UMS, UMK Meterai Perjanjian Perkongsian Harta Intelek Bagi Inovasi “INSOLER”

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah memeterai satu perjanjian perkongsian harta intelek bagi inovasi Alat Pengering Solar Bersepadu atau INSOLER, satu inovasi alat pengeringan hasil pertanian dan perikanan yang telah memanfaatkan penduduk di Sabah dan Kelantan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani dokumen perjanjian yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak di Galeri Majlis, UMS.

Kasim ketika berucap sempena majlis tersebut memaklumkan, inovasi INSOLER telah dibangunkan bersama oleh penyelidik dan pencipta daripada UMS iaitu Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.

“Inovasi kolaborasi ini tercetus kerana UMS dan UMK mempunyai hasrat dan aspirasi yang sama untuk membantu masyarakat khususnya dalam kalangan petani dan nelayan di luar bandar untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.

“INSOLER merupakan idea inovasi yang menggabungkan pemanasan udara aktif dan pasif bagi mengatasi kelemahan pengeringan pengering solar secara konvensional.

“Inovasi ini telah digunakan oleh komuniti di Tumpat, Kelantan dan juga di Kota Belud Sabah, selain prototaip INSOLER di Fakulti Kejuruteraan UMS turut digunakan oleh beberapa komuniti untuk pengeringan hasil-hasil pertanian seperti kulit jagung dan sisa kopi,” katanya.

Beliau menambah, inovasi INSOLER telah merangkul pelbagai anugerah inovasi di peringkat kebangsaan, malah dinobatkan sebagai pemenang Pingat Emas dan Anugerah Khas, The Star of New York (Green Technology) di Pertandingan berprestij iENA Germany 2023.

“Saya dimaklumkan sudah ada syarikat yang berhasrat untuk mengkomersialkan inovasi INSOLER ini dan pihak PPIP UMS sedang dalam proses menyediakan dokumen perjanjian pengkomersialan berkenaan.

“Justeru, harapan saya agar sinergi antara UMS dan UMK akan berterusan dan kekal utuh dalam memastikan kelangsungan pembudayaan inovasi di universiti awam sentiasa lestari.

“Kejayaan perjanjian ini membuktikan bahawa sesuatu penyelidikan atau inovasi boleh dihasilkan secara multi-disiplin dengan kerjasama dua atau lebih universiti,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Razli ketika menyampaikan ucapan balas berkata, inovasi INSOLER direka bentuk untuk menggalakkan pertanian lestari dengan meningkatkan pengeringan hasil pertanian dan mengurangkan pembaziran makanan.

“Dua unit INSOLER telah dihasilkan dengan satu unit di UMS berkapasiti 200 kilogram manakala satu unit lagi dibina di UMK berkapasiti 2,000 kilogram yang mana digunakan untuk projek komuniti untuk pengeringan ikan bekok di Tumpat, Kelantan.

“Inovasi ini telah membantu pengusaha ikan bekok untuk terus beroperasi khususnya pada musim tengkujuh kerana INSOLER mempunyai proses yang lebih sistematik dan berkualiti seperti kawalan suhu, kelembapan dan masa menggunakan sistem elektronik.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada peningkatan kapasiti penghasilan ikan bekok sebanyak 300 peratus kerana masa pemprosesan menggunakan INSOLER hanya memerlukan satu jam penghasilan berbanding kaedah konvensional adalah selama tiga jam,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK, Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah Kanan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Julie Juliewatty Mohamed; Pengarah PPIP UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Janaun; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman dan Pengarah Bahagian Komersialan dan Harta Intelek (ICD), UMK, Dr. Mardawani Mohamad.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.