Nyah momokan Barat yang Melayu kolot

 

 (Utusan Malaysia, 2 Jun 2023)

 

SYARAHAN Za'ba 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada pagi 30 Mei lalu mempunyai makna besar yang tersurat dan tersirat khusus bagi disiplin pengajian Melayu. Ia amat penting bagi mereka yang melihat pengajian Melayu (serta ilmu kemanusiaan dan sains sosial lain) dalam konteks sempit dan tersorot serta dikesampingkan dalam pembangunan akademik dan pengembangan ilmu di pusat pengajian tinggi.

Ilmu kemanusiaan dan sains sosial berbeza dengan ilmu sains fizikal dan sains gunaan yang dapat dilihat dengan jelas oleh mata kasar. Ia sangat penting dalam pembangunan dan kesejahteraan sesebuah negara dan tamadun ummah. Analogi mudahnya, sains fizikal itu sebagai jasad, maka sains sosial dan kemanusiaan adalah rohnya. Kedua-duanya saling berkait dan memerlukan bagi membentuk sebuah kemajuan dan tamadun ummah yang benar-benar seimbang dan bertahan lama.

Apa yang cuba diangkat oleh Mohamed Khaled dalam ucapan padat penuh falsafah itu bahawa pengajian Melayu adalah satu bidang disiplin sangat penting dalam pembangunan ummah dan universiti yang tidak boleh diketepikan. Ia perlu diangkat darjat kedudukannya sebagai ilmu teras dan asas serta diterjemahkan dalam konteks persekitaran moden dan melepasi tahap lokal, tapi menjulang hingga ke peringkat global. Pengajian Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai berfokus pantun, seloka semata-mata serta karya mati dan tertutup sifatnya, tetapi suatu yang hidup segar mempunyai hubungan rapat dengan persekitaran sosial, politik, teknologi, tidak terpisah. Ia perlu dilihat sebagai alat dan disiplin yang boleh merungkai masalah-masalah semasa bangsa bergolak.

Ilmu pengajian Melayu yang luas mencakup pelbagai bidang perlu digali, diteroka, dianalisis dan disesuaikan dengan persekitaran semasa sebagai alat dan bidang ilmu sangat berguna. Menteri menegaskan, nilai sejagat yang terbentuk pada hari ini asasnya adalah lahir daripada budaya Melayu dan beliau menolak ia berkembang dari dunia Barat. Ini wajar dan tepat sekali kerana tamadun Melayu telah lama berkembang dan wujud kerajaan-kerajaan besar seperti Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Aceh dan kemudiannya kerajaan Johor-Riau. Kerajaan-kerajaan besar ini bertahan beratus tahun dengan sistem yang terjamin. Semua aspek berkembang pesat dalam pelbagai bidang. Tidak mungkin sesebuah kerajaan besar mampu terbentuk dan bertahan tanpa mempunyai asas ilmu, undang-undang, pentadbiran serta teknologi yang baik.

MADAGASCAR

Kerajaan-kerajaan Melayu telah sedia ada sistem pentadbiran cekap dan mantap, undang-undang kemas dan berkesan serta tahap teknologi sangat membanggakan. Tamadun Melayu telah ada tokoh-tokoh besar beratus tahun sebelum kedatangan penjajah. Penjajah telah mengherotkan realiti sebenar tamadun bangsa. Abdullah Munshi tajaan Barat mengatakan, beliau adalah bapa kesusasteraan Melayu moden masih boleh dipertikaikan kerana tokoh falsafah besar ummah Melayu telah beratus tahun muncul dengan karya besar dalam pelbagai bidang sangat tinggi nilainya. Abdul Rauf Singkel, Hamzah Fansuri, Nuruddin Ar-Raniri dan Shamsudin al-Sumaterani adalah antara tokoh-tokoh besar tamadun Melayu tidak ada tolok bandingnya sejak abad ke-16.

