Pengukuhan Nilai Ringgit Tidak Berlaku Dengan Sendiri

 

(Utusan Malaysia, 21 Ogos 2024)

 

 

BEBERAPA hari lalu, media massa melaporkan dua berita penting dalam bidang ekonomi negara.

Pertama ialah pengukuhan Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika Syarikat (dolar AS) ke paras RM4.37 yang merupakan tahap tertinggi sejak Februari 2023 menjadikan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia. Kedua ialah lonjakan 1.53 peratus Bursa Malaysia, dengan indeks komposit berakhir pada paras tertinggi dalam 44 bulan, yang man a FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak ke paras tertinggi dagangan harian pada 1,653.35, mencecah paras yang belum pernah dicapai dalam tiga tahun dan lapan bulan, yang ditutup 1,652.49 pada 18 Disember 2020.

Kedua-dua berita ini mempunyai signifikansi yang tersendiri kepada Malaysia. Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia sebaliknya dapat dikaitkan dengan beberapa faktor utama , terutamanya dasar-dasar kewangan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak awal tahun ini.

Di peringkat global, kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi AS semakin berkurangan, mendorong peningkatan keyakinan terhadap mata wang Asia termasuk ringgit. Penurunan jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS pada masa hadapan juga menyumbang kepada penurunan dolar AS, yang seterusnya mengukuhkan kedudukan ringgit.

Walaupun begitu, lebih penting lagi ialah dari sudut langkah kewangan dan dasar monetari, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil tindakan yang bersepadu untuk memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik serta meningkatkan kemasukan dana ke dalam pasaran kewangan domestik.

Ini termasuk langkah untuk menggalakkan repatriasi dan penukaran hasil pelaburan asing oleh syarikat berkaitan kerajaan selain melaksanakan langkah operasi intervensi dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

Kerajaan juga kekal komited dan fokus dalam usaha pelaksanaan polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal sehingga mendorong JP Morgan menaikkan taraf Malaysia daripada underweight kepada neutral berikutan dasar pembaharuan struktur yang dilaksanakan. Tindakan JP Morgan ini mencerminkan keyakinan terhadap polisi reformasi struktur yang dilaksanakan oleh kerajaan. Ia sekali gus membantu menarik lebih banyak aliran masuk dana dan pelaburan asing, menyokong pengukuhan nilai ringgit.

Sama pentingnya ialah prestasi ekonomi domestik yang semakin memberangsangkan. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 5-9 peratus pada suku kedua 2024. Prestasi ekonomi yang kukuh ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, yang turut menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit.

Pengukuhan nilai ringgit ini semestinya memberikan impak positif kepada ekonomi negara. Pengukuhan nilai ringgit akan mengurangkan kos import, terutamanya bagi barangan dan bahan mentah dari luar negara. Ini boleh membantu mengurangkan tekanan inflasi domestik serta menurunkan kos pengeluaran bagi sektor industri dan pengilangan.

Walaupun ringgit yang lebih kukuh mungkin akan mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan murah, ia pada masa yang sama juga menunjukkan kestabilan ekonomi negara yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari negara-negara maju .

Pengukuhan nilai ringgit juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara selain menarik lebih banyak pelaburan asing. Ini turut menyokong peningkatan harga saham di Bursa Malaysia, seperti yang dapat dilihat daripada prestasi mutakhir Indeks FBM KLCI.

Prestasi Indeks FBM KLCI yang mencecah paras tertinggi hampir empat tahun pula adalah dipacu oleh beberapa faktor. Tidak dinafikan sedikit sebanyaknya jangkaan pengurangan kadar faedah AS juga membantu. Jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin mengurangkan kadar faedah pada September mendorong sentimen pelabur serantau dan tempatan dan ini menyokong kenaikan indeks.

KEYAKINAN PELABUR

Bagaimanapun, lebih penting ialah sentimen pasaran yang positif. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan dan pengukuhan nilai ringgit semakin meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing.

Ini membawa kepada peningkatan pembelian saham, terutamanya dalam sektor perbankan. Begitu juga dengan persekitaran domestik yang stabil. Keadaan politik dan ekonomi domestik yang stabil di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dasar-dasarnya semakin menunjukkan keberkesanan, turut memberi sumbangan kepada sentimen positif di pasaran saham, yang seterusnya menyokong peningkatan FBM KLCI.

Secara keseluruhannya , pengukuhan nilai ringgit dan prestasi pasaran saham yang memberangsangkan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pelabur kekal yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan dengan pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan menjadikan aliran masuk dana dan pelaburan asing akan berterusan serta akan menyokong pengukuhan nilai ringgit selain memberangsangkan prestasi pasaran saham.

Ini ditambah pula oleh ketekunan Perdana Menteri yang sentiasa memfokuskan usaha menarik perdagangan dan pelaburan dalam siri lawatan rasmi beliau ke beberapa buah negara sebelum ini yang kini semakin membuahkan hasilnya. Ini terbukti bila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa perdagangan Malaysia meningkat 18.3 peratus kepada RM255.88 bilion pada Julal 2024 sekali gus menjadi nilai perdagangan tertinggi direkodkan sejak Oktober 2022.

 

Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor ialah Profesor di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan merangkap Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengukuhan Nilai Ringgit Tidak Berlaku Dengan Sendiri

21 Ogos 2024

(Utusan Malaysia, 21 Ogos 2024) BEBERAPA hari lalu, media massa...

Memikir Ulang Hari Kebangsaan, Memaknakan Hari Sabah

16 Ogos 2024

Oleh: Dr. Eko Prayitno Joko, Ketua Program Sejarah, Fakulti Sains...

Ekspedisi Pulau Layang-Layang: Meneroka Khazanah Sumber Alam Dan Keindahannya

24 Mei 2024

Oleh: Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Profesor dan Felo...

Menggali Potensi Peluang Kerjaya Melalui Pendidikan TVET

21 Mei 2024

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, Timbalan Pengarah (Strategik...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.