Memikir Ulang Hari Kebangsaan, Memaknakan Hari Sabah

Oleh: Dr. Eko Prayitno Joko,

Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

 

Dari terjajah kepada merdeka. Dari Persekutuan Tanah Melayu ke Persekutuan Malaysia. Dari Hari Kebangsaan ke Hari Sabah. Peralihan ini menandakan genap 61 tahun Malaysia dibentuk, sudah 67 tahun merdeka disambut dan cukup dua tahun Hari Sabah diraikan. Prosesnya cukup panjang. Semangatnya sangat besar, tetapi pengisiannya belum meluas.

 

Sekiranya generasi terdahulu berkorban jiwa untuk mendapatkan kemerdekaan negara, maka generasi masa kini dipertanggungjawabkan untuk mengisi makna kemerdekaan tersebut. Malangnya, pemaknaan kemerdekaan masih literal sifatnya, sekadar sebuah ungkapan kebebasan Malaysia daripada penguasaan kolonial. Pengisiannya pula ditandai dengan tanggal merah pada kalendar tahunan yang sentiasa bergantian. Diraikan dengan perayaan bunga api oleh anak semua bangsa. Diwacanakan di institusi pengajian tinggi oleh warga universiti atau disambut dengan perarakan perbarisan kontinjen di lapangan terbuka. Kesemuanya dilakukan secara konsisten, diperagakan dengan warna-warni dan keriuhan yang tidak berpenghujung. Ianya tidak salah, tetapi tidak mencukupi.

Memaknakan Malaysia merdeka memerlukan lebih daripada simbolik perayaan tersebut. Makanya, merdeka perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Perlu bersesuaian dengan konteks zaman. Perlu dihadirkan mengikut kehendak anak semua bangsa. Kini, Malaysia merdeka sebenarnya perlu disimbolkan dengan semangat kebersamaan, tindakan keterangkuman dan meraikan kepelbagaian.

Perkara ini sememangnya sudah digerakkan buat sekian lama dan terus diraikan di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan. Berbekalkan semangat reformasi, kerajaan bukan sahaja bersifat terbuka kepada sebarang usaha pendemokrasian politik, tetapi juga penulisan sejarah. Keadaan ini memungkinkan semakin banyak naratif baharu bersifat lokal yang berpotensi didokumentasikan sebagai sebahagian daripada pembangunan sejarah Malaysia.

Keterbukaan sebegini tampaknya sangat diraikan dalam konteks pembangunan negeri Sabah. Perkara ini ditandai dengan pewartaan Hari Sabah sebagai simbolik memperingati negeri tersebut bebas daripada pemerintahan British. Pewartaan ini bukan bermakna Sabah menolak sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya sekadar menghargai sumbangan masyarakat Sabah yang kurang diwacanakan dalam konteks historiografi nasional. Dalam makna lain, Hari Kebangsaan dan Hari Sabah akan disambut pada tarikh yang sama. Kedua-duanya tentang makna kemerdekaan. Kedua-duanya tentang menghargai jasa pejuang silam.

 

Hari Sabah - Kelompangan yang Menuntut Pengisian

 

Pewartaan Hari Sabah bukan bersifat menggugah. Sambutannya bermatlamat mendedahkan generasi muda Sabah tentang keberagaman sejarah kemerdekaan antara wilayah dalam Malaysia. Usaha ini memungkinkan timbulnya “kesedaran sejarah” berkaitan kekayaan sejarah lokal dalam konteks historiografi nasional. Meskipun begitu, pewartaan Hari Sabah perlu bersifat “historiografi pembebasan”. Seharusnya mampu mendemokrasikan “historiografi nasional”. Sekiranya tidak, Hari Sabah sekadar dihayati dengan slogan merdeka serta kibaran jalur gemilang dan bendera Sabah semata-mata.

Masyarakat Sabah memerlukan lebih daripada tindakan tersebut. Hari Sabah perlu dijadikan medium menggeser ketidakseimbangan pemaparan sejarah berkaitan historiografi nasional. Hakikat ini mendesak untuk direalisasikan kerana pemahaman berkaitan historiografi nasional lebih ditonjolkan daripada perspektif Semenanjung. Ianya tidak bersifat menyeluruh kerana meminggirkan perspektif sejarah dari masyarakat Borneo - Sabah. Kepincangan ini boleh diperbetulkan dengan merekonstruksi historiografi nasional. Peluangnya boleh dihadirkan melalui pengisian Hari Sabah.  

Medium ini boleh digunakan untuk mengangkat ketokohan pemimpin Sabah dalam pembangunan Malaysia. Didudukkan setaraf dengan pemimpin dari Semenanjung. Diceritakan secara meluas dalam historiografi nasional. Diperkenalkan secara lebih giat kepada rakyat Malaysia. Dengan itu, historiografi nasional menjadi lebih demokratik dan manusiawi kerana merentas jalur ideologi, status sosial dan wilayah. Historiografi nasional tidak lagi diwacanakan secara sempit dan ditulis bersandarkan “apa yang sebenarnya berlaku” dan bukannya “apa yang dikatakan terjadi”.

