Ibu Bapa Pelajar Puji Keprihatinan UMS

Amanda MUETTRABU, 12 NOVEMBER - Keprihatinan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menjaga kebajikan mahasiswa mendapat pujian daripada ibu bapa pelajar.
 
Lee Linggang, 38, menyuarakan rasa terima kasih dan penghargaan atas kepantasan UMS untuk menghantar anaknya yang mengalami sesak nafas dan pendarahan hidung ke pusat rawatan kecemasan Hospital Queen Elizabeth baru-baru ini.
 
Ujar beliau, anaknya, Amanda Sandra Lestari Lee, pelajar Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS telah disahkan oleh doktor mengalami kekurangan darah yang serius dan mungkin boleh menyebabkan kematian sekiranya lambat menerima rawatan.
 
“Saya sangat terharu dengan tindakan pantas yang diambil oleh pihak pengurusan UMS. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak saya sekiranya tidak dihantar ke hospital dengan segera,” katanya yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu.
 
Lee turut memuji langkah UMS yang serta merta menguruskan tempat peperiksaan Malaysia University English Test (MUET) di bilik khas di hospital tersebut setelah diberi maklum oleh doktor bahawa anaknya diberi kebenaran untuk menduduki ujian berkenaan.
 
“Ini juga satu peristiwa penting yang mana pihak UMS serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan pihak hospital telah sama-sama berganding bahu bagi memastikan Amanda tidak terlepas daripada peperiksaan yang bakal memberi impak kepada permohonan melanjutkan pengajian di peringkat pra-siswazah kelak,” ujar ayah kepada bekas pemenang Naib Juara Pidato Kebangsaan itu lagi.
 
Dalam pada itu, ibu kepada Amanda,  Alvinah Saribun, 38, turut melahirkan rasa terhutang budi kepada pihak universiti kerana sanggup memberi penjagaan dan keselesaan kepada seluruh pelajar termasuk anaknya yang disifatkannya agak kurang sihat sejak kebelakangan ini.
 
“Kami sebenarnya sangat risau bila memikirkan keadaan anak kami apatah lagi pengalaman tinggal berjauhan daripada keluarga adalah yang pertama kali buatnya. Namun kami tetap yakin dan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak UMS. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan,” ujarnya lagi. –SS

 
Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.