Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai Perjanjian Hasrat Kerjasama (LoI) bersama tiga buah universiti di Mindanao, Filipina bagi memperkukuh jalinan kolaborasi pendidikan tinggi di rantau ini.

Kolaborasi bersama tiga universiti tersebut iaitu Mindanao State University, University of Southern Mindanao dan Notre Dame University, Filipina dalam mobiliti pelajar, akademik dan penyelidikan akan memacu dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti sekali gus mampu memberi manfaat kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peranan institusi pengajian tinggi merupakan antara nadi yang mampu memangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di rantau ini.

“Justeru itu, UMS sebagai salah sebuah menara gading di negeri ini bertekad untuk menerajui pendidikan tinggi di rantau BIMP-EAGA.

“Ini kerana melalui pendidikan akan dapat memahami sosio-kebudayaan untuk kemapanan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeterai hasrat kerjasama (LoI) dengan ketiga-tiga universiti tersebut sempena lawatan kerja delegasi Perutusan Khas (Special Envoy) BIMP-EAGA Sabah yang diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia di Cotabato, Mindanao, Filipina.

Kasim menambah, kerjasama tersebut adalah amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran generasi muda berkenaan kepentingan pendidikan tinggi.

“Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

“Kelestarian wilayah juga bergantung pada jenis pendidikan yang tepat,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Pandikar Amin ketika ditemui media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut berkata, pendidikan merupakan kunci dalam membuka peluang serta mengatasi halangan-halangan yang dihadapi di sekitar BIMP-EAGA.

“Saya difahamkan kolaborasi ini akan melibatkan mobiliti pelajar, pertukaran akademik, perkongsian bersama geran dan penyelidikan.

“Oleh itu, saya barharap forum sehari bertajuk BIMP-EAGA: Empowering Minority Communities in the Bangsamoro Region dapat menjadi platform terbaik untuk negara anggota BIMP-EAGA membincangkan kerjasama dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti dan mampu memberi manfaat kepada rantau ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, penubuhan BIMP-EAGA bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan pertumbuhan dalam bidang pelancongan, perniagaan, pertanian, perhubungan, persekitaran, sosio-budaya serta pendidikan.

Turut menyertai Kasim dalam lawatan kerja tersebut Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), terus menggiatkan aktiviti memberikan pendidikan awam berkaitan bencana alam kepada masyarakat setempat di Sabah.

Terbaru, NDRC telah mengadakan siri Program Pendidikan Awam Bencana Alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di kawasan terpilih untuk sentiasa berwaspada terhadap bencana alam.

“Sepanjang program ini, kami telah menjemput penceramah-penceramah profesional dari luar dan dalam UMS untuk memberikan perkongsian kepada yang hadir.

“Antara topik ceramah yang dibincangkan ialah mengenai pengurangan risiko bencana alam, cuaca ekstrim, banjir dan aliran Puing, tanah runtuh, gempa Bumi dan ceramah Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

 Beliau turut memaklumkan, program yang dianjurkan telah melibatkan penduduk setempat termasuk murid sekolah, belia dan pengusaha homestay.

“Untuk itu, kami juga mengetengahkan aktiviti seperti latihan kecemasan banjir , latihan kecemasan kebakaran dan pameran poster bencana alam sebagai persediaan menghadapi bencana di samping menambah pengetahuan berkaitan risiko bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyokong usaha penganjuran ceramah sedemikian yang dilihat dapat memberi pendedahan dan pendidikan

kepada orang awam tentang bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan aliran puing, tanah runtuh dan kemarau khasnya di daerah Kota Belud, Sabah.

“Program ini penting untuk meningkatkan lagi aspek kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai kejadian bencana alam yang sering melanda negara ini khususnya di Sabah.

“Adalah menjadi harapan pihak UMS agar kekerapan penganjuran program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan bagi membantu masyarakat khususnya di Sabah untuk mendepani masalah bencana alam yang berlaku,” ujar Kasim.

Program sehari ituh dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Tuan Haji Bakri Haji Nanun.

Turut bekerjasama dalam program tersebut ialah Pejabat Daerah Kota Belud, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sabah (JMG Sabah), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Kota Belud (JBPM Kota Belud) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kota Belud (APM Kota Belud).

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) melalui pasukan CERAH (Cancer Empowerment, OutReach & Awareness HUMS) telah menjalinkan kolaborasi dalam menjayakan program Saringan Kanser Payudara di Pulau Gaya, Sabah, baru-baru ini.

Kolaborasi ini melibatkan pihak Kinabalu Pink Ribbon (KPR), Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital KPJ serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurut penyelaras program CERAH, Dr Nurfarahin Musa program tersebut bertujuan untuk menghulurkan bantuan kesihatan awam kepada penduduk Pulau Gaya.

“Selain itu, program ini juga adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit kanser payudara.

“Sepanjang program ini, saringan kepada pesakit-pesakit yang berpotensi menghidap kanser payudara juga dilaksanakan,” katanya.

