Seramai 12 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor-SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu dalam satu ekspedisi latihan luar bilik darjah.

Ekspedisi itu merupakan platform latihan sahsiah, disiplin, kepimpinan dan pengurusan kendiri bagi pelatih tahun akhir SUKSIS, dengan penganjuran penuh oleh para mahasiswa sendiri serta penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sokongan teknikal daripada Taman-Taman Sabah.

Menurut Pengarah Program, Mohammad Azmir bin Misnani, ekspedisi itu bukan sekadar latihan fizikal, tetapi satu pengalaman pembelajaran berasaskan cabaran sebenar yang menguji ketahanan mental, semangat berpasukan dan kecekapan membuat keputusan dalam persekitaran berisiko tinggi.

“Kami berlatih untuk berbakti, bukan hanya dalam bilik kuliah, tetapi juga di alam nyata. Gunung Kinabalu menjadi medan sebenar kami menilai diri dan pasukan.

“Program seumpama ini membuktikan bahawa pembentukan sahsiah dan disiplin dalam kalangan mahasiswa tidak semestinya terhad kepada ruang akademik semata-mata, tetapi mampu disuburkan melalui pengalaman lapangan yang mencabar, reflektif dan membina jati diri.

“Ekspedisi ini juga memberi impak langsung kepada pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya menggalakkan keseimbangan mental dan kecergasan fizikal dalam kalangan mahasiswa (SDG 3), menyediakan ruang pembelajaran tidak formal dan pembangunan kemahiran insaniah (SDG 4) dan meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan biodiversiti di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO (SDG 15),’’ katanya.

Pada ekspedisi tersebut, para peserta berjaya menggibarkan bendera UMS, PDRM, Kor-SUKSIS dan Tabung Pendidikan Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebagai penaja utama ekpedisi ini di puncak Gunung Kinabalu sebagai lambang kejayaan misi dan iltizam terhadap nilai integriti, ketahanan dan kepimpinan.

Sementara itu, Acp/Ks Prof. Ir. Dr. Rosalam bin Haji Sabartly, Komandan Kor-SUSKIS UMS mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta kerana berjaya mendaki sampai ke puncak gunung Kinabalu.

“Program ini adalah lambang daya tahan mental dan fizikal, semangat berpasukan dan kerjasama. Komandan berharap kerjasama PDRM dan UMS terus erat terutama dalam program anjuran Kor-SUKSIS.

“Di samping itu juga, pengajuran ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu yang julung kali diadakan ini harus dijadikan aktiviti tahunan bagi pelatih Kor-SUKSIS UMS,” katanya.

Hadir sama Ketua Cawangan Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Sabah, DSP Chai Yee Siang; Ajutan Kor-SUKSIS UMS, DSP/KS Mohd Edrus Othman dan Pegawai Penyeralas Kor-SUKSIS UMS, ASP Mohd Fairul Mohd Shah.

 

Radio kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), UMSfm, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan siaran berkembar selama sejam bersama rakan industri studio satelit MediaLab Alliance Sdn. Bhd. di Subang Jaya.

Program siaran berkembar itu diadakan julung kalinya sempena sambutan ulang tahun penubuhan UMSfm yang ke-15 pada 1 Julai lalu, menerusi frekuensi 91.1fm di Kota Kinabalu dan turut distrim secara serentak melalui platform digital Facebook dan TikTok UMSfm.

Bertemakan “15 Tahun UMSfm: Menyatu Suara, Menjulang Ilmu”, rancangan khas tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara UMSfm dan MediaLab Alliance yang mencerminkan komitmen berterusan UMSfm untuk kekal relevan dalam era penyiaran digital.

Pengurus Stesen UMSfm, Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata inisiatif siaran berkembar itu bukan sahaja sebagai simbolik ulang tahun penubuhan radio tersebut tetapi bukti inovasi penyiaran boleh berlaku merentas geografi dan disiplin.

“Ini bukan sekadar pencapaian teknikal bagi sebuah radio kampus, tetapi juga satu langkah strategik dalam memperkukuhkan jaringan industri,” katanya.

Tambah Intan sambutan ulang tahun itu juga mencerminkan pencapaian baik UMSfm sepanjang 15 tahun dan menjadi titik tolak kepada evolusi masa depan penyiaran kampus dalam landskap media digital.

“Pendekatan ini merupakan satu bentuk kolaborasi inovatif yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dan lazimnya diterapkan dalam bidang seperti bandar pintar, penjagaan kesihatan, kelestarian, serta tidak ketinggalan dalam sektor pendidikan.

