UMS Promosi Gaya Hidup Sihat di Kg. Long Pasia

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi usaha pelajar pascasiswazah Program Sarjana Kesihatan Awam [MPH] Sesi 2023/2024 telah menganjurkan Program Sihat Sinergi bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat yang diadakan di Kg. Long Pasia, Sipitang baru-baru ini.

Penganjuran ini dijayakan dengan kerjasama daripada KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Hospital UMS dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC).

Seramai 90 peserta menyertai program ini dan kira-kira 200 penduduk kampung dan murid sekolah terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof, program ini adalah satu inisiatif penting yang diharapkan dapat memberikan manfaat besar kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sabah khususnya di Kg. Long Pasia.

“Penyakit tidak berjangkit semakin menular dalam masyarakat kita seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung dan obesiti bukan sahaja memberi impak negatif kepada kesihatan individu tetapi juga menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan keluarga serta komuniti.

“Langkah-langkah pencegahan melalui amalan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang adalah amat penting untuk mencapai tahap kesihatan yang baik.

“Amalan gaya hidup sihat yang perlu dilakukan adalah seperti pemakanan seimbang, bersenam serta mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak tepu yang berlebihan,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut.

“Terdapat satu cara pengambilan makanan harian secara sihat iaitu dengan konsep suku-suku separuh. Separuh daripada pinggan makanan kita haruslah dipenuhi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan, suku lagi dengan protein seperti ikan, ayam atau kekacang dan suku yang terakhir dengan karbohidrat seperti nasi, ubi atau roti gandum.

“Aktiviti senaman fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari boleh mengekalkan berat badan yang ideal, menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit. Pilihlah aktiviti yang kita suka seperti berjalan kaki cepat, berbasikal, berkebun atau berenang.

“Kesihatan adalah harta yang paling berharga dan setiap individu mempunyai hak untuk mendapatkan akses kepada pengetahuan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

“Sehubungan itu, UMS sebagai salah satu universiti awam di negeri Sabah yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu, antaranya ilmu perubatan boleh menerajui aktiviti pencegahan penyakit tidak berjangkit kepada komuniti desa,” tegasnya lagi.

Beliau juga berharap agar warga Kampung Long Pasia mengambil kesempatan ini untuk menimba pengetahuan dan kesedaran untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga.

“Dengan adanya kesedaran mengenai penjagaan kesihatan yang tinggi, kita mampu membentuk komuniti yang sihat dan produktif,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat dijalankan seperti sesi interaktif pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak, remaja, dan dewasa; pemeriksaan kesihatan; pemeriksaan gigi; pemeriksaan mata; kios gaya hidup sihat; pertandingan mewarna kanak-kanak; pertandingan memasak makanan tradisional serta menggunting rambut.

Turut hadir Presiden UMS4WDVC, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Ketua Kampung Long Pasia, Yakub bin Sim dan Guru Besar SK Long Pasia, Jeffry Padan.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.