Inisiatif pelajar tahun dua Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terhadap usaha mengintegrasikan teknologi dalam pertanian pintar mendapat pengiktirafan apabila berjaya dinobat sebagai juara bagi SDG Agent Grant Pitching 2025 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan kumpulan pelajar yang membentangkan projek “The Oasis: Empowering Youth through IoT-Integrated Community Smart Farming” menerima geran berjumlah USD1,000.

Ketua projek, Mohd Asran Lataga yang juga Presiden Kelab YOSH UMS berkata, kemenangan tersebut membuktikan kemampuan mahasiswa UMS dan belia Sabah dalam menyelesaikan isu keterjaminan makanan, bekalan air, ekonomi komuniti serta kesedaran terhadap pertanian pintar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Projek The Oasis ini mengintegrasikan pertanian pintar menggunakan Internet of Things (IoT) serta model Pay It Forward sebagai usaha menangani isu kelaparan dan kekurangan akses makanan segar dan berkhasiat dalam kalangan pelajar dan belia B40 di Sabah.

”Di samping itu juga, inisiatif ini turut mendidik serta melatih belia dalam kemahiran pertanian pintar berasaskan teknologi,” katanya.

Mengulas lanjut, Asran berkata projek itu bermula sebagai inovasi kokurikulum pada Semester 1 2023/2024 dan pernah memenangi Anugerah Emas serta Anugerah Khas Pengarah PKPKP UMS dalam Karnival Inovasi UMS 2024.

“Selepas itu, projek The Oasis diangkat ke pelbagai platform peringkat nasional dan antarabangsa dengan bimbingan mentor serta sokongan Pusat Pembangunan Kerjaya & Keusahawanan (CEDeC) dan Pusat Islam UMS.

“Kemenangan ini diharap berupaya menjadi pemangkin untuk lebih banyak inovasi yang mampu mengangkat nama UMS sebagai hab inovasi sosial di peringkat nasional serta menjadi pembakar semangat belia khususnya mahasiswa untuk terus berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.

Majlis penutupan SDG Agent Grant Pitching 2025 disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Belia MySDG Academy, Philus George Thomas bersama Pengarah MySDG Academy merangkap Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Sekretariat APPGM-SDG, Zoel Ng.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri.

 

Kejohanan Sukan Tahunan Malaysia-Thailand (MASTHAI) 2025 Edisi ke-15 yang mempertemukan siswa-siswi dari kedua-dua negara mampu menjadi platform dalam memupuk semangat persahabatan dan perpaduan dalam persaingan acara sukan.

Kejohanan sukan tersebut yang menghimpunkan lebih 300 atlet, jurulatih dan pegawai pengurusan sukan kedua-dua negara mempertandingkan lima acara, iaitu badminton, bola tampar, sepak takraw, petanque, dan golf, dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah pada edisi kali ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penganjuran sukan tersebut merupakan manifestasi terhadap ikatan dua hala yang erat antara rakyat dan institusi pendidikan kedua-dua negara.

“Kejohanan Sukan MASTHAI ini turut berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan diplomatik, meluaskan jaringan pendidikan serta memupuk semangat perpaduan dan kesukanan dalam kalangan mahasiswa kita.

“Ini kerana sukan mampu menyatukan kita tanpa mengira latar belakang, bahasa atau budaya.

“Melalui sukan juga, kita belajar nilai disiplin, kerjasama, ketabahan serta rasa hormat terhadap lawan,” katanya dalam ucapan sempena perasmian penutupan kejohanan sukan tersebut di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sukan, pendidikan tinggi dan pembangunan mahasiswa.

“Program seperti ini adalah contoh terbaik bagaimana hubungan antara dua negara dapat diterjemahkan melalui aktiviti pelajar yang bermakna serta inklusif.

“Semoga hubungan erat antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand terus berkembang, bukan sahaja melalui sukan, tetapi juga menerusi kolaborasi akademik, program pertukaran pelajar dan projek penyelidikan bersama,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; wakil dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Suthon Chaupuk; dan Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr. Hanafiah Ayub.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat universiti yang berlangsung di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, baru-baru ini dengan menekankan peranan penting pemuliharaan gajah Borneo.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, pemuliharaan gajah merupakan amanah kolektif melibatkan kerajaan, sektor swasta, NGO, komuniti tempatan, institusi pendidikan dan setiap individu.

“Pemuliharaan bukan hanya tentang menyelamatkan gajah, tetapi juga tentang masa depan kita.

“Generasi muda harus menjadi penggerak, bukan sekadar pemerhati dan setiap dari kita boleh memainkan peranan sama ada melalui pendidikan, penyelidikan, advokasi atau gaya hidup yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena program Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Tambah Abdul Rahman, usaha UMS melalui IBTP dalam memacu penyelidikan biodiversiti wajar dipuji khususnya dalam kajian berkaitan pemuliharaan gajah Borneo.