Di samping menstrukturkan semula historiografi nasional, Hari Sabah juga perlu diperluaskan tema penulisannya. Sekiranya sebelum ini, penceritaan sejarah kemerdekaan Sabah lebih memfokuskan kepada “penulisan sejarah dari atas”, maka kini perlu diseimbangkan dengan penulisan “sejarah dari bawah”. Begitu juga dengan pengumpulan sejarahnya perlu dipelbagaikan. Tidak sekadar merekonstruksi sejarah menggunakan sumber dokumen, tetapi juga pengumpulan sumber lisan masyarakatnya. Dengan itu kelak membolehkan semakin kerap kita mendengar “suara masyarakat terpinggir”, “kelompok miskin” dan “golongan buta huruf” dalam penulisan sejarah lokal Sabah. Matlamat ini perlu direalisasikan agar sejarah Sabah yang sebelum bersifat “seragam” akan menjadi “lebih beragam”.  

Peralihan tema dalam penulisan sejarah Sabah ini sudah pasti membantu kepada matlamat menasionalkan sejarah lokal. Tidak cukup dengan itu, semakin banyak naratif sejarah Sabah dapat didokumentasikan dan disebarluaskan kepada masyarakat umum. Perkara ini secara tidak langsung membantu kepada usaha memperbanyakkan wacana sejarah Sabah dalam konteks kurikulum kebangsaan. Sekiranya sebelum ini, usaha terbabit tidak berjaya dilaksanakan kerana kesukaran pelajar untuk mendapatkan bahan mengenai sejarah Sabah, maka kini perkara tersebut mampu diselesaikan.  

 

UMS – Barisan Hadapan Pengisian Makna Hari Sabah

 

Matlamat memperkasakan pengisian Hari Sabah tidak mudah dilakukan. Ianya memerlukan kerjasama daripada semua pihak khususnya daripada golongan akademik untuk menjayakannya. Dalam hal ini, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpotensi besar untuk merealisasikan matlamat terbabit memandangkan satu-satunya universiti di Kepulauan Borneo yang mempunyai program sejarah dan tenaga pakar berkaitan Borneo. Kelebihan ini ditambah lagi apabila program sejarah UMS bergerak untuk memfokuskan kepakaran dan pengkajiannya mengenai Borneo. Perkara ini diusahakan melalui aktiviti dalam bilik kuliah, penerbitan buku dan jurnal, pembentangan dalam persidangan serta penyelidikan dalam kalangan ahli akademiknya.

Di samping ketertarikan ahli akademik program sejarah kepada pengkajian Borneo – Sabah, semangat sama turut dikongsi oleh para pelajarnya. Setakat ini, hampir ribuan koleksi latihan ilmiah pelajar sejarah yang tersimpan secara kemas dalam koleksi Perpustakaan Inon Shaharuddin. Kebanyakan belum diterbitkan akibat kekangan peruntukan kewangan, sedangkan potensinya dalam memperkayakan historiografi Sabah adalah cukup besar.

Kesempatan UMS untuk menjadi barisan hadapan dalam memaknakan Hari Sabah melalui pendokumentasian sejarah lokal juga semakin sukar untuk dinafikan. Idea ini tidak perlu dijelaskan dengan teori yang serba meninggi, tetapi berdasarkan empirikal data yang bersifat membumi. Dengan kedudukan Sabah yang menjadi pusat persinggahan masyarakat dari Asia Timur dan Eropah, sudah pasti UMS berpotensi menjadi wadah pengumpulan kajian berkaitan Borneo. Idea ini sebenarnya pernah disuarakan oleh Profesor Ulung Dr. Shamsul Amri tentang kemampuan UMS menjadi “juara” dalam penyediaan sumber berkaitan koleksi Borneo. Sungguhpun begitu, idea ini tidak pernah dijelmakan dalam bentuk realiti kerana kekangan yang menghambat usaha ahli akademik dari UMS untuk menjayakannya. Walau bagaimanapun, perkara ini masih diusahakan sehingga kini. Secara perlahan, tetapi berterusan. Dengan kerja yang konsisten ini, sudah pasti suatu hari nanti segala pengetahuan dan penyelidikan berkaitan sejarah Borneo - Sabah yang diusahakan oleh UMS akan dihargai. Diminta untuk mengisi makna Hari Sabah. Dirayu untuk mendemokrasikan historiografi nasional!

 

 

Pengukuhan Nilai Ringgit Tidak Berlaku Dengan Sendiri

21 Ogos 2024

(Utusan Malaysia, 21 Ogos 2024) BEBERAPA hari lalu, media massa...

Memikir Ulang Hari Kebangsaan, Memaknakan Hari Sabah

16 Ogos 2024

Oleh: Dr. Eko Prayitno Joko, Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains...

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...

Menggali Potensi Peluang Kerjaya Melalui Pendidikan TVET

21 Mei 2024

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, Timbalan Pengarah (Strategik...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.