“Ia juga bersesuaian dengan status UMSfm sebagai ‘Living Lab’ sejak April 2023,’’ katanya.

Siaran khas tersebut turut menemu bual Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor bersama Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Profesor Dr. Asmady Idris di konti utama UMSfm.

Manakal studio satelit UMSfm di Subang Jaya dihadiri oleh Timbalan Pengarah Seksyen Dasar dan Penyelidikan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Fairuz Mohd Radzi serta Pengarah Urusan MediaLab Alliance, Ts. Azhar Abdul Latiff.

UMSfm yang mula bersiaran sejak tahun 2010, kini dikendalikan oleh pasukan penerbit rancangan dan teknikal yang terdiri daripada Feria Lee, Norhazimah Radik, Khairil Fitri Abd. Karim dan Penolong Jurutera, Abd. Rahman Yusman Yusuf.

 

Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Sabah turun padang bagi menyantuni komuniti Kota Belud khususnya penduduk Kg. Keguraan menerusi program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah baru-baru ini.

Antara IPT Sabah yang turut terlibat adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kolej Komuniti Kota Marudu, dan Kolej Komuniti Beaufort.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor memaklumkan, selain pelbagai aktiviti dari UMS dan IPT Sabah, beberapa projek pemindahan ilmu daripada ahli akademik kepada komuniti turut dilaksanakan, antaranya projek pemindahan ilmu berkaitan fertigasi tumbuhan dan sayuran, usahawan cendawan, pemasangan sistem solar, penghasilan mee kuning, dan aneka pizza talam.

“Inisiatif seperti ini perlu diperluaskan agar manfaatnya dirasai oleh lebih ramai, khususnya komuniti luar bandar yang memerlukan akses kepada peluang pendidikan dan pembangunan diri.

“Biarlah program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai anak watan yang berilmu, berdaya saing dan mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk diri, keluarga dan masyarakat,” katanya ketika berucap sempena perasmian program tersebut di SK Keguraan, Kota Belud.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Sementara itu, Mustapha ketika berucap berkata penganjuran program tersebut adalah peluang terbaik untuk berkongsi pelbagai bidang kepakaran yang terdapat di IPT kepada komuniti setempat.

Katanya, program itu turut menjadi platform dalam memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah dengan suasana sebenar pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi, serta memupuk minat mereka terhadap STEM menerusi permainan interaktif dan pameran yang disediakan.

“Justeru itu, saya ingin menyeru ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa menyokong anak-anak untuk melanjutkan pelajaran.

“Jangan jadikan kekangan ekonomi atau lokasi sebagai halangan, kerana hari ini kerajaan menerusi KPT telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan, biasiswa, pinjaman dan program laluan alternatif untuk semua,” ujar beliau.

Pada acara tersebut, Mustapha turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke IPT dan wang pendahuluan dari PTPTN kepada tiga pelajar yang terpilih.

Selain program pemindahan ilmu, turut diadakan aktiviti mengindahkan kawasan sekolah menerusi lukisan mural, pameran pendidikan dari UMS dan IPT Sabah, pameran kesihatan dari Hospital UMS (HUMS), saringan kesihatan dan konsultasi perubatan, pemberian ubat-ubatan dan kaca mata percuma, bicara kesihatan mental, pemeriksaan dan rawatan gigi, serta pemeriksaan kesihatan khas wanita.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan; Rektor UiTM Kampus Kota Kinabalu, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; Guru Besar SK Keguraan, Sharifah Hj Gundah; dan Ketua Kampung Kg. Keguraan, Awang Asrul Maslah.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memperkukuh pengurusan bencana negara.

Terbaharu, NDRC dikunjungi oleh Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor bertujuan mengenalpasti fungsi dan kajian-kajian yang dijalankan oleh NDRC secara mendalam.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata kerjasama dengan pelbagai institusi adalah penting dalam memastikan keberkesanan tindak balas bencana khususnya dalam aspek kesihatan awam dan kecemasan.

Beliau yang mengalu-alukan kunjungan HSI berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi dalam bidang yang berkaitan dengan ksihatan serta pengurusan bencana negara terutamanya yang melibatkan komuniti. “Kami sentiasa komited untuk menjadi rakan strategik kepada pelbagai agensi dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara.

“Kerjasama dengan institusi kesihatan seperti HSI Johor Bahru amat penting dalam memastikan keberkesanan tindak balas bencana, khususnya dari aspek kesihatan awam dan kecemasan.

“Lawatan ini membuka ruang strategik untuk menjalin kolaborasi rentas bidang, khususnya dalam aspek penyelidikan risiko bencana, latihan kesiapsiagaan, dan komunikasi risiko antara komuniti kesihatan dan akademik,” katanya.