Nurfarahin turut memaklumkan, menerusi program tersebut, pihak LPPKN juga telah memberikan subsidi sebanyak 30 ujian HPV DNA dan 17 pakej saringan mammogram ke Hospital Gleneagles kepada pihak penduduk tempatan, selain KPR yang turut berjaya memberi bantuan sebanyak 100 bakul makanan kepada penduduk tempatan di Pulau Gaya.

“Sejumlah 12 lelaki dan 90 wanita telah berjaya disaring sepanjang program tersebut berlangsung.

“Hasil saringan telah mendapati 8 individu diklasifikasikan berisiko tinggi dan dirujuk untuk menjalani ujian diagnostik mammogram, manakala 17 individu diklasifikasikan berisiko sederhana dan dirujuk untuk siasatan susulan,” ujar beliau.

Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Sufian Eddie Matin telah hadir bagi merasmikan program tersebut.

Hadir sama Pengerusi CERAH, Dr Nik Amin Nik Lah; dan Ketua Saringan Payudara, Dr Muhammad Amirrul Nizam Razi

 

Seminar Kebangsaan Teknologi Makmal (SKETMA) ke-15 yang dianjurkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi pemangkin budaya kerja inovasi dan aplikasi kepada Revolusi Industri (IR) 4.0 dalam kalangan komuniti kakitangan pengurusan makmal di Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, seminar yang mengangkat tema “Inovasi dan Revolusi Industri (IR) 4.0 Pemangkin Budaya Kerja Kakitangan Makmal” menghimpunkan kakitangan pengurusan makmal di pelbagai UA untuk membincangkan serta bertukar idea berkaitan tema seminar.

“Objektif seminar ini adalah untuk menyerlahkan potensi diri kakitangan dari segi kompetensi dan pengalaman dalam mewujudkan pangkalan data teknologi makmal terkini.

“Aplikasi IR 4.0 sangat relevan dengan keperluan semasa pengurusan dan operasi makmal yang memerlukan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaannya.

“Ini juga dapat meningkatkan mutu dan kecekapan perkhidmatan makmal, sama ada dalam penyelidikan atau pengajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar tersebut di Auditorium Sekafi, Galeri Azman Hashim UMS, pagi tadi.

Luqman menambah, perkongsian seminar yang berlangsung selama tiga hari ini dapat membantu kumpulan pegawai sains meningkatkan inovasi dalam pengurusan makmal di UA agar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Diharap semua peserta seminar dapat kembali ke universiti masing-masing dan membawa cadangan inovasi yang lebih baik untuk dilaksanakan di universiti masing-masing.

“Harapan juga agar penganjuran seminar pada kali ini dapat mencapai objektif dan berterusan untuk mewujudkan jalinan kerjasama dikalangan kakitangan makmal Universiti Awam di seluruh Malaysia,” ujar beliau.

Lebih 50 orang peserta kakitangan pengurusan makmal dari pelbagai UA menyertai seminar tersebut, antaranya peserta dari UMS, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Turut hadir, Ketua Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKePT) UMS, Kamisah Husin; Timbalan Ketua Pegawai Sains Kanan di Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, Motinius Guntalib; Timbalan Ketua Pegawai Sains Kanan di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Ahmad Sudin; dan Presiden Majlis Gabungan Penolong Pegawai Sains, Abdul Latip Haji Dris.

 

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal telah meluangkan masa menziarahi Saudari Dayangku Siti Mashitah Awangku Sulaiman, mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di sini siang tadi.

Dayangku Siti Mashitah telah dimasukkan ke hospital sejak 2 bulan lalu dan telah kehilangan kedua- dua belah tangan dan kaki disebabkan komplikasi penyakit apendiks.

Mahasiswa tahun 2 jurusan Hubungan Antarabangsa UMS itu ketika ditanya masih menunjukkan semangat untuk meneruskan pengajiannya.

Justeru, KPT bersama UMS akan melihat kaedah terbaik untuk memudahkan urusannya.

"Kehadiran pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah sebagai tanda sokongan kepada pelajar dan ahli keluarga mereka serta komitmen keprihatinan berterusan Kementerian terhadap kebajikan dan kesejahteraan siswa kita," YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal berkata demikian semasa menyalurkan bantuan bagi pihak Yayasan Kebajikan Siswa (YKS) kepada waris pelajar.

YKS sejak 2021 aktif menyantuni dan menyediakan pelbagai jenis bantuan dan sumbangan bagi memanfaatkan mahasiswa IPTA dan IPTS yang bekeperluan.

Tambah beliau, YKS juga akan terus giat memastikan kebajikan para pelajar adalah terjaga dan terpelihara sepanjang pengajian mereka di kampus.

Pada sesi ziarah yang sama, bantuan oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga telah disampaikan oleh Pengerusinya, YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim; dan Ketua Eksekutifnya, Tuan Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir bersama semasa sesi ziarah ini adalah Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMS, YBrs. Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; dan Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKS, Cik Nur Zahiah Saideh