Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2024 Kg. Darau Manggatal Model Masyarakat Madani Berteraskan Perpaduan Rakyat Yang Lestari

 

 

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat 

 

Miyolon adalah kosakata Bahasa Dusun yang sama maksudnya dengan ensambiyan dari kosakata Bahasa BajauSama. Kedua-duanya merujuk kepada pertukaran barang dari satu pihak kepada pihak yang lain. Dalam konteks program Miyolon-Ensambiyan Aidilfitri yang diadakan secara tahunan pada setiap kali hari raya aidilfitri kedua di Kampung Darau, Manggatal, Sabah, maksud Miyolon-Ensambiyan ditakrifkan sebagai aktiviti jual beli melibatkan hasil tanaman dan pelbagai hasil darat yang lain dari komuniti etnik Dusun dan lain-lain dengan kuih muih tradisi komuniti etnik BajauSama yang tinggal di Kampung Darau.

Program yang diadakan secara tahunan dan mendapat publisiti peringkat negeri dan kebangsaan ini mula dilaksanakan secara sistematik sejak tahun 2019 melibatkan komuniti Kampung Darau, komuniti-komuniti sekitar Manggatal dan beberapa daerah berhampiran dengan suntikan inovasi ilmu dari Universiti Malaysia Sabah ini telah mula diadakan secara tahunan secara rasmi pada tahun 2019. Turut berperanan penting dalam menjayakan program ini adalah para pimpinan tempatan termasuklah ADUN kawasan dan Ahli Parlimen serta para pemimpin masyarakat setempat dan ditunjangi oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Detik awal kepada konsistensi sambutan dimulakan dengan penghasilan buku khas Miyolon Ensambiyan Aidilfitri oleh empat orang penyelidik dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan UMS yang mendapat dana kajian dari Jabatan Muzium Negeri Sabah pada awal tahun 2019. Dari hasil penyelidikan tersebut ianya telah dipraktikkan bersama dengan masyarakat kampung Darau dibawah pimpinan Ketua Kampungnya, En. Jati Ejan. Menurut Pengerusi Sambutan Kg Darau Lama, En Kamarudin Awang, pada tahun ini (2024), program sambutan mengangkat tema “Kekalkan Sinar Semangat Tradisi,” dengan harapan agar kelainan dan keunikan perpaduan rentas etnik ini terus kekal terpelihara citranya untuk generasi masa depan. Berbeza dengan tahun sebelumnya, lokasi program telah diadakan di kawasan sekitar Balai Raya Kg. Darau Lama yang merupakan lokasi awal tempat berlakunya tradisi miyolon ensambiyan sejak lebih 10 dekad yang lalu.

Bagi meneruskan keaslian konsep sepertimana ianya diamalkan dahulu, komuniti dari etnik Dusun yang datang dari luar kampung Darau akan mula memperagakan hasil-hasil tanaman mereka seawal sebelum jam 6 pagi di sepanjang jalan kampung berpusat di Balai Raya kampung ini. Sebanyak lebih 30 buah khemah disediakan. Para pengunjung yang terdiri dari masyarakat kampung ini dan luar akan membawa kuih raya atau dikenali sebagai “Sajian Hari Raya” untuk ditukar dengan hasil-hasil tanaman yang diperagakan. Bagi pengunjung luar yang ingin mendapatkan hasil tanaman tersebut, mereka terlebih dahulu perlu menukarkan wang dengan sajian hari raya di kaunter urusetia. Uniknya, aktiviti jualan ini tidak didasarkan kepada nilai sebenar hasil tanaman atau kuih raya yang ditukarkan. Komuniti yang menjual dan komuniti yang membeli menerima seadanya berdasarkan keikhlasan mereka. Inilah antara keindahan program Miyolon-Ensambiyan Aidilfitri Kg Darau Manggatal ini.

Menurut YB Azhar Matussin, yang merupakan ADUN Darau dan juga salah seorang pencetus dan pendukung kepada sambutan Miyolon-Ensambiyan sejak tahun 2019 ini, kekuatan kepada program ini adalah kerana wujudnya sikap bersatu padu masyarakat kampung ini yang berjiwa besar ingin mengembalikan kemesraan silam antara etnik sebagai satu budaya yang mereka ingin wariskan kepada generasi muda di kampung ini dan sekitarnya. Faktor kejayaan program penganjuran setiap tahun juga disebabkan oleh wujudnya koordinasi antara komuniti kampung dengan institusi ilmu khususnya Universiti Malaysia Sabah yang sentiasa menjadi penasihat strategik dalam memastikan program ini sentiasa mengetengahkan inovasi-inovasi baharu setiap tahun.