Carolyn menambah NDRC UMS kini berperanan sebagai focal point berkaitan bencana di Sabah dan merupakan pusat yang aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program pendidikan awam termasuklah Program Latihan Kesiapsiagaan CBDRM iaitu pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti.

Delegasi yang terdiri daripada 20 orang pakar-pakar daripada pelbagai bidang diketuai oleh Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, Dr. Maryam Sumaiya binti Ahmad Termizi bersama barisan pakar perubatan dan pegawai kesihatan.

Delegasi turut berkesempatan melawat Sistem Pemantauan Gempa Bumi, SEISCOMP3 di Makmal NDRC dan Stesen Tolok Pasang Surut (Tsunami), MET Malaysia di Jeti UMS.

Penerangan mengenai fungsi teknikal SEISCOMP3 dan Tolok Pasang Surut (Tsunami) telah disampaikan oleh Dr. Chai Mui Fatt, Penolong Pengarah I, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi, Jabatan Meteorologi Malaysia Sabah yang juga merupakan Felo Penyelidik Bersekutu NDRC UMS.

Hadir sama dalam lawatan ini, merupakan pakar-pakar Perunding Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, Dr. Rashdan Rahmat, Dr. Lee Chee Siong, Dr. Noor Hayati Yasmin Nga Timin serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Kemajuan teknologi semata-mata tidak menjamin kesejahteraan hidup sekiranya nilai-nilai asas kemanusiaan terus terpinggir.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, era ledakan teknologi termasuklah kecerdasan buatan (AI), data raya (Big Data), dan transformasi digital, telah menyaksikan kemerosotan nilai-nilai kemanusiaan dalam pelbagai bentuk.

“Ini antaranya konflik berpanjangan, diskriminasi, perubahan iklim yang membimbangkan, polarisasi politik, serta kesepian dalam kalangan masyarakat moden.

“Justeru, menjadi tanggungjawab bersama, terutamanya dalam kalangan ahli akademik dan penggiat ilmu, untuk menyemarakkan dan memperkukuh nilai-nilai kemanusiaan dalam kehidupan sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan III (PAPK III) 2025 di UMS.

Dalam konteks tersebut, beliau percaya bahawa pengajian kemanusiaan bukan sekadar bidang pelengkap, sebaliknya merupakan tunjang penting dalam pembentukan masyarakat yang seimbang.

“Melalui cabang ilmu seperti falsafah, bahasa, budaya, sejarah, agama dan kesusasteraan, kita diasuh untuk memahami makna kehidupan, memupuk daya fikir kritis, menzahirkan empati, serta meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

“Kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya ditentukan oleh kemajuan ekonomi atau kemodenan infrastruktur, tetapi oleh nilai, empati dan keprihatinan sosial yang dihayati dan diamalkan oleh warganya,” katanya.

PAPK III katanya menjadi medium terbaik untuk menggalakkan penglibatan para sarjana dalam meneroka persoalan-persoalan kemanusiaan dari pelbagai dimensi.

“Kajian-kajian tempatan yang dijalankan oleh warga UMS, khususnya yang menyentuh tentang budaya dan kepercayaan masyarakat Sabah, menyumbang secara signifikan bukan sahaja kepada pemahaman tempatan, tetapi juga kepada perbincangan global mengenai pluralisme dan kemanusiaan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang beroperasi dalam ekosistem masyarakat majmuk, UMS mempunyai tanggungjawab untuk menjadi pusat rujukan dalam pengajian kemanusiaan yang berteraskan lokaliti namun bersifat sejagat.

“Kita ingin melahirkan pelajar dan penyelidik yang bukan sekadar cemerlang secara akademik, tetapi mempunyai jati diri yang kukuh serta mampu berinteraksi secara harmoni dalam masyarakat dunia,” ujar beliau.

Mengangkat tema "Pemerkasaan Nilai Manusia", persidangan anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) dengan kerjasama Institut Pembangunan Kajian Sabah (IDS) itu melibatkan penyertaan peserta dalam kalangan ahli akademik, penyelidik mahupun pelajar dari dalam dan luar negara.

PAPK III menghimpunkan hampir 100 kertas kerja yang mewakili pelbagai bidang dan negara, meliputi tema-tema seperti kesusasteraan, linguistik, pendidikan bahasa, sejarah, budaya, kepercayaan, identiti dan masyarakat.

Hadir sama dalam acara perasmian Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Dekan PPIB, Prof. Datuk Dr. Ismail Ali; dan Pengerusi Persidangan, Prof. Madya Dr. Saidatul Nornis Mahali.