Memperkasa Fungsi Sumber Manusia Profesional di Universiti

 

Oleh: 

Dr. Jakaria Dasan

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Ph.D in HRM Pensyarah Kursus HRM, MBA.

Ts. Mohd Rafizi Rahmad

Timbalan Pendaftar Kanan

Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM

Adalah juga:

Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber

Manusia Malaysia (MIHRM)

 

Universiti adalah menara gading yang mempersada ketinggian warga, khususnya para mahasiswa yang kelak menjadi kumpulan alumni yang berbakti kepada masyarakat. Dengan kata lain, universiti adalah gedung ilmu. Selain itu, fungsi dan peranan universiti sebagai rujukan penyelidikan dan agen pembangunan masyarakat turut menjadikan institusi ini sebagai bitara ilmu yang penting dalam pembangunan negeri dan negara. Universiti yang responsif kepada perkembangan semasa khususnya perubahan teknologi berupaya menarik minat pelajar dan ahli akademik terkemuka dari luar negara untuk sama-sama menyertai universiti tersebut. Secara langsung hal ini akan memugarkan lagi kecemerlangan yang terbit dari menara gading ini.

 

Umum tahu pengurusan sumber manusia menjadi suatu bidang pengurusan yang sering menarik perhatian ramai sama ada di sektor awam atau swasta. Pengurusan sumber manusia menjadi suatu bidang yang menarik perhatian ramai kerana kontroversi dalam pengurusan melibatkan karenah manusia yang pelbagai. Namun begitu kecanggihan teknologi dan perkembangan evolusi pengurusan sumber manusia mampu melahirkan pengamal sumber manusia yang profesional.

 

Menyedari peri-pentingnya peranan sumber manusia itu, mungkin sudah tiba masanya untuk iai diangkat secara total dengan cara memposisikan semula kedudukan pengurusan sumber manusia di kaca mata umum. Kendatipun, alangkah baiknya jika semua pihak termasuk kepimpinan universiti meletakkan semula kedudukan sumber manusia itu di tingkat teratas sekali. Dalam hubungan ini, elok benarla jika tujuan keberadaan manusia di muka bumi ini dapat disorot kembali.

 

Bagi orang Islam, dua jenis hubungan yang perlu dipelihara ialah hubungan ubudiyyah iaitu hubungan dengan Allah (hablum minallah) dan hubungan sesama manusia, (hablum minnas). Pengamal sumber manusia di universiti harus sedar bahawa menguruskan sebuah universiti tidak sama dengan menguruskan sesebuah organisasi lain. Seorang pengamal sumber manusia harus menjadi pengurus sumber manusia profesional dalam erti kata sebenar dan bukan ‘menguruskan pentadbiran’ semata-mata. Usaha memperkasakan fungsi pengurusan sumber manusia harus bermula dari proses perancangan sumber manusia berdasarkan kepada hala tuju universiti tersebut. Perancangan strategik universiti dan aspirasi negara perlu dijadikan asas dalam merancang sumber manusia universiti supaya mendapat calon bakat yang terbaik dalam membawa agenda pendidikan tinggi negara ke peringkat dunia.

 

Itu hanya akan berlaku sekiranya proses pengambilan dan pemilihan dilaksanakan berasaskan kompetensi. Calon bakat harus melalui proses saringan dan pemilihan yang mampu mengukur pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk bekerja. Kelulusan akademik cemerlang semata-mata tidak boleh menjadi sandaran bahawa calon bakat tersebut akan menjadi tenaga kerja yang efisien sekiranya kemahiran dan sikap tidak menepati keperluan universiti. Proses pembangunan sumber manusia melalui program latihan berkualiti dan berasaskan kompetensi harus menjadi pilihan warga pentadbir universiti. Program latihan harus dirangka bagi merapatkan kesenjangan kompetensi yang wujud di kalangan warga kerja. Tidak sesuai lagi melaksanakan program-program latihan sekadar untuk mencukupkan jam latihan. Program latihan yang dilaksanakan juga harus dinilai keberkesanan dan impak kepada organisasi melalui kaedah-kaedah yang objektif dan telus. Ini penting bagi memastikan bajet latihan universiti dibelanjakan mengikut keperluan sebenar latihan dan pembangunan staf.

 

Proses penilaian kepada prosedur kerja dan pengoperasian sedia ada juga harus melihat kepada aspek amalan terbaik dan berasaskan bukti. Ini penting bagi memastikan pengoperasian universiti dan sumber manusia universiti digunakan sepenuhnya untuk memperkasakan universiti. Pemerkasaan urusan sumber manusia juga tidak lengkap sekiranya aspek kebajikan dan kesihatan warga kerja tidak diberi perhatian. Pengurus sumber manusia profesional perlu mahir dalam punca kuasa dan rujukan termasuk dalam urusan melibatkan perundangan. Ini sekali gus menjadikan universiti sebagai tempat kerja yang selamat dan bebas dari sebarang ancaman yang boleh mengganggu fokus terhadap pengurusan dan perjalanan universiti secara keseluruhan.

 

Banyak masalah sumber manusia dalam organisasi berlaku kerana ketidakcekapan pengurusan dan pegawai sumber manusia yang kurang mahir dalam memberi khidmat nasihat atau membuat keputusan berasaskan empati dengan mengambil kira fungsi mereka sebagai pengamal sumber manusia profesional. Kompetensi seorang pegawai sumber manusia universiti profesional harus diperkasakan melalui program pertukaran pegawai, pensijilan profesional dan penempatan di agensi awam atau swasta yang mempunyai amalan pengurusan sumber manusia berprestasi tinggi.

 

Universiti mampu mengorak langkah mendahului sektor awam atau swasta dalam mempamerkan kecekapan dan profesionalisme sebenar dalam urusan pengurusan dan pembangunan sumber manusia. Bertitik tolak dari kepimpinan yang berkarisma dan mahukan universiti menjadi rujukan industri, wargakerja harus bersama mengorak langkah dan sederap dalam merealisasikan hasrat untuk meneruskan tradisi kecemerlangan universiti sebagai sebuah pusat rujukan masyarakat.

 

Disiarkan di Malaysian Daily News -  https://malaysiandailynews.com/memperkasa-fungsi-sumber-manusia-profesional-di-universiti/

  

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.