Sokongan dan dorongan ibu bapa menjadi kekuatan graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Celine Jimmey Lucas untuk cemerlang dalam pengajian sehingga meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26 hari ini.
Celine, 24, telah dinobatkan gelaran tersebut setelah memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan).
Beliau menerima penganugerahan tersebut pada Sidang Pertama Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Dewan Canselor UMS.
Menurut Celine, faktor utama bagi kejayaan yang diperoleh pada konvokesyen UMS kali ini adalah sokongan tanpa henti daripada ibu bapa.
“Sudah tentu ibu bapa saya, Jimmey Lucas dan Cecilia Garcia merupakan sumber inspirasi kerana merekalah yang telah memberi kami kekuatan sejak kecil lagi.
“Saya tahu betapa penatnya mereka berdua membesarkan kami, justeru saya amat berharap agar anugerah ini dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.
Mengulas lanjut berkaitan program pengajian yang dipilih, Celine berkata beliau terdorong oleh minatnya terhadap haiwan serta pengaruh abangnya yang berada dalam bidang perhutanan.
“Saya meminati haiwan dan perkara berkaitan pemuliharaan haiwan yang merupakan satu usaha yang baik dan bermanfaat kepada manusia.
“Justeru itu, gabungan terhadap minat kepada haiwan dan pengaruh abang dalam bidang perhutanan mendorong saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Biologi Pemuliharaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi cabaran serta rahsia kecemerlangan sehingga memperoleh anugerah pada konvokesyen kali ini.
“Cabaran sepanjang di UMS adalah pada tahun pertama pengajian kerana ketika itu berada dalam fasa transisi kepada pengajian secara fizikal setelah beberapa bulan berada di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.
“Ketika itu agak sukar untuk beradaptasi dengan suasana secara fizikal sebab sudah lama terperap di rumah dan kurang komunikasi dengan orang di luar, namun syukur akhirnya perkara ini dapat diatasi.
“Tips yang boleh saya kongsikan adalah doa, cari potensi diri dan luaskan pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin,” katanya, selain turut menyampaikan penghargaan kepada pensyarah, dan rakan-rakan yang menyokongnya sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS serta berkongsi petua untuk memperoleh kejayaan dalam aspek akademik.
Seramai 4,493 graduan UMS diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember.
(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Laihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)