RABU, 27 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memberi pendedahan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan kepada para pelajarnya.
UMS melalui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perkaunan (FPEP) hari ini sekali lagi mengambil pendekatan itu dengan mengadakan program jualan amal ‘Car Boot Sale’ di tapak letak kereta FPEP.
Penyelaras program, Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim berkata, program tersebut menjadi platform bagi melatih dan memperkasa kemahiran insaniah para pelajar khususnya dalam urusan jual beli.
“Dalam masa yang sama, para pelajar juga terdedah dengan teknik komunikasi berkesan melalui hubungan dua hala bersama pelanggan yang datang ke gerai masing-masing,” katanya ketika ditemui media pada program itu.
Beliau berkata, program pada kali ini juga turut melibatkan beberapa peniaga luar selain membuka peluang kepada kakitangan UMS untuk sama-sama mengadakan jualan.
“Kita sangat gembira kerana mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah daripada kalangan peniaga luar dan kakitangan UMS sendiri.
“Saya berharap penglibatan seumpama ini akan terus berpanjangan dalam acara serupa pada masa akan datang,” ujar Dr. Rahimie yang juga Timbalan Dekan (Kebajikan Pelajar), Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS.
Sebahagian daripada sewaan lot turut disumbangkan kepada Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITSA).
Sementara itu, Presiden PITSA, Norhanida Annol menyambut baik dan berterima kasih atas inisiatif yang dilaksanakan FPEP UMS.
Katanya, penganjuran program seumpama itu amat bertepatan dalam mendidik mahasiswa untuk mendekatkan diri dengan komuniti sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara UMS dengan masyarakat.
“Ini juga merupakan satu pendedahan yang wajar untuk para pelajar bagi mengalami sendiri perhubungan dengan komuniti untuk bekalan bermanfaat di alam kerjaya selepas tamat pengajian kelak.
“Kita juga berterima kasih kerana pihak FPEP kerana menyediakan lot untuk PISTA mengadakan jualan pada program ini,” katanya. -SS



SELASA, 26 APRIL - Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian menganjurkan Pertandingan Persembahan Seni UMS INTER COLLEGE (PPSUMS) bagi Kategori Tarian 1Malaysia di Anjung Siswa, baru-baru ini.
SELASA, 26 APRIL – Pelbagai bidang kerjasama akan terus diperkasakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Republik Demokratik Timor-Leste.
ISNIN, 25 APRIL – Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada hari ini telah bersama-sama menjayakan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ secara serentak di Perpustakaan UMS dan beberapa mini perpustakaan di fakulti universiti termasuk di Pusat Minda Lestari (PML) UMS dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
ISNIN, 25 APRIL - Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha melalui Exco Akademik dan Kepimpinan telah menganjurkan program, Kem Debat 3.0 bertempat di Dewan Serbaguna dan Bilik Mini Karisma Kolej Kediaman Tun Mustapha, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.