250 pelajar Pahang di UMS terima Bantuan Prihatin Pahang

 

KOTA KINABALU: Seramai 250 pelajar berasal dari Pahang yang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Bantuan Prihatin Pahang 2022 sumbangan kerajaan negeri itu, di sini, semalam.

Sumbangan one-off RM200 seorang yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail itu adalah yang pertama disampaikan kepada pelajar di luar negeri itu.

Beliau berkata, bantuan itu turut diserahkan kepada pelajar Pahang di semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) lain di seluruh negara menerusi kunjungannya ke institusi terbabit selepas ini.

Katanya, secara keseluruhan kerajaan Pahang memperuntukkan RM8.54 juta yang memberi manfaat kepada 42,701 pelajar universiti berasal dari negeri itu yang sedang mengikuti pengajian di semua IPTA dan IPTS seluruh negara pada tahun ini.

"Besarlah harapan saya semoga pemberian sumbangan ini dapat meringankan dan membantu menampung kos perbelanjaan mahasiswa dan mahasiswi di kampus.

"Walaupun jumlah RM200 ini tidaklah sebesar mana, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan cakna dalam memikirkan kebajikan anak watannya serta akan sentiasa membantu selagi terdaya, insya Allah," katanya pada majlis penyampaian

Bantuan Prihatin Pahang kepada pelajar Pahang yang sedang mengikuti pengajian di UMS, di sini, semalam.

Wan Rosdy menyerahkan sendiri wang bantuan RM200 itu kepada pelajar terbabit di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor UMS dan turut disaksikan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Wan Rosdi berkata, kerajaan Pahang amat mengambil berat dan komited terhadap perkembangan pendidikan anak watan Pahang sejajar hasrat untuk melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri dan sahsiah tinggi, sekali gus mampu menyumbang kembali kepada kemajuan serta pembangunan negeri itu.

"Justeru, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang cukup besar bagi memperkukuh dan memperkasakan bidang pendidikan di Pahang.

"Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang misalnya membelanjakan sehingga RM1.4 bilion sejak 1983 bagi membiayai biasiswa, pinjaman pendidikan, program pendidikan, kemasyarakatan, keagamaan dan sukan yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak Pahang.

"Melalui peruntukan yang cukup besar ini, kerajaan negeri berjaya membantu ramai pelajar yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan negeri turut menyalurkan Biasiswa Yayasan Pahang untuk pelajar sekolah rendah bernilai RM300 setahun serta Biasiswa Yayasan Pahang untuk pelajar sekolah menengah bernilai RM600 setahun khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Bagi pelajar pengajian tinggi, beliau berkata, kerajaan negeri menyalurkan geran one-off RM500 kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke kolej, politeknik, universiti dan IPT; serta RM1,000 kepada yang melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, secara keseluruhan, melalui Bantuan Prihatin Pahang 2022 kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM30 juta yang memberi manfaat kepada hampir 300,000 penerima dengan RM14.29 juta adalah untuk bidang pendidikan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang UMS, Noratikah Sukri, 24, berkata bantuan berkenaan sangat membantu pelajar negeri itu yang sedang belajar di Sabah.

"Wang bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung keperluan kami di kampus. Kami juga bersyukur kos di UMS tidak terlalu tinggi dan masih boleh diterima," katanya.

Bagi pelajar tahun tiga Program Perhubungan Antarabangsa UMS yang berasal dari Pahang, Pravin Ramakrishnan, 23, beliau menyifatkan bantuan one-off sangat berguna sebagai persiapan peperiksaan.

Pelajar Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Anis Najwa Najihah Ismail, 23, pula berkata, kehadiran Wan Rosdy bersama barisan kepemimpinan kerajaan Pahang menyerahkan sendiri bantuan kepada mereka sangat menyentuh perasaan.

"Sebelum ini bantuan disalurkan melalui akaun, tetapi kali ini dibuat secara bersemuka. Ini memperlihatkan pengorbanan pemimpin kita di Pahang yang sampai ke Sabah untuk memastikan kita menerima wang bantuan daripada kerajaan negeri.

"Ia sudah tentu membawa nilai moral yang baik, walaupun jauh dari kampung kita masih mendapat perhatian daripada kampung dan negeri kita," katanya.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.