NDRC UMS Mahu Terus Perkukuh Kerjasama Pengurusan Bencana Bersama Kerajaan Negeri

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu terus memperkukuhkan lagi kerjasama bersama kerajaan negeri Sabah dalam aspek pengurusan bencana khususnya di negeri ini.

Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata, kerjasama tersebut khususnya adalah bagi perkongsian maklumat, penyelidikan mahupun perkhidmatan sebagai membantu agensi kerajaan negeri dalam mengurus dan menangani bencana alam. 

“Melalui kerjasama berterusan ini, NDRC mampu memainkan peranan sebagai titik pertemuan untuk semua keperluan berkaitan pengurusan bencana alam di negeri ini.

“Ini termasuk penyelidikan, perkhidmatan kepakaran dan perundingan yang berkaitan dengan bencana alam, sama ada di dalam negeri atau luar Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat NDRC UMS ke Pejabat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Carolyn memaklumkan dalam kunjungan tersebut, NDRC telah berkongsi mengenai fungsi, peranan serta beberapa penyelidikan yang telah dilakukan oleh pusat berkenaan antaranya dalam bidang gempa bumi, banjir, hakisan pantai serta perkongsian mengenai Pangkalan Data Bencana Alam.

“Beberapa isu kritikal turut dibincangkan seperti bencana alam yang sedang berlaku di Sabah pada masa kini, serta cadangan kerjasama dalam pengurusan bencana yang lebih berpusat dan bersepadu antara kerajaan negeri dan NDRC UMS, khususnya dari pihak akademia dalam usaha untuk mengurangkan impak bencana.

“Hasil pertemuan ini juga mendapat maklum balas positif dari Ketua Menteri sendiri yang menyambut baik usaha yang telah dijalankan oleh pihak NDRC UMS terutamanya dalam penyelidikan dan pengurusan bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, Ketua Menteri turut menyatakan harapan agar NDRC dapat bekerjasama dengan pengurusan bencana negeri melalui penglibatan dalam Disaster Command Centre yang akan diwujudkan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuk menyumbang khidmat kepakaran yang berkaitan dengan pengurusan bencana, seperti Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Ketua Menteri turut menghargai sumbangan kepakaran penyelidik dari institusi akademik seperti NDRC UMS yang dilihat amat penting sebagai input dalam membantu membuat keputusan dalam aspek pembangunan yang secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan pengurusan bencana yang berlaku di peringkat negeri,” ujar beliau.

Antara delegasi NDRC UMS yang turut serta dalam kunjungan hormat tersebut Ketua Kluster Hakisan Pantai dan Sungai, Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Ketua Kluster Gempa Bumi, Ir. Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith; Ketua Kluster Banjir, Dr. Janice Lynn Ayog dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Hadir sama Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag. Shaminan Datuk Haji Ag. Sahari dan Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Effendi Mohamed Sunoh.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.