Pakar HQE2, UMS Lakukan Pembedahan Otak Secara Sedar Pada Pesakit 88 Tahun

 

KOTA KINABALU - Pakar bedah otak dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) dan pakar bius otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik (TBI), baru-baru ini.

Ketua Jabatan dan Perunding Pakar Bedah Saraf HQE2, Dr. Mohd Sofan Zenian dalam satu kenyataan berkata, pesakit lelaki itu mengalami kecederaan tersebut apabila terjatuh ketika berjalan kaki di taman perumahannya dua minggu lalu dan mengalami pendarahan subdural kronik kiri yang besar (SDH).

“Akibatnya, beliau mengalami sakit kepala yang teruk, penglihatan kabur, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.

“Memandangkan fungsi sarafnya yang semakin merosot, kami segera menghantarnya ke dewan bedah untuk menjalani mini kraniotomi bagi mengalirkan darah beku yang lama,” katanya.

Beliau menambah, tujuan melakukan pembedahan tersebut secara sedar adalah untuk menilai fungsi sarafnya secara intraoperatif, yang bertambah baik berikutan pengaliran kira-kira 30ml bekuan darah, dan pesakit difahamkan telah pulih sepenuhnya.

Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanaestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Dr. Yeap Boon Tat memaklumkan pembedahan mini kraniotomi secara sedar pada pesakit tersebut, yang juga mengalami penyakit kardio-pernafasan, adalah tepat pada masanya.

“Prosedur ini akan mengelakkan dari kesan sampingan pembiusan secara tidur dan mengurangkan keperluan pesakit untuk dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Ini juga penting untuk mengurangkan kadar jangkitan penyakit nosokomial di ICU,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan ke atas HQE2 atas kepercayaan yang diberikan kepada UMS untuk bekerjasama dalam pembedahan otak tersebut.

“Pihak UMS amat teruja dan berterima kasih kepada pasukan neurosurgeri dari HQE2 atas kerjasama yang baik dengan UMS untuk memastikan kemajuan dalam pembedahan otak, saraf dan pembiusan dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Saya difahamkan bahawa ini merupakan kali ketiga UMS berjaya bekerjasama dengan pasukan HQE2 dalam melakukan pembedahan otak secara sedar di Sabah dengan dua pembedahan terdahulu merupakan pesakit dengan ketumbuhan di otak (brain tumor),” katanya.

Senada dengan beliau ialah Dekan FPSK UMS, Datuk Dr. Mohd Yusof Haji Ibrahim.

“Diharapkan lebih banyak kemajuan dalam penjagaan neurosurgikal dan neurokritikal, seperti brain suite, dapat diberikan kepada hospital tertiari di Sabah, khususnya Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), untuk memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.