Projek Komuniti Antarabangsa UMS, Unismuh Makassar Bantu Usahawan Tani Di Sandakan

 

Kolaborasi antara Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fakultas Pertanian, Universitas Muhammadiyah (Unismuh) Makassar, Indonesia menerusi Projek Komuniti Antarabangsa mampu membantu usahawan tani di Sandakan dalam menerapkan teknologi akuaponik di ladang tersebut.

Menurut kenyataan dari FPL, pelaksanaan Projek Penerapan Teknologi Aquaponik Dalam Penghasilan Sayur Berdaun di Aling Hidroponik Farm Sandakan, Sabah itu melibatkan empat pensyarah dari UMS dan Unismuh.

Mereka adalah dua pensyarah dari Unismuh iaitu Pensyarah Program Pengajian Agroteknologi, Dr. Syamsia dan Pensyarah Program Pengajian Perniagaan Tani, Dr. Asriyanti Syarif; serta dua pensyarah dari UMS iaitu Pensyarah Program Tanaman Makanan FPL, Dr. Siti Suliza Salamat dan Dr. Ilmas Abdurofi.

“Pelaksanaan projek ini dijangka akan memberi manfaat kepada usahawan tani iaitu Rosli Yusof dan Jusneh @ Farah Ain Botong selaku pemilik Aling Hidroponik Farm dalam meningkatkan daya maju perusahaan pertanian.

“Projek ini memfokuskan kepada teknologi akuaponik dan pengurusan perladangan sebagai menyokong peralihan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi penghasilan keterjaminan makanan menggunakan sumber alam semula jadi,” demikian menurut kenyataan dari FPL.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, projek komuniti itu mempunyai beberapa tahap pelaksanaan.

“Tahap pertama dan kedua kajian dilakukan di Unismuh dan UMS di kawasan rumah teduhan hijau, di mana penghasilan sayuran salad menggunakan air ternakan ikan keli dan siakap merah.

“Tahap ketiga dan keempat pula adalah proses pemindahan ilmu dan penerapan teknologi di lokasi projek membangun komuniti usahawan tani di Sandakan, Sabah, yang antara lain berkaitan pemasangan peralatan akuaponik dan penjelasan mengenai mekanisme kerja sistem akuaponik.

“Tahap kelima pula lebih kepada kegiatan latihan, pencatatan dan pengurusan ladang yang berlangsung selama dua hari,” menurut kenyataan tersebut.

Usahawan tani juga akan diberi pendedahan berkaitan kaedah mencatatkan hasil, menghitung modal, kos tetap, kos berubah, jangkaan hasil, balik modal, untung atau rugi.

Dalam pada itu, Syamsia dalam satu kenyataan menyatakan harapan kolaborasi ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

“Dengan menerapkan teknologi akuaponik dan perancangan yang baik, kami berharap petani dapat meningkatkan produksi dan meraih keuntungan yang lebih besar.

“Justeru, ucapan penghargaan diberikan kepada pengurusan Unismuh yang telah menyalurkan sejumlah dana untuk projek ini, serta kepada pihak FPL UMS kerana memilih Unismuh sebagai rakan kolaborasi,” katanya.

Siti Suliza turut menyatakan sokongan terhadap kolaborasi antara kedua-dua institusi yang mampu memangkin pembangunan ekonomi komuniti setempat.

“Kerjasama membangun ekonomi komuniti antara dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia melalui perpindahan ilmu kepada komuniti perlu diteruskan secara konsisten supaya masyarakat dapat menerima manfaat kajian-kajian yang dilakukan di universiti,” ujar beliau.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.