PRU16: Parti Mana Wakili Orang Melayu?

 

(Utusan Malaysia, 17 Ogos 2023)

 

PILIHAN raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu memberikan satu implikasi dan tafsiran besar dalam pilihan raya dan masa depan politik Malaysia walaupun hanya enam negeri serta tidak melibatkan Parlimen. Kekalahan teruk UMNO menimbulkan banyak persoalan tentang masa depan parti itu dan politik negara. Persoalan ini timbul dalam beberapa aspek:

• Apakah bentuk percaturan baharu kuasa pada masa depan?

• Adakah UMNO akan terus kekal dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN)?

• Apakah parti politik dominan orang Melayu pada masa depan?

Kekalahan UMNO memberi makna besar kepada pola sokongan orang Melayu kepada sebuah parti politik yang dapat memayungi dan melindungi kepentingan mereka. Mesti ada sebuah parti politik yang akan berjuang dan melindungi orang Melayu. Sebelum ini jelas kepada kita akan perjuangan dan falsafah dipegang oleh UMNO. Orang Melayu memberikan sokongan besar kepada UMNO dalam setiap pilihan raya sejak merdeka kerana keyakinan mereka kepada parti itu.

Realiti amalan dan apa yang dilakukan oleh UMNO juga benar bahawa parti ini memang melindungi kepentingan Melayu. Apa yang dilakukan oleh UMNO adalah tidak lari jauh daripada apa yang dinyatakan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Persoalan tentang biasiswa kepada mahasiswa/pelajar Melayu, peluang perjawatan dalam aspek kakitangan awam serta peluang ekonomi masih tidak jauh daripada amalan dan perjuangan UMNO. Keadaan sekarang sudah agak berubah, khususnya secara bandingan dari zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakah tindakan pimpinan UMNO di bawah Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bekerjasama dengan PH/ DAP adalah keputusan yang benar-benar tepat? Adakah ia tidak bercanggah dengan perjuangan asal UMNO dalam menjaga kepentingan dan melindungi orang Melayu? Sejauh mana UMNO berjaya menjaga kepentingan orang Melayu? Ini adalah persoalan besar yang mempunyai hubungan rapat dengan keyakinan serta sokongan orang Melayu kini.

Kita semua akui, antara UMNO dan PH (khususnya DAP) mempunyai pertentangan yang sangat tajam. Kenapa UMNO tidak mengambil jalan lain yang lebih bermaruah sama ada kekal sebagai pembangkang . dan terus memperkemaskan parti berdasarkan falsafah perjuangan asal? Atau juga kalau ingin bergabung dan membentuk kerjasama politik, hendaklah dengan mana-mana parti yang mempunyai asas falsafah sama atau hampir sama? Persoalan tentang survival jangka panjang adalah sangat perlu bagi perjuangan UMNO. Keputusan UMNO tidak hanya harus berasaskan kepentingan individu tertentu dan politik jangka pendek.

Keputusan PRN baru-baru ini mempunyai hubungan sangat rapat dengan tindakan UMNO bekerjasama dengan PH/DAP dan tindakan pimpinan parti sekarang. Adakah orang Melayu dan ahli UMNO akar umbi boleh menerima secara meluas akan keputusan UMNO bekerjasama dengan PH/DAP? Jawapan mudahnya, sebahagian besar tidak boleh menerimanya. Keputusan ini memakan diri dan melemahkan UMNO. Ia sukar diperjelaskan oleh pimpinan bawahan tentang isu kerjasama dengan PH/DAP.

 

PENGUNDI ATAS PAGAR

Pengundi UMNO dan pengundi atas pagar di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta di Selangor dengan mudah membuat keputusan menolak UMNO. Walaupun tidak ada kajian khusus dilakukan tentang ini, tetapi daripada hasil keputusan PRN di ketiga-tiga negeri ini, ia adalah jawapan . yang boleh diterima umum.

Apakah parti politik Melayu yang akan mewakili orang Melayu dan bukan Melayu liberal dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang? Kalau UMNO tidak melakukan satu perubahan besar dan menyeluruh serta kembali kepada perjuangan asal, maka secara umumnya kita dapat katakan orang Melayu akan keluar dari UMNO dan memilih parti politik lain. Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah pilihan paling mungkin.

Apa yang ditunjukkan dalam PRN di enam negeri baru-baru ini adalah bukti mudah yang harus diterima oleh UMNO. Perubahan sokongan terhadap UMNO ini bukan sahaja akan melemahkan kedudukannya, tetapi juga parti politik yang bekerjasama dengan UMNO. Kalaulah PH mengharapkan sokongan orang Melayu melalui UMNO, maka harapan itu menjadi hampa kerana orang Melayu akan menolak UMNO dengan apa yang berlaku sekarang.

Kerajaan Persekutuan akan berjaya berada dalam keadaan stabil dan kuat andainya di dalamnya ada sebuah parti politik Melayu yang mendapat sokongan kuat daripada orang Melayu. PKR tidak mendapat sokongan kuat orang Melayu kerana secara umumnya ia parti liberal/berbilang bangsa. Sokongan kuat daripada DAP sahaja tidak mampu membentuk sokongan yang benar-benar kuat.

Ketidakstabilan politik akan terus berlanjutan andainya pengundi Melayu terus berada dalam keadaan berpecahbelah dan tidak wujud sebuah parti politik Melayu yang kuat sokonganya. Adakah keadaan pengundi Melayu yang berpecah-belah ini akan terus berlarutan? Daripada pola yang berlaku dalam PRN di enam negeri baru-baru ini, pengundi Melayu telah mula menuju kepada sokongan kepada parti politik baharu yang sebelum ini diberikan kepada UMNO. UMNO telah ditolak oleh pengundi Melayu dan aliran sokongan berdasarkan pola 12 Ogos lalu beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

UMNO akan terus ditolak andainya perubahan besar tidak dilakukan dengan cepat dan boleh meyakinkan orang Melayu. PN akan terus diterima dan mendapat sokongan lebih meluas. Kalau usaha menarik sokongan pengundi liberal bukan Melayu kepada PN berjaya dilakukan, akan mengukuhkan lagi PN. . Usaha PN untuk menjadi parti utama orang Melayu dan juga pengundi liberal bukanMelayu adalah suatu yang tidak mustahil.

------------------------------------

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.