasi dalam pendidikan mampu memberi nafas baru dalam aktiviti P&P antara warga pendidik dan pelajar.

“Gamifikasi dalam pendidikan merupakan pembelajaran berasaskan permainan yang memperkenalkan pendekatan P&P yang bersifat kreatif dan inovatif kepada guru, pensyarah dan ahli akademik.

“Pendekatan gamifikasi yang menggunakan elemen permainan ini juga difahamkan untuk merangsang dan memberi motivasi kepada pengamalnya agar dapat mengintegrasikan pengajaran dalam bentuk permainan dan pendidikan,” katanya dalam teks ucapan perasmian Bengkel Gamifikasi Untuk Pendidikan Tinggi yang disampaikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Prof. Madya Dr. Susan Sim Chee Cheang di Auditorium Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi baru-baru ini.

Beliau menambah, bengkel anjuran FKSW itu diharap mampu menjadi platform untuk membangunkan portal berasaskan permainan atau aplikasi yang bakal memberi pembaharuan kepada aktiviti P&P bagi setiap kursus di UMS.

“Kita boleh membangunkan dan menawarkan kursus sarjana muda, mereka cipta media digital dan mewujudkan pengajaran secara dalam talian bagi memudahkan dan menyebar ilmu pengetahuan secara kreatif dan interaktif,” ujar beliau.

Bengkel selama dua hari itu dibimbing oleh Pengarah Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global, Teknologi Imersif Dan Jaminan Kualiti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Rozhan M. Idrus; dan Pengarah Makmal Penyelidikan Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr Tan Wee Hoe.

JUMAAT, 14 OKTOBER - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan "Kursus Pengenalan dan Aplikasi Pembinaan Modul latihan" baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar 5, FPP, kursus tersebut antara lain memberi pendedahan kepada pengenalan kepada bentuk modul, kebolehpercayaan dan kesahan modul serta proses dalam pembentukan modul, dengan pelajar pascasiswazah sebagai sasaran peserta kursus.

Peserta bukan sahaja akan didedahkan kepada konsep dan struktur modul , tetapi juga sekali gus mendapat bimbingan untuk membuat modul berdasarkan pengalaman penceramah, selain turut dibimbing untuk membuat modul berdasarkan kajian mereka.

Beberapa peserta juga berpeluang untuk memperbaiki deraf modul yang digunakan dalam kajian mereka pada kursus tersebut.

Program sehari ini dihadiri oleh 40 orang peserta terdiri daripada seramai 35 orang pelajar pascasiswazah serta pembantu penyelidik dan kakitangan pentadbiran UMS.

Sumber: Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial

KHAMIS, 13 OKTOBER – Pembinaan Galeri Azman Hashim UMS, sebuah lagi mercu tanda ikonik di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan dimulakan awal tahun depan.

Perkara ini dinyatakan dalam satu pertemuan antara wakil Yayasan Tan Sri Azman Hashim, Mohd Fadzil Abd Hamid yang juga merupakan Pengurus Besar Kanan AmCorp, dengan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah baru-baru ini.

Mohd Fadzil turut menyampaikan taklimat tentang pembinaan Galeri Azman Hashim UMS yang telah diumumkan secara rasmi dalam siri Syarahan Kinabalu bersama Tan Sri Azman Hashim, dan majlis pecah tanah yang berlangsung pada 7 Oktober tahun lalu.

Perbincangan yang diadakan di HoteLab, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Profesor Dr. Ismail Ibrahim, dan Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Azman Hashim, pembinaan projek galeri berjumlah RM15 juta itu akan bermula awal tahun depan dan akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

Galeri Azman Hashim UMS bakal dibina menghadap Teluk Likas dengan pemandangan panorama Kota Kinabalu.  Bangunan ini juga mempunyai struktur bulat dan ruang pameran tertutup dan terbuka serta berkoridor.  Bilik seminar dan ruang konservatori turut dibina di tingkat atas galeri.

Sumber: Sarlona Gindug, FPEP

KHAMIS, 13 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam memastikan para pelajarnya sentiasa mendapat pendedahan kepada industri agar ia mampu menjadi persediaan mereka berdepan dunia kerjaya kelak.

Terbaru, Fakulti Kejuruteraan UMS dengan kerjasama Repsol Malaysia mengadakan seminar berkaitan minyak dan gas bertempat di Auditorium Perpustakaan UMS.

