Artikel oleh:
Prof. Dr. Vijay Kumar & Prof. Madya Dr. Zarina Amin
Institut Penyelidikan Bioteknologi
Universiti Malaysia Sabah
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Borneo merupakan kawasan luas yang kaya dengan biodiversiti yang menakjubkan : hutan hujan yang subur, sungai sungai dan pelbagai hidupan liar yang telah sekian lama wujud bersama komuniti manusia. Namun, selaras dengan pembangunan pesat di Sabah, interaksi di antara manusia, ternakan dan hidupan liar semakin meningkat. Sekali gus ini meningkatkan risiko penyakit zoonotik, iaitu penyakit yang berpunca daripada patogen yang berpindah dari haiwan ke manusia.
Kejadian pandemik COVID-19 sekitar 2020 - 2022 telah meningkatkan aktiviti pemantauan biologi (biosurveillance) secara global pada skala yang lebih besar. Walaubagaimanapun, amalan langkah berjaga-jaga sebagai pengajaran daripada krisis tersebut telah mula dilupakan oleh ramai pihak. Di wilayah seperti Sabah, di mana interaksi manusia dan hidupan liar berlaku dengan sangat kerap, pemantauan biologi perlu dikekalkan sebagai keutamaan oleh jabatan-jabatan Kerajaan yang terlibat. Ini adalah kerana penularan penyakit berjangkit bukan sahaja mampu mengganggu kesihatan awam, tetapi seperti yang terlihat dari pandemik COVID-19, ia juga boleh memberikan impak negatif dan menjejaskan sektor pelancongan, pertanian serta usaha pemuliharaan biodiversiti.
Ancaman Penyakit Zoonotik yang Semakin Meningkat di Borneo
Di antara penyakit zoonotik yang paling banyak didokumentasikan di Borneo merupakan penyakit malaria Plasmodium knowlesi dari perumah asal monyet macaque yang disebar melalui nyamuk. Dengan peningkatan aktiviti komuniti luar bandar Sabah yang semakin banyak berkembang ke kawasan hutan dan sekitarnya, risiko pendedahan kepada monyet macaque sekali gus kepada penyakit ini turut meningkat. Lebih membimbangkan, sejak kebelakangan ini penyakit malaria zoonotik ini merekodkan jumlah kes tertinggi di negeri Sabah.
Selain malaria yang dibawa oleh monyet, burung kelawar di Sabah turut dikenal pasti sebagai pembawa pelbagai jenis koronavirus baru mirip SARS dan COVID-19. Penemuan ini menonjolkan risiko yang mungkin dihadapi pelancong dan penduduk tempatan yang mengunjungi gua -gua yang dihuni oleh burung kelawar.
Industri ternakan ayam di Sabah juga pernah berhadapan dengan wabak influenza burung patogenik tinggi (H5N1) pada tahun 2018. Virus ini merebak dengan cepat sehingga ribuan ayam terpaksa dihapuskan. Walaupun tiada kes jangkitan manusia dilaporkan, kehadiran antibodi terhadap virus tersebut di dalam kalangan individu tertentu mencadangkan kemungkinan wujudnya penularan zoonotik terdahulu.
Di Sarawak pula, penyakit anjing gila (rabies) setakat ini masih kekal sebagai penyumbang kepada hampir semua kes berkaitan di Malaysia. Memandangkan Sabah berkongsi sempadan dengan Sarawak, maka segala usaha vaksinasi serta aktiviti pemantauan penyakit berjangkit yang berterusan amat penting untuk mencegah penularan ‘rabies’ di negeri ini.
Cabaran Baharu Kesihatan Haiwan
Penyakit yang menjejaskan ternakan dan hidupan liar turut menjadi perhatian. Penyakit ‘Newcastle Disease ’ dan Bronkitis Berjangkit telah menjejaskan industri ayam pedaging di Sabah, menjadikan vaksin sedia ada kurang berkesan. Walaupun ayam yang dijangkiti tidak secara langsung mengancam manusia, kemerosotan ternakan memberi kesan kepada keselamatan makanan dan pendapatan penternak.
Hidupan laut juga tidak terkecuali. Di Pulau Mabul dan perairan sekitarnya, semakin banyak penyu laut dilaporkan menghidap fibropapillomatosis — sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus herpes, yang menyebabkan ketumbuhan melemahkan dan memerlukan campur tangan manusia untuk kelangsungan hidup. Survelan kesihatan juga penting di kawasan perairan Sabah yang masih belum tercemar bagi melindungi spesies terancam ini.