“Kejayaan ini diperkuat dengan pengiktirafan antarabangsa yang diperoleh oleh penyelidik IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman yang menerima pengiktirafan sebagai penerima anugerah Whitley 2025, sekali gus mengangkat nama UMS di persada global.

“Kerjasama strategik antara UMS dan NGO Seratu Aatai juga telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif seperti penyelidikan terhadap tingkah laku gajah, pendidikan komuniti, dan penglibatan masyarakat dalam mitigasi konflik gajah dan manusia.

“Usaha-usaha ini menjadi contoh pendekatan holistik yang wajar diteruskan,” ujarnya.

Pada sambutan tersebut, turut diadakan sesi perkongsian ilmu, pameran interaktif serta program kesedaran yang melibatkan pelbagai pihak sebagai usaha memperkukuh pemahaman masyarakat tentang pentingnya melindungi spesies gajah pigmi Borneo yang unik.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj Sarbatly, Pengarah IBTP UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dan Pengerusi Seratu Aatai, Dr. Fauzi Sarjono.

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan Program Inovatif Kesihatan Mental Remaja di HUMS baru-baru ini.

Menurut Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Hajah Malehah Datuk Mohd Noh, penganjuran program tersebut bertujuan untuk membekalkan remaja dengan kemahiran emosi dan sosial yang penting bagi menghadapi cabaran kehidupan.

“Selain itu, program ini hadir tepat pada masanya memandangkan statistik menunjukkan kes buli di Malaysia meningkat sebanyak 77% dari tahun 2015 hingga 2023.

“Di Sabah khususnya, kadar prevalens buli dalam kalangan pelajar sekolah berada pada paras 9 hingga 10 peratus, membuktikan perlunya intervensi segera, pencegahan berkesan, serta penglibatan aktif semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.

“Justeru itu, program ini dilihat mampu memberi kemahiran dan ruang selamat kepada remaja agar mereka dapat mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara aman, dan saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis pelancaran program tersebut.

Malehah menambah, inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan pengawalan emosi, serta kemahiran interpersonal dalam kalangan remaja.

“Melalui sesi interaktif bersama pelajar dan guru, program ini menyediakan alat praktikal untuk membantu remaja mengurus tekanan, membina hubungan sihat, dan meningkatkan daya tahan diri.

“Kerjasama HUMS dan UNICEF ini turut merangkumi latihan kepada guru serta kaunselor sekolah, bagi memastikan kesannya berkekalan,” katanya.

Ujar beliau, harapan HUMS dan UNICEF adalah agar program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli dan tekanan emosi di sekolah, tetapi juga membentuk generasi muda Malaysia yang lebih berdaya tahan, berempati, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Hadir sama pada majlis tersebut Puan wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Nowenna Willie D Tamsin; wakil UNICEF Malaysia, Aina Izzati Muslan; wakil Pengarah Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sabah, Dr. Norhalili Mohd Tamiri; dan Pegawai Perubatan Psikiatri, Dr. David Tan Ming Gui.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai Sustainability Team of the Year: Green Technology Innovation dalam Malaysia Sustainability Leadership Awards 2025 yang berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengiktirafan berprestij bersempena dengan program The Solar Week Malaysia 2025 itu diberikan atas kejayaan projek inovatif bertajuk Sustainable Microgrid Framework, hasil kajian pasukan penyelidik dari Microgrid Laboratory Research Group, Fakulti Kejuruteraan UMS yang bermula sejak tahun 2023.

Menurut Prof Madya Dr. Mohd Kamal Mohd Shah yang merupakan ketua bagi projek tersebut, beliau menyifatkan projek itu adalah sebuah inisiatif untuk menyokong pelaksanaan “Sustainable Green Island Framework Project” dengan mengintegrasikan teknologi tenaga boleh diperbaharui dan inovasi grid pintar.

Tambahnya, projek tersebut merupakan usaha untuk meningkatkan daya tahan tenaga serta kelestarian alam sekitar, khususnya di kawasan pulau dan luar bandar.

“Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi serta semangat kolaborasi seluruh pasukan penyelidik bersama rakan industri.

“Ini juga membuktikan komitmen UMS untuk terus memperkasa teknologi hijau dan menyokong matlamat pembangunan lestari negara,” ujarnya.

Pelaksanaan projek tersebut turut melibatkan pasukan penyelidik yang terdiri daripada Prof. Madya Irma Wani Othman, Dr. Nahiyan Al Azad, dan Ts Ir Dr. Zahari Dollah, serta mendapat sokongan padu daripada rakan industri.

Pengiktirafan UMS pada majlis penganugerahan yang turut menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, dan pakar inovasi dalam bidang kelestarian itu merupakan satu pencapaian penting dalam meletakkan UMS sebagai institusi peneraju teknologi hijau di Malaysia dan serantau.