Seminar yang dihadiri oleh pelajar tahun satu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Kimia serta Diploma Kejuruteraan Minyak dan Gas  itu merupakan perkongsian pintar serta kesinambungan kerjasama UMS-Repsol sejak tahun 2014.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, kerjasama yang dibuat dengan pihak industri mampu melahirkan graduan universiti yang berdaya saing serta memenuhi kehendak pasaran kerjaya.

“Saya berharap para pelajar ini tidakhanya diberikan ilmu teori semata-mata, tetapi harus diberikan pendedahan tentang kokurikulum tambahan dan latihan yang mampu mempersiapkan diri mereka untuk bekerja kelak,” katanya.

Selain itu, Beliau turut menasihatkan para pelajar agar tidak terlalu memilih kerja dan jawatan tinggi hanya kerana mereka mempunyai kelulusan di peringkat ijazah, sebaliknya meneruskan pembelajaran untuk memantapkan kemahiran sedia ada.

Terdahulu, Pengurus kakitangan dan Organisasi Repsol Malaysia, Soh Mey Lee berkata seramai 30 pelajar mendapat bantuan biasiswa daripada Repsol sejak mula berkerjasama dengan UMS pada tahun 2014.

“Bantuan biasiswa ini merupakan komitmen Repsol untuk membantu dan menyumbang kepada pembangunan modal insan untuk anak-anak muda di Sabah serta menggalakkan mereka untuk menyertai bidang minyak dan gas,” jelasnya.

Foto: Kassim Utudiki, FKJ

 

RABU, 12 OKTOBER – Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menyarankan agar pengurusan kewangan universiti dapat memfokuskan kepada perbelanjaan yang memberi impak kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti.

Jelasnya, dalam keadaan ekonomi negara yang kurang stabil, universiti harus bersedia dengan  kemungkinan besar pemotongan bajet atau waran sekatan yang akan dibuat walaupun pihak Kementerian Pendidikan Tinggi telah menjanjikan  batas geran peruntukan mengurus sebanyak RM323 juta kepada UMS.

“Anggaran Belanja Mengurus UMS bagi tahun 2016 yang diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) adalah sebanyak RM415 juta.

“Walaupun  begitu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hanya meluluskan geran kerajaan sejumlah RM315.9 juta, dan daripada jumlah tersebut sebanyak 11% bersamaan RM39.7 juta pemotongan bajet atau waran sekatan telah dilakukan.

“Ini bermakna untuk tahun 2016 kita telah menggunakan RM99 juta sumber dalaman yang sebahagian besar terdiri daripada yuran pengajian bagi menampung keperluan perbelanjaan mengurus.  

“Justeru, pengurusan perbelanjaan universiti haruslah ke arah membantu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta penerbitan dan penyelidikan, dan perbelanjaan yang tidak berkaitan serta tidak menyumbang kepada kecemerlangan Universiti khususnya fakulti perlu dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Bengkel Penyediaan Agihan Perbelanjaan Mengurus UMS Bagi Tahun 2017 yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin di Galeri Majlis, pagi tadi.

Menurutnya lagi, UMS sememangnya menitikberatkan kepada perbelanjaan berhemat dan value for money seperti yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil. 3.2/2014 Garis Panduan Perbelanjaan Secara Berhemat Bagi Mengawal Perbelanjaan Awam.

“Kita telah melihat hasil yang positif daripada langkah- langkah penjimatan yang telah kita lakukan sejak tahun 2014.

“Kini kita perlu melangkah ke satu Fasa yang baharu iaitu penekanan terhadap penjanaan hasil Universiti melalui mempergiatkan lagi penjanaan peringkat JFPIU dan merealisasikan kaedah- kaedah penjanaan baharu seperti memperluaskan aktiviti alumni,  wakaf dan endowment, serta usaha sama industri ke arah kelestarian kewangan,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Pemangku Bendahari, Zallifah Shadan turut menyampaikan taklimat ringkas yang menyentuh pencapaian prestasi perbelanjaan bagi setiap jabatan, serta cadangan menampung defisit bajet yang akan datang.

Lebih 30 kakitangan terdiri daripada ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai menghadiri bengkel yang berlangsung sehingga esok.

Foto: Suzeanywati Gasinin