UMS, MyIPO Anjur Bengkel Martabatkan Usaha Inovasi dan Pengkomersialan

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) menganjurkan Bengkel Carian dan Penderafan Paten selama tiga hari bermula kelmarin.

Bengkel dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Cawangan Sabah itu dianjurkan bagi memartabatkan usaha inovasi serta mengangkat aktiviti pengkomersialan di UMS.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Hj. Kamarlin Hj. Ombi, bengkel tersebut juga merupakan salah satu daripada inisiatif yang dijalankan oleh PPIP bagi meningkatkan jumlah pemfailan dan pendaftaran paten di UMS.

Katanya, inisiatif tersebut bukan hanya untuk menambah bilangan pemfailan permohonan paten semata-mata, malah ia merupakan integrasi daripada pelbagai usaha dalam mempertingkatkan kesedaran inovasi dikalangan penyelidikan UMS untuk mengungguli senarai universiti berinovatif di Malaysia.

“Sejak penubuhan UMS pada tahun 1994, usaha-usaha penyelidikan dan inovasi yang ditunjukkan oleh universiti makin tahun makin meningkat. Ini merupakan berkat usaha berterusan pengurusan tertinggi univerisiti yang dibantu kukuh oleh semua pihak serta penglibatan aktif penyelidik dan serta pensyarah.

“Kini UMS telah mencapai usia 28 tahun. Walaupun dari segi usia, UMS boleh dikategorikan sebagai universiti yang masih muda, tetapi iltizam, dan semangat UMS dalam mendepani kemajuan dunia sains dan teknologi mula menunjukkan kematangannya dari setahun ke setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bengkel tersebut di Grandis Hotel & Resort Kota Kinabalu.

Tambah Kamarlin, kejayaan UMS memperoleh penarafan lima bintang pada penilaian penyelidikan Malaysia (MyRA) bagi tahun 2021 merupakan salah satu petunjuk dan petanda keupayaan penyelidikan dan inovasi UMS.

“Kini UMS mampu berbangga. Walaupun dalam usia yang agak muda, UMS kini memiliki 233 harta intelek yang terdiri daripada pelbagai komponen perlindungan harta intelek.

“Pada tahun 2021, UMS berjaya memfailkan lima permohonan paten yang baharu, 48 pendaftaran hakcipta dan empat rahsia perdagangan. Pada tahun 2021 juga, UMS berjaya memperolehi empat paten yang berjaya digerankan.

“Dalam usaha untuk merancakkan lagi aktiviti-aktiviti inovasi dan pengkomersialan, PPIP yang merupakan pusat yang diamanahkan untuk tujuan berkenaan, telah dan sedang merancang pelbagai strategi dan pendekatan untuk mempertingkatkan bukan sahaja milikan pelbagai bentuk harta intelek, malah memperkemaskan aktiviti yang menyokong aktiviti pengkomersialan untuk produk yang telah dibangunkan,” katanya.

Sehingga tahun 2022, sebanyak 15 produk harta intelek yang dibangunkan oleh penyelidik UMS telah berjaya dikomersialkan.

Dalam pada itu, kerjasama yang erat dengan pelbagai pemain industri turut menjadi keutamaan dalam memperkemaskan integrasi inovasi yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Untuk rekod, terdapat dua lagi inovasi UMS bakal memeterai perjanjian iaitu paten ‘Modular Water Treatment System’ yang dibangunkan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan paten ‘Residual Oil Extractor’ yang dibangunkan oleh Pengarah PPIP, Profesor Madya Dr. Jidon Janaun.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.