Perasaan Bangga dan Sedih Terima Ijazah Anak

 

Oleh: Nur Faezah binti Roslan (Pelajar Komunikasi FSSK)
 
KOTA KINABALU - Perasaan bangga dan sedih hanya mampu dilafazkan sepasang suami isteri yang hadir mewakili arwah anak mereka bagi menerima ijazah secara anumerta di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-23.
 
Mohd Sharimshah Othman, 54, dan Nor Hayati Haroon, 55, mewakili Allahyarham Abdullah Ammar Mohd Sharimshah, 24 yang disahkan maut selepas melakukan aktiviti pendakian di Lata Medang, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 20 Ogos 2020.
 
Menceritakan tentang nahas itu, Hayati berkata Ammar yang menuntut di Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS telah melakukan aktiviti pendakian bersama rakan-rakannya sekitar pukul 9.00 pagi pada tarikh tersebut sebelum ditimpa nahas yang meragut nyawanya.
 
Tambah Hayati, beliau mendapat panggilan daripada rakan anaknya yang mengatakan Ammar cedera pada bahagian kepala akibat terhentak pada batu selepas terjun dari tingkat 5 air terjun, namun tidak lama kemudian dimaklumkan Ammar meninggal dunia.
 
“Kami dimaklumkan arwah Ammar sempat sedar selama 45 minit sebelum disahkan meninggal dunia,” tambahnya dalam nada sayu.
 
“Beberapa hari sebelum meninggal, saya lihat arwah sering termenung dan sering mengusik memanggil nama saya” katanya yang bertugas sebagai guru.
 
Ibu kepada lima orang cahaya mata ini bersyukur apabila mendapat tahu daripada beberapa pendaki yang berada di tempat kejadian mengatakan semasa arwah masih sedar, perkataan yang mula keluar daripada mulut arwah adalah istighfar dan syahadah sehingga menghembuskan nafas terakhir.
 
Sementara itu, Sharimshah berkata anaknya seorang yang sangat kreatif dan suka kepada teknologi.
 
“Arwah sangat suka berlakon, menyunting video dan memuat naik ke Youtube.
 
“Arwah pernah bercerita dengan saya bahawa dia sangat suka bidang geologi kerana ingin mengkaji bumi, batu-batuan, menjejaki sirah Rasulullah SAW kemudian membuat dokumentari sendiri,” kata Sharimshah yang juga bekas pesara swasta.
 
“Kami pernah bercuti ke Cameron Highlands dan Ammar dapat mengenal pasti usia batu dan bersemangat menceritakan pengetahuannya kepada kami.
 
“Kalau boleh dia tidak ingin melihat alam semula jadi sekelilingnya kosong tanpa memahami apa yang telah dipelajarinya,” ujarnya.
 
Sebagai rekod, penganugerahan anumerta merupakan penghargaan kepada graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.