UMS, DQS Certification Meterai Hasrat Kerjasama Bagi Pacu Pemajuan Agenda ESG Di Sabah

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) telah memeterai satu hasrat kerjasama bersama DQS Certification (M) Sdn Bhd bagi usaha memacu pemajuan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) khususnya kepada usahawan-usahawan di negeri Sabah.

Hasrat kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara kedua-dua pihak yang berlangsung di FPEP, UMS.

UMS diwakili oleh Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim menandatangani LoI tersebut, manakala DQS diwakili oleh Pengarah Urusan, Danny Ng Kim Yau.

Turut menyaksikan acara tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Pengurus Besar DQS, Soong Keng Vee.

Terdahulu, Kasim dalam ucapannya berkata, UMS sentiasa bersedia untuk keluar dari zon selesa, bersifat inovatif dari segi kaedah pengajaran, melaksanakan penyelidikan, dan membangunkan bakat terbaik serta sentiasa meneroka jalan dan peluang baharu ke arah kecemerlangan.

“Antara agenda pembangunan yang kritikal dan difokuskan adalah berkait amalan berteraskan ESG yang merupakan mantera global yang menyokong kepada keupayaan kelestarian.

“ESG yang diterima pakai seluruh dunia mencerminkan aspirasi kelestarian organisasi yang mengambil kira impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam setiap operasi organisasi, syarikat atau badan swasta.

“Kepatuhan kepada amalan terbaik ESG adalah sebahagian daripada keperluan yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau “UN Agenda for Sustainable Development Goals (SDG)”,” katanya.

Pemeteraian kerjasama tersebut katanya mampu memacu agenda ESG di negeri Sabah khasnya untuk menyokong kepada usaha memberdayakan usahawan-usahawan tempatan ke arah perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Program-program yang berteraskan pemajuan bidang ESG yang direncanakan ini akan memperkayakan pengalaman dan mempertingkatkan ilmu tenaga pengajar dan juga para pelajar yang dilibatkan.

“Dengan demikian, UMS mampu menjadi pusat memberdayakan pemegang taruh yang terkesan secara holistik, ke arah pencapaian komitmen nasional terhadap pelepasan sifar bersih (“net zero emissions”) menjelang tahun 2050, yang semestinya memberi impak yang sebaiknya terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Rahimie dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama antara FPEP UMS dan DQS itu antara lain adalah bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam persijilan berkaitan inisiatif ESG.

“Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan PMKS di Sabah dalam memenuhi keperluan persijilan ESG yang merupakan satu bentuk keperluan yang perlu dipenuhi oleh PMKS pada masa hadapan.

“Adalah diharapkan usaha sama yang menggabungkan kepakaran dan keupayaan akademik UMS dan kepakaran industri DQS dalam bidang persijilan industri akan berupaya menghasilkan impak yang signifikan dalam pembangunan PMKS khususnya di Sabah secara berkesan terhadap keperluan komuniti perniagaan setempat,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut turut berlangsung acara penyampaian sumbangan berjumlah RM50,000 daripada DQS kepada Unit Penyelidikan Dan Pembangunan Keusahawanan FPEP.

Hadir sama Presiden, SME Association of Sabah merangkap Ahli Sabah Economic Advisory Counsil (SEAC), Prof. Datuk Foo Ngee Kee; Pengarah Eksekutif Borneo MA Smart Vendors Sdn Bhd, Datuk Jalumin Bayogoh; Pengerusi Federation of Malaysia Manufactures Sabah Representative Office (FMM Sabah), James Ha Haw Yew; Ketua Pegawai Eksekutif Saytech General Inspection Services Sdn Bhd, Granda Aing; dan Pengarah Kolej Komuniti Tawau, Ts. Md. Syadiqin Awg Adi @ Jumaat.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.