Dalam nada yang sama, En Ahsim Jamat, Wakil Ahli Parlimen Sepanggar YB Datuk IR. Mustapha Sakmud, berkata bahawa program yang berteraskan pembangunan sumber manusia dalam keusahawanan ini berjaya dihidupkan kerana masyarakat kampung ini sentiasa berusaha menimba ilmu pengurusan program secara tidak langsung dan berterusan dari pelbagai pihak khususnya menerusi para pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS. Menurutnya lagi, menerusi pendekatan memperkasa sumber manusia, beberapa perancangan akan diusahakan bagi meningkatkan keberdayaan komuniti setempat.

Turut hadir Datuk Roland Chia Ming Shen, Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri Sabah. Beliau yang sentiasa hadir dalam program ini sejak ianya diadakan pada tahun 2019 berasa sangat teruja dan sentiasa menunggu program ini diadakan setiap tahun. Menurut beliau program ini menjadi salah satu daripada perhatian YAB Ketua Menteri sebagai satu wadah mengangkat komuniti berdaya maju yang berjaya selaras dengan matlamat Sabah Maju Jaya.

Sementara itu Datuk William Majinbon, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam menyifatkan bahawa program ini sangat signifikan khususnya kepada masyarakat Dusun dan Kadazan yang sentiasa ingin merasakan kemeriahan aidilfitri bersama saudara-saudara mereka dari komuniti BajauSama dan yang lain. Pengurusan program yang sangat sistematik seperti yang dilaksanakan oleh Kampung Darau ini wajar diberikan pengiktirafan yang sesuai bagi meningkatkan lagi semangat mereka menghidupkan program ini setiap tahun, ujarnya lagi.

Gabungan mantap pimpinan-pimpinan yang berpandangan jauh, komuniti-komuniti yang bersatu padu, dan universiti yang menginovasikan ilmu menjadikan Kampung Darau, Manggatal, Sabah terus menjadi makmal hidup atau living laboratory yang menekankan kepada perkongsian ilmu berkaitan contoh model perpaduan rakyat yang berinovasi tinggi dan lestari. Dalam pesanan khasnya yang disiarkan menerusi Studio Korporat UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor, Naib Canselor UMS menyebut tentang peripentingnya universiti meneruskan agenda pemindahan ilmu di komuniti. Amalan tukar barang di hari raya atau “barter trade” menurutnya turut diamalkan di pelbagai kampung di sekitar negeri Sabah. Keunikan ini perlu dilestarikan sebagai suatu khazanah bangsa yang merupakan teras kepada keharmonian rakyat Malaysia di negeri Sabah.

Program Miyolon-Ensambiyan Aidilfitri juga adalah suatu program yang bercirikan MADANI sepertimana ingin diketengahkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah kerana setiap ciri MADANI itu ada terdapat pada komuniti kampung Darau yang tidak pernah mengenal erti lelah dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi melengkapkan perbelanjaan memastikan tradisi ini dapat terus dihidupkan setiap tahun.

 

Biodata Penulis

Dr. Jakaria Dasan merupakan Pensyarah Kanan Program Keusahawanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah. Dr Jakaria juga merupakan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS. Beliau adalah salah seorang dari empat orang penyelidik yang telah membuat kajian sehingga terbitnya buku Miyolon-Ensambiyan Aidilfitri Kg Darau dari Dana Jabatan Muzium Negeri Sabah. Ahli lainnya adalah Yuzaini Janin (Ketua), Sidah Idris, dan Kamarul Mizal Marzuki. Dr Jakaria Dasan juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS).

 

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...

Menggali Potensi Peluang Kerjaya Melalui Pendidikan TVET

21 Mei 2024

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, Timbalan Pengarah (Strategik...

Risiko Buasir: Elakkan Tabiat Buruk Membawa Peranti ke Tandas

13 Mei 2024

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pensyarah Perubatan...

Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2024 Kg. Darau Manggatal Model Masyarakat Madani Berteraskan Perpaduan Rakyat Yang Lestari

12 April 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Miyolon adalah...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.