555 kakitangan UMS diraikan dalam AKU 2022

 

KOTA KINABALU: Seramai 555 kakitangan dan pesara Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam Anugerah Kecemerlangan UMS (AKU) 2022 yang berlangsung di Dewan Resital, di sini, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 160 orang adalah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 76 penerima Anugerah Inovasi, dan 18 pesara penerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Majlis AKU turut meraikan 18 kakitangan yang genap berkhidmat 25 tahun dengan memberi Anugerah Sanjungan Budi, 71 penerima Anugerah Jasa Setia (berkhidmat 20 tahun) dan 212 penerima bagi Anugerah Jasa Bakti (berkhidmat 10 tahun).

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Hadir sama, Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis AKU 2022,  Luqman Ridha Anwar; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr Raman Noordin; Bendahari, Badrul Hisham Ismail; dan Penasihat Undang-undang UMS, Awang Suhaizam Bungso.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Taufiq berkata, UMS perlu menetapkan aspirasi dan keazaman selaras dengan prinsip S.W.I.F.T yang diketengahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Prinsip tersebut iaitu speed, world class knowledge, inspirational, flexible dan technology-based merupakan lima ciri kritikal yang perlu disemat dalam minda dan tindakan penjawat awam.

“Sehubungan itu, suka saya menggesa agar keluarga UMS perlu sentiasa mempunyai sikap sense of urgency, iaitu untuk bertindak dengan pantas tanpa berlengah dalam setiap tugasan yang diamanahkan.

“Ia bertepatan dengan nilai pertama yakni speed bagi merealisasikan aspirasi kerajaan yang mengutamakan prestasi dan berpaksikan keutamaan kepada rakyat dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Taufiq berkata, nilai kedua yang harus dipatuhi ialah menimba pengetahuan bertaraf dunia (world-class knowledge) bagi memastikan pelaksanaan tugas bukan sekadar mengikut perspektif peribadi, sebaliknya menjadikan amalan terbaik dari dalam dan luar negara sebagai penanda aras.

“Nilai ketiga ialah inspirational di mana penjawat awam perlu sentiasa memberi inspirasi dan motivasi kepada pegawai bawahannya bagi mewujudkan suasana harmoni dan persekitaran kerja yang kondusif kepada setiap kakitangan.

“Pegawai UMS juga hendaklah fleksibel terutama ketika berdepan situasi genting dalam penyampaian perkhidmatan seperti yang terdapat pada nilai keempat S.W.I.F.T iaitu flexible.

“Sementara, nilai kelima dan yang terakhir adalah technology-based, semua kakitangan UMS wajar diterapkan nilai berasaskan teknologi dalam melaksanakan setiap tugasan di pejabat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang pantas dan tuntas,” tambahnya.

Taufiq turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah pada majlis tersebut.

“Semoga terus sukses dan menghasilkan idea-idea yang lebih kreatif dan berinovatif dan terus bertekad cemerlang sepanjang perkhidmatan tuan-tuan dan puan-puan di universiti tercinta ini,” katanya.        

Untuk rekod, kesemua kakitangan yang diraikan pada Majlis AKU 2022 merangkumi staf kumpulan pegawai akademik, pegawai pentadbiran, dan staf kumpulan pelaksana daripada pelbagai pusat tanggungjawab di UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.