UMS dan Neurogine Kerjasama Teroka Idea Baharu dalam Bidang Kewangan

 

LABUAN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Neurogine Group (Neurogine) bagi meneroka idea baharu dalam bidang kewangan dan teknologi ke arah kelestarian alam.

Neurogine merupakan sebuah syarikat pembangun teknologi kewangan (Techfin) bagi platform mudah alih untuk perbankan, pembayaran, pembrokeran kewangan dan saham.

Kerjasama antara UMS dan Neurogine akan meliputi penerokaan isu rangkuman kewangan dan akses kredit yang dihadapi khususnya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Dr. ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, MoU melalui Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) itu bertujuan mengukuhkan hubungan sedia ada di antara UMS dan Neurogine dalam bidang akademik yang memfokuskan kepada latihan industri, penyelidikan, sangkutan industri, persidangan dan kursus jangka pendek serta program tanggungjawab sosial korporat.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UMS menggunakan kepakaran yang ada untuk bekerjasama dengan pihak industri dalam membangunkan kaedah penyelesaian perniagaan bagi mencapai taraf hidup yang lebih tinggi, khususnya dalam kebajikan dan pembangunan sosial di negara kita.

“Kami berharap dengan menjalin hubungan dengan Neurogine, kerjasama ini akan meningkatkan keterlihatan UMS di peringkat antarabangsa,” katanya.

Taufiq menandatangani MoU tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sementara itu, Owen berkata melalui MoU itu pihaknya berhasrat untuk berkongsi idea dan penyelesaian baharu serta memanfaatkan keupayaan teknologi Neurogine untuk membantu memulihkan segmen perniagaan yang disasarkan khususnya oleh PKS.

“Kami memilih hala tuju ini kerana PKS adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan terutamanya dalam negara ekonomi membangun seperti Malaysia.

“Dari sudut pandangan kami, kami melihat jurang yang ketara dalam akses modal dan kredit adalah berpunca daripada kegagalan dan ketidaksempurnaan pasaran, seperti maklumat yang tidak simetri, ketidakcukupan cagaran yang boleh diterima, kos transaksi yang tinggi dan persepsi risiko yang lebih tinggi.

“Justeru, adalah sangat bermanfaat untuk kami meneroka cara baharu menyediakan modal dan akses kredit kepada PKS menggunakan teknologi kami,” katanya.

Melalui kerjasama ini, UMS dan Neurogine akan menjalankan penyelidikan tentang potensi dan kesediaan pihak PKS dalam mengadaptasi teknologi kewangan baharu, mengembangkan dan menyokong program pelajar industri pelajar UMS dan terlibat secara aktif dalam penganjuran seminar berkaitan kewangan dan teknologi.

Tambah Owen, pihaknya berbesar hati menaja penganjuran 24th Malaysian Finance Association International Conference (MFAIC2022) yang akan berlangsung pada 7 hingga 9 September depan.

MFAIC2022 merupakan persidangan anjuran bersama UMS dan Malaysian Finance Association (MFA) yang pertama kali diadakan di Wilayah Persekutuan Labuan.

FKAL UMS yang mula beroperasi pada Mei 1999 berhasrat untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan yang holistik, berdaya saing, dan berperspektif global dalam bidang kewangan antarabangsa.

Misi FKAL adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang kewangan antarabangsa dan mencapai pengiktirafan antarabangsa melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, sumbangan sosial dan kelestarian asas pengetahuan yang melahirkan modal insan yang berwibawa dan berkualiti tinggi untuk membantu memajukan sosioekonomi negara.

Neurogine yang ditubuhkan pada 2014 kini telah memperluas perkhidmatan mereka ke bank luar negara seperti Kemboja, Myanmar dan Indonesia.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.