UMS Naib Johan Debat Alam Sekitar 2022

 

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai naib johan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022.

Pertandingan yang berlangsung secara hibrid sejak 20 Ogos 2022 itu menobatkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai johan, sekali gus menewaskan 26 buah IPT yang bertanding.

Pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Noor Afifah Abdul Razak yang mewakili Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Sri Ibrahim Tuan Man.

Terdahulu, Noor Afifah ketika membacakan teks ucapan Ibrahim berkata, masyarakat diseru untuk lebih peka dan sensitif akan keseimbangan alam bagi memastikan kelestarian alam di negara ini dapat terus terjaga dengan sempurna.

Katanya, setiap masyarakat mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama-sama bagi menangani isu kerosakan akibat bencana alam kesan daripada pemanasan global.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kelestarian alam.

“Antaranya ialah program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) serta penganjuran aktiviti KUDAH iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah di kawasan komuniti masing-masing.

“Aktiviti yang dirancang di bawah program DSK ini ialah pembinaan laluan denai di sepanjang jajaran sungai, kolam atau badan air sebagai kawasan riadah dan rekreasi. KASA mensasarkan sepanjang 10,000 kilometer denai menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ke-28 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2022 di UMS, baru-baru ini.

Katanya, dengan menggunakan pendekatan nature-based solution, program ini dijalankan secara bersama antara KASA, jabatan-jabatan serta agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Selain itu juga, kerjasama strategik turut dijalankan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO), badan-badan korporat, institusi pengajian tinggi, sekolah, pemimpin masyarakat, komuniti setempat dan pemimpin belia.

“Saya yakin, usaha-usaha pelestarian ini tidak terbatas oleh masa, tempat dan juga individu. Sebaliknya setiap daripada kita boleh memulakan dan melaksanakannya dengan pelbagai cara yang tersendiri.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama kita menyokong usaha yang digerakkan oleh KASA dan agensi-agensi di bawahnya terutamanya oleh Jabatan Alam Sekitar untuk terus melestarikan alam sekitar demi bumi yang hanya satu ini,” katanya.

UMS yang dibarisi oleh tiga pendebat iaitu Nur Fatehah binti Nordi@Nordie, Mohamad Fazli bin Losimin dan Muhammad Idris bin Mohd Hairie membawa pulang wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

 

 

 

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.