Bustanus Salatin karya Nurudin Ar Raniri mengupas dengan susur atur ilmu politik dan pentadbiran yang sangat tinggi tahap analisis dengan nilai-nilai tempatan dan Islam sangat mendalam. Bahkan kita telah ada karya ilmu matematik yang ditulis dalam tulisan Jawi oleh sarjana Melayu sebelum kedatangan penjajah. Semuanya tidak dicungkil dan diangkat tinggi oleh penjajah, bahkan cuba ditenggelamkan.

Tahap teknologi bangsa Melayu dimomokkan oleh Barat sebagai bertahap rendah dan bersifat tradisi kolot yang ketinggalan juga perlu diteliti semula. Bagaimana mungkin bangsa kita dikatakan bertahap rendah dalam bidang teknologi kalau telah mampu membina kapal dan ilmu pelayaran ke laut luas? Bangsa kita mampu mengadakan pelayaran antarabangsa sampai ke China, Jepun dan Madagascar.

MUZIUM LISBON

Dalam bidang teknologi ketenteraan, mesti semak semula kenyataan Barat yang mengatakan kita hanya menggunakan lembing, tombak, panah dan keris. Terbukti kita mempunyai beratus meriam besi ketika menentang Portugis pada 1511. Meriam kita masih tersimpan di Muzium Lisbon, Portugal sehingga kini. Kajian tentang ini perlu dilakukan dan membetulkan persepsi lapuk yang 'dijajah' mengatakan kita tidak mempunyai teknologi dalam bidang senjata yang menjadi sebab utama kalah melawan Portugis. Kita kalah kerana struktur dalaman dan perpecahan sesama kita yang bukan diasaskan kepada kesucian dan semangat cinta negara, cinta agama. Semangat cinta kebendaan menguasai pentadbiran serta kesetiaan askar upahan yang sukar dipercayai dalam pertahanan negara. Di sini dapat dilihat 'roh' ilmu kemanusiaan itu penting dan senjata fizikal bukan penentu sebenar yang besar dan mutlak.

Disiplin ilmu pengajian Melayu mesti diangkat sebagai disiplin strategik dan merombak struktur sedia ada yang tidak benar-benar membina. Pencapaian bangsa Melayu perlu dibahas dengan mendalam dan asas ilmiah yang tepat. Kita perlu menggali sistem nilai dan tidak terhad kepada khazanah dan transkrip serta tafsiran penjajah yang sempit. Ia perlu dilihat dalam konteks moden dan bersifat global. Perlu tafsiran baharu kekayaan khazanah bangsa, mengembangkan disiplin pengajian Melayu bagi menjawab persoalan dan cabaran semasa.

Peruntukan khas RM500,000 (walaupun tidak besar mengikut kata Mohamed Khaled) tetapi yang perlu dilihat dan lebih penting adalah sokongan dan keikhlasan beliau. Janji beliau akan 'mengetuk' konglomerat Melayu bagi memberi infak dan sumbangan adalah jaminan bermakna. Pasti akan ramai konglomerat sudi membantu demi kemajuan ilmu dan survival ummah.

Cetusan Mohamed Khaled bukan sahaja secara simbolik kepada pengajian Melayu secara mutlak, tetapi bidang-bidang ilmu kemanusiaan dan sains sosial berkaitan. Pengajian Melayu tidak boleh berdiri sendiri secara mutlak. Ia mempunyai hubungan rapat dengan disiplin ilmu lain dalam bidang kemanusiaan, sains sosial bahkan ilmu sains fizikal serta sains gunaan. Ahli akademik dan pentadbir utama universiti tidak boleh melihat bidang dan disiplin kemanusiaan dan sains sosial sebagai tidak 'sepenting' sains tulen dan sains gunaan.

Tahniah YB Menteri yang mengungkapkan isu besar demi survival ilmu dan survival bangsa dan ummah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan Orang Asal & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorllS), Universiti Malaysia Sabah.

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.