Najis Berdarah: Jangan Dipandang Enteng

 

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pensyarah Perubatan dan Pakar Bedah Am, Universiti Malaysia Sabah

 

“Doktor, saya sudah satu bulan membuang air besar berdarah. Cuma, disebabkan ia tidak sakit, jadi saya tidak ambil kisah. Tetapi, baru-baru ini, saya sering cepat rasa letih dan jantung berdegup laju yang menyebabkan saya datang berjumpa doktor”.

 

Situasi ini adalah antara episod yang kerap berlaku kepada pesakit kanser usus dan rektum atau dipanggil kolorektum, apabila mereka menghasilkan najis berdarah. Lantas, keadaan ini akan menyebabkan mereka mengalami gejala anemia atau kekurangan sel darah merah. Gejala seperti keletihan, kelesuan, lemas, pening, kabur mata, dan jantung berdegup laju ialah antara tanda-tanda awal berlakunya pendarahan kanser usus. Berdasarkan kajian, kurang daripada 10% pesakit kanser kolorektum datang dengan anemia. Walaupun nampak membimbangkan, ada di antara mereka yang merasakan perkara ini adalah biasa dan ada juga yang menyalahkan buasir sebagai penyebab. Memang tidak dinafikan lagi, buasir adalah antara penyakit yang boleh menyebabkan najis berdarah. Antara lain, faktor keradangan, jangkitan usus, penyakit usus divertikular, dan kesan radioterapi, turut menjadi penyebab kepada najis berdarah. Oleh itu, adalah penting untuk meraka datang dalam kadar segera untuk membuat rawatan susulan.

 

Kanser Kolorektum

Kanser kolorektum bermula dengan pembentukan ketumbuhan polip atau terumbu karang di permukaan usus. Jika ia tidak dikesan melalui ujian saringan, lama-kelamaan polip ini akan membesar dan bertukar menjadi kanser. Pada peringkat awal, ada pesakit memandang enteng perkara ini sehingga mereka merasa gejala yang lebih teruk seperti perubahan pola membuang air besar, sembelit, sakit dan kembung perut, perubahan drastik berat badan dan selera makan. Kadangkala, ada antara mereka yang datang dengan gejala kanser yang sudah merebak ke organ utama seperti paru-paru, hati dan tulang. Pada waktu ini, gejala seperti susah bernafas, kekuningan pada mata dan kulit serta sakit tulang, antara tanda-antara yang mereka sudah berada pada tahap kritikal. 

 

Statistik dan Faktor Penyebab

Menurut data daripada Perangkaan Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, kanser kolorektum adalah yang kedua kes tertinggi di Malaysia selepas kanser payudara. Namun, kanser ini berlaku lebih ramai di kalangan lelaki berbanding wanita. Kaum Cina merekodkan kes tertinggi selepas Melayu dan India di Malaysia. Pengebab utama berlakunya kanser kolorektum masih belum dapat dibuktikan lagi secara saintifik. Namun, ada beberapa faktor mendorong yang dapat dikaitkan dengan berlakunya kanser ini. Antara faktor yang terlibat ialah peningkatan umur, sejarah keluarga, makanan tinggi lemak, kurang serat, dan diproses secara kimia, merokok, pengambilan minuman yang beralkohol, obesiti dan cara hidup yang tidak aktif. 

 

Ujian Saringan

Bagi individu yang  berumur lebih daripada 50 tahun, mempunyai gejala kanser kolorektum dan mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidapi kanser kolorektum, mereka dinasihatkan untuk menjalani saringan kanser tersebut. Berdasarkan Panduan Amalan Klinikal Kanser Kolorektum, peringkat umur yang sesuai untuk menjalani saringan kanser ini adalah di antara umur 50 hingga 75 tahun. Jika individu itu berumur 50 ke bawah, tidak ada sejarah keluarga, dan tidak bergejala, jadi, mereka tidak perlu menjalani saringan kanser kolorektal. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit kanser kolorektum, adalah dinasihatkan untuk mereka menjalani pemeriksaan usus pada umur 10 tahun lebih awal daripada pesakit yang paling muda. Sebagai contoh, jika ada ahli yang menghidap kanser kolorektum pada umur 57 tahun, maka individu itu perlu melakukan pemeriksaan pada umur 47 tahun. 

