Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah meluncurkan siri jerayawara melalui Program Sejahtera Masyarakat Melalui Pendidikan Profesional (PROSPEK) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, Pitas, baru-baru ini.

Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang menjalankan fungsi Dekan FPSK ketika mewakili Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj. Mansor berkata, PROSPEK bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar untuk melanjutkan pengajian.

“Program yang bersifat Community Social Responsibility (CSR) ini dapat memberikan akses kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan sains kesihatan di UMS.

“Pelaksanaan PROSPEK FPSK UMS melibatkan empat fasa utama, iaitu fasa jerayawara yang melibatkan aktiviti perkongsian maklumat mengenai PROSPEK sebelum masuk ke fasa pemilihan pelajar melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Fasa ketiga ialah fasa bimbingan melibatkan aktiviti pemantauan prestasi pelajar seperti program mentor mentee, kem kecemerlangan dan motivasi,” katanya.

Menurutnya, fasa terakhir ialah fasa pendaftaran yang melibatkan bantuan untuk mendaftarkan pelajar terpilih melanjutkan pengajian di peringkat asasi sains di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS.

“Diharapkan program ini bakal memberi manfaat kepada masyarakat Sabah sejajar dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) tahun 2021-2025 melalui agenda Pemerkasaaan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Fasa jerayawara PROSPEK seterusnya akan diadakan di daerah Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud.

“Semua daerah di Zon Utara Sabah tersebut merupakan pilot project dan ambilan kohort pertama PROSPEK FPSK UMS,” ujar beliau.

Antara pengisian sepanjang program tersebut berlangsung adalah taklimat program asasi sains, pameran pendidikan dari U-Science dan juga FPSK, serta lawatan ke bilik Sains Teknologi Maklumat (STEM), SMK Pinggan-Pinggan.

Lebih 300 pelajar termasuk ibu bapa dan guru-guru telah hadir ke program tersebut yang melibatkan empat buah sekolah menengah aliran sains di daerah Pitas.

Hadir sama wakil Pengetua SMK Pinggan-Pinggan, Adziah Zaman dan wakil pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pitas, Nurmaziah Maikal Abdulllah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Universiti AMC telah memeterai satu hasrat kerjasama bagi memperkukuhkan kemajuan akademik antara kedua-dua institusi tersebut.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara kedua-dua institusi baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Dekan antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal menandatangani dokumen LoI tersebut, manakala AMC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Lo Ching Wing.

Menurut Geoffrey, menerusi hasrat kerjasama tersebut, kedua-dua institusi bersedia mencapai matlamat dalam memudahkan pertukaran pelajar, pensyarah, kakitangan, dan kepakaran, memupuk kerjasama dalam projek penyelidikan dan pendidikan, dan mengadakan sesi latihan, seminar, bengkel, dan aktiviti akademik dan pendidikan lain yang berkaitan.

“Selain itu, pihak UMS dan AMC juga akan bersama-sama membangunkan program akademik bersama untuk meningkatkan penawaran akademik, dan meneroka serta melibatkan diri dalam aktiviti kerjasama berpotensi lain yang saling menguntungkan kedua-dua institusi.

“Kedua-dua institusi itu juga kini terlibat dalam membangunkan program ijazah sarjana muda melalui mod pengajian 2U2I (2 tahun di Universiti, 2 tahun di Industri) yang memfokuskan pengurusan hospitaliti.

“Ini kerana Sabah masih perlu untuk memperkukuh industri perkhidmatan untuk membuka jalan ke hadapan dan merealisasikan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, perjanjian kerjasama itu berpotensi untuk dilanjutkan dengan menggariskan rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) yang berterusan dan penglibatan dalam kerjasama penyelidikan, latihan dan perkongsian akademik.

“Kerjasama penting ini menandakan lembaran baharu bagi kedua-dua institusi ke arah kecemerlangan akademik, pertukaran silang budaya dan pembangunan holistik,” ujar beliau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai Perjanjian Hasrat Kerjasama (LoI) bersama tiga buah universiti di Mindanao, Filipina bagi memperkukuh jalinan kolaborasi pendidikan tinggi di rantau ini.

Kolaborasi bersama tiga universiti tersebut iaitu Mindanao State University, University of Southern Mindanao dan Notre Dame University, Filipina dalam mobiliti pelajar, akademik dan penyelidikan akan memacu dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti sekali gus mampu memberi manfaat kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peranan institusi pengajian tinggi merupakan antara nadi yang mampu memangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di rantau ini.

“Justeru itu, UMS sebagai salah sebuah menara gading di negeri ini bertekad untuk menerajui pendidikan tinggi di rantau BIMP-EAGA.

“Ini kerana melalui pendidikan akan dapat memahami sosio-kebudayaan untuk kemapanan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeterai hasrat kerjasama (LoI) dengan ketiga-tiga universiti tersebut sempena lawatan kerja delegasi Perutusan Khas (Special Envoy) BIMP-EAGA Sabah yang diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia di Cotabato, Mindanao, Filipina.

