100 Pelajar IPT Jalankan Aktiviti Sukarelawan di Sabah, Semarakkan Semangat Kemerdekaan

KOTA KINABALU – Hampir 100 orang pemimpin sukarelawan siswa dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia merangkumi Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) sedang mengikuti Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Majlis Flag-Off misi sukarelawan siswa yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.

Kata Rasid, penglibatan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar IPT selari dengan hasrat UMS untuk melahirkan graduan yang dapat menjadi pelapis pimpinan masa hadapan.

“Saya menyeru agar para sukarelawan menanam semangat cintakan negara dan menyemarakkan semangat patriotik tersebut melalui aktiviti kesukarelawanan yang merupakan platform yang terbaik dalam memecahkan tembok dan merapatkan jurang di antara komuniti dan universiti.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memperluaskan kegiatan kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang berlangsung di Pejabat Pusat Islam UMS.

Tambah Rasid, misi kesukarelawan yang dilancarkan oleh KPT di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) itu harus dipuji dan harus mendapat sokongan semua pihak kerana ianya merupakan platform yang sangat baik untuk dijadikan pelantar bagi mendidik dan mendedahkan mahasiswa kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Bukan sahaja minda mahasiswa yang perlu berubah, malah transformasi minda secara konsisten dengan menyediakan ruang dan peluang yang luas serta dana yang mencukupi oleh pihak kerajaan dan swasta, institusi-institusi pengajian, badan-badan bukan kerajaan serta komuniti adalah diperlukan dalam memastikan nilai melalui aktiviti kerjasama komuniti yang pernah dikenali suatu masa dulu dapat diteruskan oleh generasi kini dan akan datang, secara mampan,” katanya.

Pelaksanaan misi ini berteraskan enam teras YSS merangkumi pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti, ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-65 serta Hari Malaysia ke-59, para sukarelawan YSS akan menjalankan aktiviti bersama komuniti setempat untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan serta semangat cintakan negara seiring dengan tema tahun ini “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama”.

Misi sukarelawan siswa yang bermula 28 Ogos itu akan berakhir pada 14 September 2022 dengan mengadakan aktiviti di tiga daerah iaitu Tuaran, Kudat dan Beluran.

 

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.