Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

 

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023]

 

PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia ekoran pandemik Covid-19 yang memberi impak langsung kepada kebanyakan sektor perindustrian.

Justeru, satu pasukan penyelidikan dibentuk terdiri daripada lapan negara melibatkan 11 universiti di Eropah dan Asia Tenggara, antaranya Universiti Teknologi Malaysia (Malaysia), Universiti Malaysia Sabah (Malaysia), Rigas Tehniska Universitate (Latvia), Tallinna Tehnikaulikool (Estonia), Universidade De Lisboa (Portugal), Universidad De Granada (Sepanyol), Univerzita Hradec Kralove (Czech Republic), Institute of Technology of Cambodia (Kemboja), University of Heng Samrin Thbongkhmum (Kemboja), National University of Laos (Laos) dan Savannakhet University (Laos).

Kumpulan penyelidik ini dikenali sebagai DX.SEA dengan tajuk penyelidikan Accelerating Digital Transformation for Higher Education Institutions in Southeast Asia terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran dengan dana penyelidikan daripada Erasmus+Programme (ERASMUS).

Rentetan pandemik, kualiti pendidikan bukan sahaja di Malaysia terjejas, namun, negara Asia Tenggara seperti Laos dan Kemboja turut melalui hal yang sama.

Selaras falsafah pendidikan negara dan pelan pendigitalan pendidikan, elemen penting yang dilihat adalah untuk membina kecekapan dalam transformasi digital untuk institusi pengajian tinggi Asia Tenggara dengan membangunkan pelan strategik digital, meningkatkan kualiti pembelajaran dan metodologi pengajaran serta pendekatan pedagogi untuk pembelajaran digital.

KURANG CEKAP

Tiga siri perbincangan dan diskusi dijalankan bagi tahun pertama penyelidikan. Bermula dengan mesyuarat pertama yang dijalankan secara dalam talian. Pertemuan kedua di Kuala Lumpur lebih tertumpu kepada perkongsian maklumat antara negara yang terlibat. Pertemuan ketiga diadakan di Universidad De Granada bagi membentangkan hasil dapatan kajian pertama dan menjadi tunjang kepada pembinaan modul dan cetakan biru negara untuk pendigitalan pendidikan.

Hasil daripada tiga pertemuan tersebut, konsortium mendapati elemen kecekapan adalah antara elemen yang kurang mendapat perhatian. Ini kerana, ramai pihak yang lebih teruja membincangkan isu berkaitan infrastruktur seperti kemudahan Internet, komputer riba dan infrastruktur berkaitan.

Malah, setiap negara mempunyai polisi dan ideologi berbeza-beza mengikut hala tuju politik pemerintah. Sama ada di peringkat makro dan mikro, isu kemiskinan digital tersebut mendapat perhatian kerajaan. Malah, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai inisiatif atau rangsangan pendidikan bagi mengatasi isu tersebut seperti Program Peranti Siswa.

Dalam keprihatinan kerajaan isu kemiskinan digital, terdapat negara Asia lain yang masih bergelut seperti Laos dan Kemboja.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Malaysia boleh berpuas hati dengan usaha dan inisiatif yang diberikan.

Memiliki komputer riba belum menjadikan kita celik komputer dan celik digital. Namun, tahap kecekapan dalam mengaplikasi secara afektif, mengadun, menggabung dan menghasilkan sesuatu menggunakan infrastruktur tersebut penting bagi menghasilkan individu yang diharapkan selari dengan Falsafah Pendidikan negara.

Mesyuarat DX.SEA kedua yang diadakan di Granada, Spain mengumpulkan data asas trend pembelajaran di tiga buah negara iaitu Malaysia, Laos dan Kemboja.

KECEKAPAN TEKNOLOGI

Analisis data asas menunjukkan bahawa kecenderungan penggunaan Internet tujuan pendidikan di Malaysia adalah sangat meluas, dengan pengaksesan harian menjadi norma dalam kalangan pensyarah.

Perbandingan dengan Laos dan Kemboja menunjukkan perbezaan ketara — penggunaan Internet untuk tujuan pendidikan di Malaysia jauh lebih kerap.

Pensyarah di Malaysia juga menikmati akses harian kepada Internet, menonjolkan infrastruktur teknologi maklumat yang matang.

Keputusan ini turut disokong perkhidmatan akses Internet dalam bilik kuliah di institusi pengajian tinggi di Malaysia berlangsung tanpa sebarang gangguan, menggambarkan kecekapan dalam penggunaan teknologi di arena pendidikan.

Kesimpulannya, dapatan ini merakamkan kecemerlangan infrastruktur teknologi pendidikan di Malaysia, membolehkan pensyarah dan pelajar mengintegrasikan Internet dalam pengalaman pembelajaran secara efektif, menjadikan Malaysia sebagai pelopor dalam pendidikan tinggi yang berorientasikan teknologi di peringkat antarabangsa.

Dari aspek keterdedahan kepada teknologi, Malaysia menunjukkan maklum balas positif berbanding dua buah negara tersebut.

Ini menjelaskan dari aspek penggunaan dan keterdedahan teknologi, Malaysia mempunyai kelebihan secara relatif.

Direkodkan 97 peratus pensyarah di Malaysia menggunakan elemen digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), manakala 3 peratus menyatakan mereka mempunyai pengetahuan dalam penggunaan elemen digital untuk PdP, namun tidak menggunakannya.

Menariknya, kebanyakan pensyarah lebih suka mengadakan kuliah bersemuka berbanding dalam talian. Ini boleh difahami memandangkan epistemologi dan ontologi setiap bidang ilmu berbeza-beza. Tahap pengetahuan teknologi di Malaysia dalam kalangan pensyarah lebih tinggi berbanding Laos dan Kemboja.

Kehadiran pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk digital memainkan peranan penting dalam agenda pendidikan negara ini.

Dalam konteks persediaan teknikal dan teknologi, kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia mencapai tahap kecekapan yang membolehkan mereka melaksanakan pendidikan digital dengan berkesan.

Namun, terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang membanggakan kerana keberkesanan pendigitalan pendidikan tidak hanya bergantung kepada pengetahuan dan peralatan semata-mata.

Literasi mendalam dari segi penyediaan, penggunaan, kreativiti dan kebolehan tenaga kerja dalam menghasilkan modul, kuliah atau bahan pengajaran dan latihan berkualiti menjadi elemen penting.

Pasukan penyelidik ERASMUS yang terlibat dalam projek DX.SEA berhasrat meneruskan agenda pendigitalan pendidikan mereka pada 2024 di Lisbon.

Keputusan ini menandakan kesinambungan usaha penyelidikan dalam menerapkan teknologi dalam domain pendidikan.

Dalam konteks projek DX.SEA, langkah terarah diambil untuk menggali potensi pendidikan digital dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran.

Pemilihan Lisbon sebagai tempat pelaksanaan menunjukkan strategi global penyelidikan ini, memberi peluang untuk melibatkan pelbagai perspektif dan pengalaman dalam pembangunan solusi pendidikan digital yang lebih baik dan lebih berkesan.

Keberhasilan usaha ini diharapkan dapat memberi sumbangan yang signifi kan dalam memperkukuh landskap pendidikan digital di peringkat antarabangsa.

 

Artikel ditulis oleh ahli akademik UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) , Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din (Fakulti Psikologi dan Pendidikan), dan Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto (Fakulti Psikologi dan Pendidikan).

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.