RABU, 07 SEPTEMBER - 14 alumni dari setiap fakulti di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil bahagian dalam Program Bersama Alumni Anda sempena Minggu Suai Mesra (MSM) sesi 2016/2017 baru-baru ini.

Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Hj Janau berkata, program itu bertujuan sebagai medan perkongsian para alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman ketika bergelar sebagai mahasiswa UMS dahulu.

”Alumni yang dijemput itu terdiri daripada usahawan, jurutera, pengurus sumber manusia, timbalan pengarah, ahli geologi, pensyarah, pengurus kualiti makanan dan yang berkaitan dengan fakulti masing-masing.

”Menerusi usaha ini, para alumni memberi suntikan semangat kepada pelajar baharu agar tidak mensia-siakan peluang yang ada dan fokus dalam menamatkan pengajian dengan jayanya sekali gus meraih segulung ijazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program tersebut merupakan acara tahunan anjuran Pusat Alumni yang telah dimulakan pada MSM sesi 2015/2016.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali turut menyatakan sokongan penuh ke atas aktiviti anjuran Pusat Alumni dan berbangga dengan kejayaan alumni-alumni UMS.

”Mereka juga telah berkongsi idea dan memberi nasihat kepada pelajar baharu mengenai prospek kerjaya selepas menamatkan pengajian dengan mengaitkan kursus serta kurikulum yang diajar di universiti yang boleh diaplikasikan di alam pekerjaan,” katanya.

Untuk rekod, Pusat Alumni mengambil pendekatan tersebut bagi menanam rasa kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan pelajar kepada alma mater bermula hari pertama menjejakkan kaki di UMS dan bukannya hanya dijejaki setelah mereka bergelar alumni.

Sumber: Dayangku Rozlina Pg. Aliuddin, Pusat Alumni

RABU, 07 SEPTEMBER – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi menasihatkan pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) supaya menguasai Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang diajar pensyarah di bilik kuliah.

Malah, beliau juga mahu mereka menguasai dan mempelajari bahasa antarabangsa yang lain termasuk Bahasa Mandarin, Jepun dan India serta Arab.

“Kalau kita menguasai lebih banyak bahasa, lebih mudahlah kita berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa selain memahami pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 600 pelajar baharu UMS Labuan pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi LPU UMS Bersama Pelajar Baharu UMS Labuan Sesi 2016/207 di Dewan Kuliah Pusat (DKP) kelmarin.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Dr Ismail Ali, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Pada majlis itu, Tun Zaki berkongsi pengalaman mengenai kerjaya seorang hakim dan memberikan pandangan beliau mengenai ekonomi negara.

Tun Zaki tidak lupa mengingatkan pelajar baharu supaya sentiasa meningkatkan prestasi pembelajaran mereka ke arah lebih cemerlang.

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

SELASA, 06 SEPTEMBER – Seramai sembilan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menghadiri Mesyuarat LPU UMS Ke-74 Bil. 5/2016 di Bilik Seminar Kiamsam, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada hari ini.

Mesyuarat yang bermula pukul 8.30 pagi itu dipengerusikan Pengerusi LPU UMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Terdahulu ketibaan Tun Dato’ Seri Zaki di pekarangan Bangunan Menara disambut Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Selepas mesyuarat tersebut, Dr Murnizam menyampaikan taklimat mengenai pengurusan pentadbiran dan pembangunan UMS Labuan di Bilik Sri Seminar.

Pada sebelah petang, Tun Zaki menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Baharu UMS Labuan Sesi 2016/207 di Dewan Kuliah Pusat (DKP).

Sumber: Azri Onn, UMSKAL

ISNIN, 05 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), hari ini menerima 13 pelajar bagi menjayakan Program Mobiliti Pelajar Berkredit sesi 2016/2017.

Daripada jumlah tersebut, enam orang ialah pelajar Universitas Pasundan (UNPAS), Indonesia manakala tujuh yang lain merupakan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Majlis penerimaan kesemua pelajar berlangsung di kampus UMS dengan dihadiri Dekan FPP, Prof. Madya Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek; Ketua Program dan Pegawai Pengiring Pelajar UNPAS, Dr. Abu Huraerah; dan  Pegawai Pengiring UUM, Dr. Fatimah Zailly Ahmad Ramli.

Berucap pada majlis itu Dr. Mohd Dahlan berkata, program Mobiliti Pelajar Berkredit merupakan satu usahasama antara UMS dan universiti-universiti lain di dalam merealisasikan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di Malaysia.

“Program ini merupakan program kali kedua dianjurkan bagi pihak FPP UMS dengan UUM, yang mana tahun lalu program yang sama berlangsung dengan jayanya bersama Universiti Mercu Buana, Indonesia.

“Pada kali ini, kita bersama UNPAS dengan pelbagai pengisian yang telah dirancang, dan kita mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan dengan mengorak langkah lebih jauh lagi sekali gus memperkasakan jalinan hubungan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dr. Dahlan menambah, FPP turut menghantar balas seramai tujuh pelajar tahun dua Program Kerja Sosial ke UUM esok.

“Sementara itu, seramai lima pelajar juga akan berlepas ke UNPAS untuk tujuan program mobiliti pelajar di sana pada 20 September ini,” jelas beliau lagi.

Turut hadir, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPP, Dr. Roslee Talib, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  FPP, Dr. Getrude C. Ah Chang @ Grace, serta Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UMS, Molly Donna Awang Sham.

Seperti sebelum ini,  Program Mobiliti Pelajar Berkredit akan berlangsung satu semester iaitu selama enam bulan.

JUMAAT, 2 SEPTEMBER – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching berpesan kepada siswa-siswi baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar memberikan fokus sepenuhnya kepada tugasan atau tanggungjawab utama iaitu menimba ilmu pengetahuan.

Katanya, beliau percaya sekiranya pelajar dapat memenuhi tanggung jawab ini, UMS bakal melahirkan produk terbaik yang akan menjadi kebanggaan rakyat dan negara khususnya Negeri Sabah dalam empat atau lima tahun akan datang.

“Manfaatkan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya, kerana dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan.

“Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya,” katanya dalam satu majlis ramah mesra bersama pelajar baharu UMS di Dewan Canselor.

Beliau menambah, Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa komited dalam usaha-usaha memartabatkan pendidikan tinggi antaranya melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) yang telah mula dirangka pada tahun 2013.

“Laungan “Soaring Upwards” menjadi kata keramat yang mampu menaikkan semangat semua warga pendidikan tinggi dalam mendokong usaha-usaha merealisasikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua pelajar, perpaduan dan efisiensi yang tinggi dalam pelaksanaan dasar dan program pendidikan,” katanya.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali.