Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 dapat sambutan meriah

 

Hampir 200 pengamal pendidikan awal kanak-kanak di seluruh Malaysia menyertai Konvensyen Kebangsaan Asuhan dan Didikan Kanak-kanak TASKA 2023 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Konvensyen selama dua hari itu dianjurkan Persatuan Perkhidmatan TASKA Sabah (PPTS) dengan kerjasama Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Bertemakan “Kesihatan dan Kesejahteraan untuk Setiap Kanak-kanak”, konvensyen yang julung kalinya diadakan di Malaysia itu menyediakan pelbagai pengisian seperti ucaptama, ceramah, pameran, sesi plenari, dan forum.

Dekan FPP UMS, Prof. Dr. Murnizam Hj. Halik berkata, konvensyen tersebut menjadi platform bagi para pengusaha, penyelia, pendidik, dan pengasuh TASKA serta TADIKA menimba ilmu dan mengembangkan kemahiran berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Selain itu, ia juga bertujuan memberi ruang dan peluang kepada semua peserta untuk mengecap pengetahuan terkini dalam bidang asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Saya percaya bahawa melalui perkongsian ilmu dan pengalaman, kita dapat meningkatkan kualiti asuhan dan didikan awal kanak-kanak di negara kita,” katanya.

Menurut Dr. Murnizam, konvensyen itu juga merupakan medan para peserta untuk berinteraksi, saling bertukar pendapat, dan berkongsi pengalaman berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak.

“Melalui diskusi dan perbincangan ini, ia dapat mewujudkan idea-idea baharu, pemikiran inovatif dan kreatif, dan perspektif baharu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Ini akan membantu untuk mempersiapkan diri dan mengadaptasi pendekatan yang sesuai untuk memenuhi keperluan masa kini dan masa depan kanak-kanak,” jelasnya.

Majlis perasmian konvensyen berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR), merangkap Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), Datuk James Ratib.

Menurut James, program berkaitan asuhan dan didikan di TASKA akan terus diberi perhatian dan sokongan, termasuk bagi kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya kanak-kanak autisme.

“Program saringan, intervensi, dan aktivti sokongan awal bagi kanak-kanak autisme perlu bermula dari awal lagi termasuklah semasa mereka berada di TASKA,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan program pembangunan insan dan menyuarakan harapan agar ia akan bertambah maju seiring perjuangan KPMKR dan dalam gagasan MPMS.

Terdahulu Pengerusi Bersama, Dr. Juppri Bacotang menjelaskan, penganjuran konvensyen itu melibatkan kolaboratif antara ahli akademik, penyelidik, pengusaha, pendidik, pengasuh, dan pengamal dari pelbagai institusi.

 

“Antara pengisian utama konvensyen ini ialah dua sesi plenari yang membincangkan topik keselamatan dan kesihatan, dan kesejahteraan dan kebajikan.

 

“Ini dapat menjelaskan pendekatan baharu dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang menjurus kepada kualiti komprehensif dan amalan terbaik untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang holistik.

 

“Kesemua yang mengambil bahagian turut saling berkongsi pengetahuan, pengalaman dan hasil penyelidikan yang terkini berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak TASKA.

 

“Semoga dengan adanya penganjuran konvensyen sebegini dapat memberi kebaikan dan ilmu yang bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat, dan seterusnya dapat memartabatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak khususnya bagi kanak-kanak TASKA di Malaysia,” katanya.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.