Kasim menambah, kerjasama tersebut adalah amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran generasi muda berkenaan kepentingan pendidikan tinggi.

“Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

“Kelestarian wilayah juga bergantung pada jenis pendidikan yang tepat,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Pandikar Amin ketika ditemui media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut berkata, pendidikan merupakan kunci dalam membuka peluang serta mengatasi halangan-halangan yang dihadapi di sekitar BIMP-EAGA.

“Saya difahamkan kolaborasi ini akan melibatkan mobiliti pelajar, pertukaran akademik, perkongsian bersama geran dan penyelidikan.

“Oleh itu, saya barharap forum sehari bertajuk BIMP-EAGA: Empowering Minority Communities in the Bangsamoro Region dapat menjadi platform terbaik untuk negara anggota BIMP-EAGA membincangkan kerjasama dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti dan mampu memberi manfaat kepada rantau ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, penubuhan BIMP-EAGA bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan pertumbuhan dalam bidang pelancongan, perniagaan, pertanian, perhubungan, persekitaran, sosio-budaya serta pendidikan.

Turut menyertai Kasim dalam lawatan kerja tersebut Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), terus menggiatkan aktiviti memberikan pendidikan awam berkaitan bencana alam kepada masyarakat setempat di Sabah.

Terbaru, NDRC telah mengadakan siri Program Pendidikan Awam Bencana Alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di kawasan terpilih untuk sentiasa berwaspada terhadap bencana alam.

“Sepanjang program ini, kami telah menjemput penceramah-penceramah profesional dari luar dan dalam UMS untuk memberikan perkongsian kepada yang hadir.

“Antara topik ceramah yang dibincangkan ialah mengenai pengurangan risiko bencana alam, cuaca ekstrim, banjir dan aliran Puing, tanah runtuh, gempa Bumi dan ceramah Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

 Beliau turut memaklumkan, program yang dianjurkan telah melibatkan penduduk setempat termasuk murid sekolah, belia dan pengusaha homestay.

“Untuk itu, kami juga mengetengahkan aktiviti seperti latihan kecemasan banjir , latihan kecemasan kebakaran dan pameran poster bencana alam sebagai persediaan menghadapi bencana di samping menambah pengetahuan berkaitan risiko bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyokong usaha penganjuran ceramah sedemikian yang dilihat dapat memberi pendedahan dan pendidikan

kepada orang awam tentang bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan aliran puing, tanah runtuh dan kemarau khasnya di daerah Kota Belud, Sabah.

“Program ini penting untuk meningkatkan lagi aspek kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai kejadian bencana alam yang sering melanda negara ini khususnya di Sabah.

“Adalah menjadi harapan pihak UMS agar kekerapan penganjuran program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan bagi membantu masyarakat khususnya di Sabah untuk mendepani masalah bencana alam yang berlaku,” ujar Kasim.

Program sehari ituh dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Tuan Haji Bakri Haji Nanun.

Turut bekerjasama dalam program tersebut ialah Pejabat Daerah Kota Belud, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sabah (JMG Sabah), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Kota Belud (JBPM Kota Belud) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kota Belud (APM Kota Belud).

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) melalui pasukan CERAH (Cancer Empowerment, OutReach & Awareness HUMS) telah menjalinkan kolaborasi dalam menjayakan program Saringan Kanser Payudara di Pulau Gaya, Sabah, baru-baru ini.

Kolaborasi ini melibatkan pihak Kinabalu Pink Ribbon (KPR), Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital KPJ serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurut penyelaras program CERAH, Dr Nurfarahin Musa program tersebut bertujuan untuk menghulurkan bantuan kesihatan awam kepada penduduk Pulau Gaya.

“Selain itu, program ini juga adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit kanser payudara.

“Sepanjang program ini, saringan kepada pesakit-pesakit yang berpotensi menghidap kanser payudara juga dilaksanakan,” katanya.

Nurfarahin turut memaklumkan, menerusi program tersebut, pihak LPPKN juga telah memberikan subsidi sebanyak 30 ujian HPV DNA dan 17 pakej saringan mammogram ke Hospital Gleneagles kepada pihak penduduk tempatan, selain KPR yang turut berjaya memberi bantuan sebanyak 100 bakul makanan kepada penduduk tempatan di Pulau Gaya.

“Sejumlah 12 lelaki dan 90 wanita telah berjaya disaring sepanjang program tersebut berlangsung.

“Hasil saringan telah mendapati 8 individu diklasifikasikan berisiko tinggi dan dirujuk untuk menjalani ujian diagnostik mammogram, manakala 17 individu diklasifikasikan berisiko sederhana dan dirujuk untuk siasatan susulan,” ujar beliau.

Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Sufian Eddie Matin telah hadir bagi merasmikan program tersebut.

Hadir sama Pengerusi CERAH, Dr Nik Amin Nik Lah; dan Ketua Saringan Payudara, Dr Muhammad Amirrul Nizam Razi