 

Saringan dan pemeriksaan awal adalah sangat penting kerana jika ada sebarang masalah pada usus, rawatan awal dapat dijalankan. Bahkan, jika ia dapat dikesan awal, tahap kanser yang ditemui mungkin pada tahap awal. Ini dapat memberikan peluang mereka untuk sembuh dengan amat cerah. Walaubagaimanapun, statistik terkini menunjukkan bahawa lebih daripada 70% pesakit kanser klorektum datang dengan tahap 3 dan 4. Ini menunjukkan kadar peratusan yang membimbangkan.  Selain daripada itu, rawatan yang diperlukan untuk pesakit tahap 3 dan 4 adalah jauh lebih mahal daripada rawatan peringkat awal. 

 

Teknik Saringan

Ada dua cara saringan kanser kolorektum. Yang pertama ialah ujian iFOBT, di mana untuk mereka yang tidak bergejala dan berumur lebih daripada 50 tahun, mereka diperlukan untuk mengambil sampel najis dan mengesan kandungan darah dalam sampel najis melalui kit khas. Yang kedua pula, bagi mereka yang bergejala, mempunyai sejarah keluarga dan yang mendapat ujian iFOBT yang positif, mereka perlu menjalani ujian saringan endoskopi. 

 

Saringan endoskopi ialah sejenis prosedur menggunakan tiub panjang yang boleh melentur dan disambungkan kepada kepada kamera video. Jika polip atau kanser ditemui semasa ujian endoskopi, ketumbuhan tersebut akan dibuang secara total (untuk polip) atau separa (biopsi) dan dihantar ke makmal untuk ujian histologi. Bagi pesakit yang mendapat keputusan kanser melalui kajian makmal, mereka akan dirujuk ke hospital yang berpakar untuk rawatan selanjutnya. 

 

Hari Kanser Sedunia 2024, yang bertemakan “Merapatkan Jurang Penjagaan Kanser”, memberi tumpuan kepada isu-isu kesihatan yang berkait rapat dengan kebolehcapaian dan kesamarataan dalam rawatan kanser. Dengan saringan yang teratur, kanser kolorektum dapat dikesan pada peringkat awal, membolehkan rawatan yang lebih berkesan dan penyembuhan yang lebih tinggi. Faktor-faktor seperti akses, pendapatan, pendidikan, dan kesedaran kesihatan patut diberikan keutamaan supaya jurang tersebut dapat ditutup.

 

Untuk warga Universiti Malaysia Sabah dan penduduk di sekitar, Universiti Malaysia Sabah melalui Poliklinik Kingfisher dan Pusat Rawatan Warga menyediakan khidmat saringan, kaunseling, rujukan, dan pemantauan gejala bagi membantu pesakit-pesakit kanser tersebut. Bahkan, melalui program saringan kanser tajaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi, melalui Pusat Uberisasi Universiti Malaysia Sabah, kami dalam usaha untuk pergi ke komuniti dan kawasan dalaman untuk menyahut pelan strategik saringan kanser kolorektum negara dan sekaligus mengurangkan kes-kes lewat kanser tersebut.

 

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...

Menggali Potensi Peluang Kerjaya Melalui Pendidikan TVET

21 Mei 2024

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, Timbalan Pengarah (Strategik...

Risiko Buasir: Elakkan Tabiat Buruk Membawa Peranti ke Tandas

13 Mei 2024

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pensyarah Perubatan...

Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2024 Kg. Darau Manggatal Model Masyarakat Madani Berteraskan Perpaduan Rakyat Yang Lestari

12 April 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Miyolon adalah...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.