Risiko Buasir: Elakkan Tabiat Buruk Membawa Peranti ke Tandas


Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Am, Universiti Malaysia Sabah

 

 

Kesibukan dalam urusan harian menyebabkan kita kerapkali cuba untuk mencuri masa untuk menyelesaikan kerja yang masih tertangguh. Tabiat membawa peranti seperti telefon bimbit ke tandas untuk menulis dan menghantar emel, menulis rencana, membaca buku elektronik dan sebagainya adalah perkara yang patut dielakkan. Ini tidak termasuk lagi aktiviti menonton aplikasi YouTube dan Netflix atau melayar aplikasi laman sosial sewaktu membuang air besar. Aktiviti melayari telefon bimbit sewaktu berada di dalam tandas ini kebanyakkan berlaku kepada hampir semua orang, terutama sekali kepada mereka yang memerlukan masa untuk bersendirian. Ramai yang malu mengaku, tetapi inilah hakikat yang berlaku kini. Usus yang sihat hanya memerlukan 5-10 minit untuk selesai urusan, tetapi dengan adanya aktiviti “tambahan”, ia akan memanjangkan lagi tempoh tersebut. Apabila kita duduk di dalam tandas lebih daripada masa yang sepatutnya, ia menyebabkan berlakunya tarikan graviti kepada rektum dan dubur. Ini tidak langsung akan menjurus kepada pembengkakan pembuluh darah berhampiran dubur.

 

Faktor risiko dan gejala buasir

Buasir terjadi apabila pembuluh darah yang berada pada pangkal dubur membengkak. Ia adalah penyakit yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada individu yang kurang mengambil makanan yang berserat tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Kurang pengambilan makanan berserat tinggi akan menyebabkan berlakunya sembelit. Apabila mereka ingin membuang air besar, mereka terpaksa meneran dengan lebih kuat dan lama. Tekanan tinggi yang diberikan akan menerukkan lagi pembengkakkan pembuluh darah di kawasan dubur. Luka yang terbentuk hasil daripada geseran dengan najis yang keras akan menyebabkan pendarahan. Selain itu, antara perkara yang kurang diberikan perhatian ialah gejala kanser usus dan rektum. Kombinasi di antara sembelit, perubahan pola membuang air besar dan najis berdarah menjurus kepada gejala kanser usus dan rektum. Jadi, adalah amat penting bagi mana-mana individu yang mengalami kombinasi gejala ini untuk segera berjumpa doktor pakar untuk rawatan lanjut.

Selain daripada itu, wanita hamil juga tidak terkecuali. Sewaktu hamil, wanita akan mengalami ketidakseimbangan hormon yang boleh mengakibatkan pembesaran pembuluh darah di dalam seluruh badan termasuklah pada pangkal dubur. Wanita hamil juga dalam masa yang sama perlu mengambil ubat tambah darah untuk mengelakkan diri daripada mendapat anemia atau kekurangan darah semasa hamil. Antara kesan sampingan daripada ubat itu boleh menyebabkan berlakunya sembelit. Maka, sebab itulah risiko buasir meningkat di dalam kalangan mereka. Bahkan, sejarah keluarga yang mempunyai masalah sembelit atau buasir dan faktor meningkat usia juga boleh membawa kepada faktor risiko masalah ini. Antara faktor lain termasuklah obesiti, berdiri dalam jangka waktu yang lama atau selalu mengangkat benda yang berat. 

Buasir boleh menyebabkan pelpagai gejala. Antara gejala yang boleh berlaku termasuklah ketidakselesaan pada pangkal dubur hasil daripada pembengkakkan buasir atau lebihan kulit di kawasan tersebut dan pendarahan semasa membuang air besar. Kes kecemasan boleh berlaku sekiranya pesakit mengalami gejala anemia akibat pendarahan yang berterusan kesan daripada luka pada buasir tersebut dan sakit yang teruk apabila darah membeku di dalam buasir itu sendiri. Kebanyakan pesakit akan datang segera untuk mendapatkan rawatan apabila mereka mengalami gejala anemia dan sakit dipangkal dubur. 

 

Penilaian dan rawatan buasir

Buasir dibahagikan kepada dua kategori, iaitu buasir dalaman dan luaran. Buasir dalaman ialah buasir yang terbentuk di bahagian dalam rongga rektum, manakala buasir luaran pula berlaku di luar atau di pangkal dubur. Selain daripada itu, buasir juga boleh dibahagikan kepada 4 gred bergatung kepada keterukan buasir itu. Buasir gred 1 berlaku apabila buasir menyebabkan gejala seperti pendarahan tetapi bengkakan tidak terkeluar. Buasir gred 2 pula berlaku apabila buasir akan menonjol keluar semasa membuang air besar, tetapi ia akan masuk semula secara spontan. Buasir gred 3 pula adalah hampir sama seperti gred 2, tetapi ia perlu dimasukkan semula ke dalam dubur secara manual. Buasir gred 4 adalah yang paling teruk di mana apabila ia terkeluar, ia tidak dapat dimasukkan semula ke dalam dubur walaupun ditolak secara manual.

Rawatan buasir adalah mengikut tahap gejala. Bagi buasir yang bersaiz kecil dan tidak bergejala, pesakit dinasihatkan untuk mengubah corak pengambilan diet harian. Mereka digalakkan untuk menambah pengambilan serat dan minum lebih air. Ini dapat mengelakkan mereka daripada mendapat sembelit yang berterusan. Serat dapat melembutkan dan meningkatkan saiz najis, sekaligus mengurangkan risiko pesakit untuk meneran semasa membuang air besar. Najis yang lembut juga mengelakkan daripada buasir menjadi luka. 