Selain itu, Demam Babi Afrika (ASF) telah memusnahkan populasi babi liar dan ternakan di Sabah. Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, penyebarannya yang pantas dalam kalangan Sus barbatus (babi berjanggut) memberi impak besar dari segi ekologi dan ekonomi. Kehilangan haiwan ini boleh mengganggu ekosistem serta menjejaskan amalan memburu tradisional masyarakat peribumi.
Jangkitan Kuman dari Tanah Air dan Pembawa Tikus
Penyakit seperti melioidosis yang dibawa oleh bakteria patogenik Burkholderia pseudomallei, yang merebak di Sabah berupaya menjangkiti manusia serta hidupan liar termasuk orang utan dan monyet macaque. Ancaman lain yang berterusan ialah leptospirosis: sejenis jangkitan
bakteria yang merebak melalui air tercemar dan sering dibawa oleh tikus. Bakteria Bartonella yang berkaitan dengan tikus juga didapati sangat meluas di kawasan bandar di Borneo. Ancaman tersembunyi ini menekankan keperluan pemantauan alam sekitar secara berterusan.
Tingkah Laku Manusia dan Penularan Penyakit
Antara cabaran terbesar dalam pencegahan penularan wabak penyakit merupakan aktiviti manusia sendiri. Kegiatan pemburuan haiwan secara haram dan perdagangan hidupan liar masih berleluasa walaupun terdapat beberapa usaha penguatkuasaan yang dijalankan selain dari usaha-usaha pemuliharaan haiwan dari badan badan terlibat. Hidupan liar seperti tenggiling masih diperdagangkan secara senyap di pasar-pasar tempatan. Walaupun belum ada virus zoonotik yang dikenal pasti di dalam tenggiling di Sabah setakat ini, risiko penularan jangkitan penyakit tetap tinggi. Penguatkuasaan yang lebih tegas amat diperlukan untuk membendung aktiviti ini.
Melihat ke hadapan, projek-projek pembangunan luar bandar berskala besar sebagai contoh pembinaan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur, dijangka mampu menggugat habitat hidupan liar secara besar-besaran. Di simpang itu peningkatan pembalakan, peluasan pertanian dan pembinaan empangan hidro dijangka mampu memburukkan konflik manusia-hidupan liar serta meningkatkan risiko penularan penyakit.
Langkah Ke Hadapan: Memperkukuh Biosurvelan One Health
Aktiviti pemantauan ‘biosurveillance’ di Sabah pada waktu ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan, institusi akademik serta organisasi pemuliharaan; walaubagaimanapun kekangan2 seperti dana yang terhad, peralatan usang dan kurang penyelarasan mampu menjejaskan kelancaran aktiviti pemantauan ini. Pendekatan One Health — yang menggabungkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar — perlu diperkukuh untuk mengatasi cabaran ini.
Sehubungan dengan itu, lima strategi utama telah dicadangkan:
- Pemantauan Genomik dan Analitikal Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence): Menggunakan penjujukan generasi baharu, pemantauan DNA persekitaran (eDNA) dan kecerdasan buatan untuk mengesan patogen baru.
- Libat Urus dan Pendidikan Komuniti: Memberi pendidikan kepada komuniti luar bandar dan masyarakat peribumi mengenai risiko zoonotik dan strategi pencegahan.
- Penguatkuasaan Lebih Tegas terhadap Pemburuan Haram: Mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan NGO untuk membanteras perdagangan hidupan liar.
- Dasar Guna Tanah Lestari: Menggalakkan pembangunan berasaskan pemuliharaan bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar.
- Penyepaduan Dasar dan Peningkatan Pembiayaan: Memastikan sumber tambahan untuk biosurvelan dan mengintegrasikan pendekatan One Health dalam dasar kebangsaan.
Penutup
Biodiversiti Sabah merupakan khazanah dunia, namun pada masa yang sama menjadi titik panas kepada kemunculan penyakit berjangkit baharu. Ketika aktiviti manusia terus mengubah landskap dan ekosistem, usaha biosurvelan proaktif dan pengukuhan pendekatan ‘One Health’ amat diperlukan.
Kami menyeru penubuhan satu pasukan petugas antara disiplin yang merangkumi pakar kesihatan awam, pemuliharaan, virologi, teknologi AI dan pembuat dasar. Dengan menggabungkan kepakaran dan memanfaatkan teknologi terkini, Sabah boleh melindungi rakyatnya dan khazanah biodiversitinya untuk generasi akan datang.