Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK), Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program ‘Joyful Steps: Aktiviti bersama Kanak-Kanak Bekeperluan Khas’ bertempat di Kurnia Kasih Academy, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Ketua Program PAKK UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata, program ini bertujuan mengasah kreativiti dan meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak bekeperluan khas.
Beliau berkata sebagai golongan yang sering berhadapan dengan cabaran dalam kehidupan mereka, kanak-kanak bekeperluan khas memerlukan peluang yang sesuai untuk berkembang dalam suasana yang positif dan penuh dengan sokongan.
“Selain itu, program ini dapat memberi galakan kepada setiap kanak-kanak bekeperluan khas agar lebih berani mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal, sosial dan pergerakkan aktif.
“Program ini juga memberi peluang kepada pelajar Program PAKK, FPPS, UMS untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari dalam suasana yang sebenar. Ini adalah pengalaman pertama yang sangat berharga bagi mereka dalam mengendalikan program yang melibatkan kanak-kanak bekeperluan khas.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman dalam pengurusan program, tetapi juga memupuk kemahiran kepimpinan, pengurusan masa, serta kerjasama berpasukan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan turut memberi mereka peluang untuk memahami lebih mendalam tentang keperluan kanak-kanak bekeperluan khas,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Atirah Nabila Amirin, pelajar Program PAKK yang juga merupakan Pengarah Program berkata program tersebut melibatkan 18 pelajar Program PAKK sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program, sepuluh orang guru pendidikan khas, dan 25 orang kanak-kanak bekeperluan khas dari Kurnia Kasih Academy.
“Program ini juga mendapat sokongan penuh daripada Guru Besar Kurnia Kasih Academy, Christie Lainjih, yang turut hadir dalam program tersebut.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberi sumbangan untuk menjayakan program ini, antaranya Pusat Pendidikan Fleksibel Universiti Malaysia Sabah (UMSFLEC), JETAMA Sdn. Bhd., Marigold, AEON Kidzoona, Grill Patio, Queenelevie Printing dan De’ Resto Sa.”, katanya.
Sementara itu Christie Lainjih berkata program tersebut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, bermanfaat, dan yang paling penting aktiviti adalah bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak bekeperluan khas.
“Misalnya, aktiviti senaman pagi, menyusun gelas, permainan membaling bola pingpong ke dalam kotak telur berwarna, menyusun puzzle dan mencari telur berisi hadiah.
“Semua aktiviti tersebut bukan sahaja baik untuk perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak bekeperluan khas, tetapi dapat memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, dan membina keyakinan diri.”
“Keberhasilan program ini bukan sahaja dapat dilihat dari aspek penglibatan yang sangat baik oleh kanak-kanak bekeperluan khas. Malah, program ini dapat memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak terutamanya kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada semua pihak,” katanya.