Untuk rawatan buasir, terdapat juga ubat-ubatan yang boleh diberikan kepada pesakit. Oleh kerana salah satu faktor risiko adalah sembelit, maka, ubat yang dapat membantu ialah ubat pelembut najis. Ubat tersebut dapat mengelakkan najis daripada menjadi keras dan boleh melukakan buasir. Selain daripada itu, ubat krim sapuan yang mengadungi ubat tahan sakit, anti-radang dan antibiotik, kadang-kadang diberikan kepada pesakit buasir. Ubat tersebut mampu melegakan gejala kesakitan dan kegatalan pada pangkal dubur. Antara ubat yang agak berkesan untuk mengawal pendarahan buasir ialah ubat Daflon. Ia mengandungi fluvonoid, bahan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan yang mampu untuk mengukuhkan dinding pembuluh darah, mengecut bengkak dan mempunyai fungsi anti-radang kepada buasir. 

Sekiranya individu tersebut mengalami pendarahan atau kesakitan, mereka perlu segera mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar supaya pemeriksaan lanjut dapat dijalankan. Ini adalah penting untuk mengenal pasti samada gejala tersebut berlaku itu bukan disebabkan oleh kanser rektum. Selalunya, doktor akan menjalankan dua jenis teknik pemeriksaan. Yang pertama adalah dengan memasukkan jari ke dalam rongga dubur untuk memeriksa dan menyentuh permukaan rongga dubur bagi mengenalpasti wujudnya ketumbuhan. Yang kedua, doktor akan melakukan pemeriksaan proktoskopi, iaitu memasukkan sejenis tiub plastik berongga ke dalam dubur dan dibantu oleh cahaya lampu suluh untuk melihat secara terus di dalam rongga pangkal dubur dan rektum.

 

Pembedahan

Apabila aktiviti merubah gaya hidup dan rawatan menggunakan ubat-ubatan tidak berkesan, doktor terpaksa menjalankan prosedur ringkas atau pembedahan untuk membuang buasir tersebut. Semasa melakukan pemeriksaan proktoskopi, sekiranya ada tanda-tanda pendarahan atau risiko luka pada buasir terutama sekali buasir gred 1 atau 2, doktor akan melakukan rawatan mengikat buasir tersebut dengan getah kecil dengan bantuan alat khas. Tujuan buasir ini diikat adalah untuk mengurangkan aliran darah ke kawasan tersebut sekaligus bertujuan untuk menyebabkan dinding buasir itu mengecut. Selain daripada itu, prosedur lain yang dapat dilakukan ialah rawatan suntikan skleroterapi. Rawatan ini dilakukan dengan menyuntik larutan kimia pada bahagian sekitar buasir di pangkal dubur. Proses tersebut akan menyebabkan wujud tindak balas kimia dan pembentukan parut. Justeru, parut tersebut akan menyebabkan buasir secara beransur-ansur menyusut dari masa ke semasa.

Teknologi laser juga dapat digunakan untuk merawat buasir. Ia dilakukan di dalam dewan bedah samada di bawah pengaruh bius separuh badan atau penuh. Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan wayer laser ke dalam buasir dan haba akan terhasil apabila laser tersebut diaktifkan. Ini secara tidak langsung dapat menyebabkan buasir mengecut. Prosedur lain termasuklah dengan mengikat atau menjahit pembuluh darah yang terlibat dengan bantuan daripada mesin ultra bunyi dopler. Mesin ultra bunyi dopler ini secara terus dapat mengenalpasti pembuluh darah itu dan mampu untuk menunjukkan keberkesanan hasil daripada ikatan atau jahitan tersebut. 

Bagi buasir yang menonjol keluar terutama sekali buasir gred 2 dan 3 serta buasir sekeliling, pilihan rawatan yang boleh diberikan ialah dengan menggunakan teknik stapler.  Ia juga akan dilakukan di dalam dewan bedah samada di bawah pengaruh bius separuh badan atau penuh. Alat stapler khas berbentuk bulatan akan memotongan buasir secara bulatan manakala bahagian dinding rektum yang dipotong akan dicantumkan semula menggunakan stapler titanium. Bagi buasir gred 4 pula, pesakit memerlukan pembedahan konvensional. Pembedahan dilakukan dengan memotong dan membuang buasir mengunakan alat tenaga khas. Oleh kerana akan terbentuknya luka besar, pesakit mungkin akan merasa sedikit keperitan semasa membuang najis selepas pembedahan. Tempoh masa untuk luka itu sembuh juga akan mengambil masa hingga 2-3 minggu. 

Sebaik-baiknya, kita sebagai pengguna teknologi seperti alat peranti, haruslah cakna dengan pro dan kontranya. Janganlah kerana kesibukan masa, kesihatan kita menjadi cagaran. Elakkan membawa sebarang alat peranti ke bilik air kerana kontranya adalah lebih berbanding pro. 

 

 

 

 

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...

Menggali Potensi Peluang Kerjaya Melalui Pendidikan TVET

21 Mei 2024

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, Timbalan Pengarah (Strategik...

Risiko Buasir: Elakkan Tabiat Buruk Membawa Peranti ke Tandas

13 Mei 2024

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pensyarah Perubatan...

Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2024 Kg. Darau Manggatal Model Masyarakat Madani Berteraskan Perpaduan Rakyat Yang Lestari

12 April 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Miyolon adalah...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.